10 Disiplin Usahawan Menurut Tuan Norizan Sharif

Tuan Norizan Sharif menulis di wall Facebook beliau, bahawa setiap usahawan patut memiliki 10 disiplin dalam hidup mereka.

10 disiplin ini adalah amalan setiap hari, bukan hanya pada waktu atau hari tertentu sahaja.

Usahawan berjaya ada disiplin dalam hidup mereka. Disiplin ini diamalkan secara konsisten. Mulanya diusahakan, semakin lama disiplin ini sudah mendarah daging. Sudah menjadi ‘kehidupan’ usahawan itu sendiri.

Pada saya, 10 disiplin usahawan ini bukan hanya patut diamalkan oleh seorang usahawan sahaja. Setiap orang patut amalkan.

Ini 10 disiplin orang yang ingin berjaya dalam hidup mereka.

Baik kejayaan sebagai usahawan. Juga kejayaan sebagai bos. Juga kejayaan sebagai pekerja. Juga kejayaan sebagai ibubapa. Juga kejayaan sebagai anak. Juga kejayaan sebagai guru. Juga kejayaan sebagai murid. Juga kejayaan sebagai apa sahaja.

10 DISIPLIN KEJAYAAN DALAM HIDUP (saya olah semula dengan tulisan dan bahasa saya)

1# Bangun awal pagi.

Bangun sebelum masuk waktu subuh. Bersihkan diri dengan pergi ke tandas,  mandi dan sebagainya. Juga berpakaian kemas sebelum subuh.

Mungkin ada yang berkata, bangun selepas subuh masih sempat berkemas diri, solat dan masih tidak lewat ke pejabat.

Ini bukan soal sempat. Kesegaran minda dan tubuh selalunya hadir bila bangun awal dan bersiap diri sebelum subuh.

2# Fikirkan yang baik sahaja.

Bukan bermaksud, menganggap apa yang berlaku akan baik sahaja kemudian ‘redah’ hari itu begitu sahaja.

Bermaksud tindakan yang konsisten menjadikan hari itu baik-baik sahaja.

Dalam setiap doa selepas solat, doakan keampunan dan kebaikan kepada semua orang. Jika terima WhatsApp buruk tentang orang, delete jangan sebarkan. Bila sedang bersembang-sembang, percakapan beralih arah kepada bercerita dan bergossip hal tidak baik peribadi orang, baik diam dan cubalah menjauhkan diri.

Fikirkan yang baik. Bila berlaku sesuatu yang jauh dari kebaikkan, cuba ubah. Jika tidak mampu ubah, jauhkan diri.

3# Sentiasa menepati waktu.

Sentiasa berusaha untuk mendahului setengah jam atau paling kurang lima belas minit sebelum waktu yang dijanjikan. Dalam setengah jam atau lima belas minit itu, macam-macam yang boleh dilakukan.

Paling kurang kita boleh bertenang sebelum melakukan temujanji. Paling kurang kita boleh ke tandas! Tidak nanti sudah bertemu, terasa pula mahu ke tandas.

Sekiranya kita terlewat atas apa sebab pun, maklumkan. Usah buat orang ternanti-nanti.

4# Fokus sasaran di depan.

Sentiasa memandang masa hadapan, bagaimana mahu dicorakkan.

Usah dikesali dengan kehidupan kelam masa lalu. Usah riak dengan pencapaian masa lampau. Usah diungkit-ungkit setiap pertolongan masa yang sebelum ini.

Apa yang lepas sudah berlalu. Masa hadapan sedang menanti kita.

5# Elak permusuhan.

Elakkan perbalahan, pertikaian, caci maki dan sebagainya. Baik ketika pertemuan empat mata, juga termasuk pertemuan di media sosial.

Sekiranya kita ada pendapat berbeza, kemukakan secara hormat dan berhemah. Terima atau bertoleransi dengan pendapat orang lain. Jika pendapat orang lain jelas bercanggah dengan hukum agama dan norma masyarakat, kemukakan hujah balas dengan jelas dan tertib.

6# Jangan memandang rendah sesiapa juga.

Usah memperlekehkan orang lain. Jangan cuba menjadi hebat dengan meremehkan orang lain.

Bina kehebatan diri dengan akhlak yang mulia. Penghargaan dan penghormatan orang kepada kita berdasarkan akhlak yang baik, akan kekal lama.

7# Ambil ilmu walau dari siapa juga.

Jangan memandang sangat ‘siapa’ yang memberikan ilmu. Ambil jika bermanfaat dan amalkan.

Jangan buang ilmu walau orang yang sampaikan ilmu itu kita Nampak ‘kecil’! Ingat! Walau kita yang di atas bukit nampak orang di bawah bukit itu kecil, sebenarnya orang yang di bawah pun akan Nampak orang di atas bukit itu kecil.

8# Menjaga kesihatan.

Dalam kesibukkan mencari dan mengumpul harta, jangan lupa menjaga kesihatan yang juga merupakan harta paling berharga. Malah sebenarnya, sihat paling berharga d antara harta berharga yang lain.

Jaga makan dan minum. Dua perkara ini yang menentukan kesihatan kita. Makanan dan minuman yang baik pun jika berlebihan diambil akan memudaratkan kesihatan. Betapa pula yang tidak baik.

Amalkan senaman. Cari cara untuk bersenam. Paling kurang, banyakkan berjalan kaki.

9# Solat awal waktu.

Sebaik-baiknya solat berjemaah, terutamanya solat subuh dan isyak kerana 2 solat ini banyak kelebihannya bila berjemaah.

Bukan semata-mata merebut pahala solat berjemaah. Bina komuniti dengan Jemaah yang lain. Kenalkan diri terutamanya AJK masjid. Usah biarkan imam dan AJK masjid hanya kenal kita bila mahu solat jenazah sahaja.

10# Tidur awal.

Untuk menjadikan diri lebih bertenaga pada siang hari, perlukan tidur yang cukup. Untuk dapatkan tidur yang cukup, perlu tidur awal.

Tidur awal juga untuk memastikan kita bangun awal. Berawal-awal (melakukan aktiviti) di pagi hari ‘membuka’ rezeki.

= = =

Mungkin anda ada disiplin ke 11 dan disiplin seterusnya yang patut ditambah di sini.

Share

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge