10 Kesilapan Yang Biasa Dilakukan Oleh Penjual Baru Ebay

Sepuluh kesilapan di bawah ini adalah kesilapan yang biasa dilakukan oleh penjual-penjual ebay yang baru bermula.

Akan tetapi sebenarnya, kesilapan ini banyak juga dilakukan oleh penjual ebay yang lama. Kesilapan yang sepatutnya tidak lagi dilakukan oleh mereka.

Terlalu banyak penjual baru ebay yang bermula dengan keyakinan tinggi, akan berjaya dan menjadi kaya raya tetapi akhirnya dilanda kekecewaan. Ada yang tahap kewangan mereka lebih teruk berbanding sebelum menjual di ebay.

Kebanyakkan mereka menyalahkan sistem ebay yang tidak banyak membantu penjual dan ada yang menyalahkan pembeli ebay yang banyak karenah dan dianggap berperangai tidak munasabah.

Sebenarnya bila mereka menyedari kesilapan yang mereka lakukan semasa menjual dan membetulkan kesilapan itu, mereka boleh dikatakan melangkah masuk ke dunia ebay dengan kaki kanan!

Berikut adalah kesilapan yang biasa dilakukan dan cara terbaik untuk mengelakkannya.

1 # Tidak ‘memperlakukan’ ebay sebagai perniagaan sebenar.

Ramai penjual baru menganggap ebay hanya tempat mencari sedikit duit poket. Bila duit poket ini sudah banyak, baharulah boleh bersungguh-sungguh. Sekiranya anggapan atau pemikiran ini berterusan, maka berterusanlah mereka mendapat wang yang sedikit.

Hindari kesilapan ini; Dari awal lagi sejak anda mula menjual di ebay, anggaplah ia perniagaan sebenar. Pilih sumber produk dan kaji pasaran dengan serius. Buat simpan kira-kira duit masuk dan keluar. Seboleh-bolehnya sediakan ruang khusus di rumah untuk dijadikan pejabat kecil bagi menguruskan perniagaan ini.

2 # Menggunakan kaedah drop-shipping tanpa kajian.

Tergesa-gesa menggunakan kaedah dropshipping semata-mata ingin ‘cepat kaya’ tanpa mengkaji kaedahnya dahulu atau tanpa memahami system ebay sering membuatkan seseorang itu kecundang.

Menjadi kaya di ebay dengan kaedah dropship bukanlah semudah melanggan newsletter dari seseorang, di mana kita hanya menunggu newsletter masuk ke emel dan kita hanya membacanya tanpa mempedulikan adalah newsletter itu sesuai atau tidak dengan karekter atau bisnes yang kita jalankan.

Kadangkala sukar untuk mendapat keuntungan yang baik atau sukar untuk berkembang kerana terdapat ramai penjual menggunakan kaedah yang sama, menjual barangan yang sama dengan harga yang tidak konsisten. Masa dan wang banyak dilaburkan, tetapi keuntungannya sedikit.

Hindari kesilapan ini; Berhati-hati memilih syarikat dropship. Sebaik-baiknya gunakan kaedah dropship setelah anda memilih niche barang yang ingin dijual. Dan juga anda boleh bermula dengan menjual produk tempatan untuk memahami sistem ebay sebelum memulakan kaedah dropship.

3 # Tidak tahu dengan jelas jenis dan jumlah yuran ebay yang perlu dibayar.

Menjalankan perniagaan di ebay bukan seratus peratus percuma. Ada bayaran tertentu yang dikenakan, ada yuran penyenaraian, yuran barang laku juga yuran paypal. Terdapat juga bayaran untuk kemudahan-kemudahan tertentu yang disediakan oleh ebay sewaktu penyenaraian.

Kadang-kadang memang seronok melihat banyaknya barang yang laku, tetapi akhirnya setelah ditolak yuran-yuran ini, keuntungannya tidak berbaloi dengan masa dan kos yang kita laburkan.

Hindari kesilapan ini; Ambil tahu berapa yuran yang perlu dibayar dalam setiap barangan yang kita senaraikan. Dengan itu kita dapat meletakkan harga sewajarnya yang memberi untung dan berbaloi dengan masa yang dilaburkan.

4 # Menetapkan harga mula bida (starting bid) atau harga tetap (fixed prices) yang terlalu tinggi.

Sekiranya produk anda ada permintaan tinggi, walaupun bermula dengan harga rendah, ia selalunya berakhir dengan bidaan yang tinggi. Kadang-kadang harga bidaan yang diperolehi melebihi harga tetap yang ingin ditawarkan.

Hindari kesilapan ini; Sekiranya dapat, elok mulakan harga yang terendah. Kalau pun tidak, mulakan harga pada harga pasaran dan jangan letak harga rizab.

5 # Kurang maklumat dalam diskripsi barangan yang dijual.

Ada penjual yang menganggap bahawa tidak perlu memberi penerangan yang panjang lebar tentang barang yang dijual. Cukuplah dengan beberapa keterangan yang minta diisi oleh sistem ebay. Anda mahu membeli barang yang anda tidak tahu keterangannya dengan lengkap? Begitulah pembeli ebay yang lain. Mereka mahu tahu dengan lengkap barang yang anda jual. Kenapa anda menjualnya? Jika barang baru, adakah ia masih dalam kotak atau sudah dibuka? Adakah barang itu ada jaminan? Dan sebagainya.

Hindari kesilapan ini; Tulis keterangan yang lengkap. Jangan takut walaupun ia kelihatan panjang. Apa sahaja maklumat yang boleh ditulis tentang barang yang anda jual…tuliskan!

6 # Gambar tidak sempurna.

Apa yang mahu dibeli jika pembeli tidak tahu apa yang anda jual. Tiada gambar atau gambar yang diletakkan dalam listing tidak asli (bukan gambar barang sebenar yang ingin dijual) atau gambar tidak lengkap akan membuat pembeli meragui kejujuran anda sebagai penjual dan mereka akan menganggap bahawa anda tidak serius untuk menjual.

Hindari kesilapan ini; Letakkan seberapa banyak gambar yang boleh. Pastikan gambar berkualiti tinggi. Pastikan semua sudut barangan ada dalam gambar. Termasuk sudut kecacatan barang.

7 # Mengenakan kos pos yang tinggi.

Memang semua penjual ebay akan tergoda untuk mengambil untung dari kos pos lebih-lebih lagi bila untung barang yang dijual tidak sebagus mana. Akan tetapi dalam jangka masa lama, anda akan ‘rugi’. Tambahan pula sesiapa juga akan curiga bila kos pos lebih mahal dari harga barang. Dan siapa akan membeli bila barang yang dijual itu jelas tidak berat, tetapi ‘berat’ kos posnya.

Hidari kesilapan ini; Ambil tahu tentang kos pos melalui pejabat atau laman web syarikat penghantaran pos terutama Pos Malaysia dan tetapkan secukupnya. Jika kos pos dapat dimasukkan dalam harga barangan, lebih elok membuat penghantaran percuma.

8 # Membida barangan sendiri.

Ramai penjual ebay menganggap ini strategi bijak untuk menaikkan harga. Mereka membida dengan menggunakan akaun lain atau meminta kawan atau keluarga membidanya. Sekiranya pihak ebay mendapat tahu, akaun anda mungkin ditutup.

Hindari kesilapan ini; Letakkan harga mula pada paras yang tidak merugikan anda atau gunakan harga rizab jika anda risau tidak dapat harga bida yang sepatutnya.

9 # Tidak melayan aduan atau pertanyaan.

Setiap pertanyaan pelanggan akan direkod, begitu juga jawapan anda. Pelanggan baru yang ingin berurusan dengan anda akan menilai buruk reputasi anda bila anda ‘buat tidak endah’ pertanyaan atau aduan pelanggan. Tidak ada sesiapa yang ingin berurusan dengan penjual yang dianggap ‘buruk’ sikapnya

Hindari kesilapan ini; Sentiasa semak emel yang digunakan untuk akaun ebay. Jawab dengan cepat setiap emel pelanggan dengan bahasa yang sebaiknya. Tanyakan apa yang boleh anda bantu dan bantulah dengan ikhlas. Bantuan anda yang cepat akan mengekalkan pelanggan lama dan menarik pelanggan baru.

10 # Tidak menggunakan alat-alat yang perlu.

Terdapat banyak alat yang boleh digunakan untuk berkembang dan makmur dalam perniagaan ebay. Daripada tools dan software, panduan dan sebagainya. Ada yang berbayar dan banyak juga yang percuma. Memang merugikan bila semua ini tidak digunakan sewajarnya.

Hindari kesilapan ini; Gunakan untuk berkembang dalam bisnes ebay, apa sahaja yang perlu seperti Selling Manager, Listing Analytics, Terapeak, eBay Stores, Turbo Lister dan lain-lain.

Tidak semua penjual ebay yang baru melakukan kesilapan ini. Akan tetapi jika ada yang melakukannya, 10 perkara inilah yang paling banyak dilakukan.

Sumber nota # terjemahan bebas dan ditulis semula dari rencana tulisan Aron Hsiao, penulis dan penggiat ebay luar negara.

Share

13 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge