10 Tip Menjual Di eBay

Sebelum ini saya ada memberitahu yang saya ingin meletakkan nota berkaitan ebay dalam blog ini

Nota ini dan nota-nota seterusnya bukanlah dari saya tapi dari usahawan ebay Malaysia dan juga dari serata dunia. Nota ini saya kumpul untuk kegunaan pembelajaran saya.

Ada nota dalam bahasa orang putih yang saya terjemahkan ikut bahasa saya sendiri untuk mengelak copyright. Ada nota dari usahawan tempatan yang tidak diambil 100% juga untuk mengelak copyright.

Nota-nota ini saya guna untuk mendalami ilmu berkaitan eBay. Saya aplikasikan dalam tindakan saya.

Ada yang berkesan kerana banyak ilmu eBay sesuai untuk semua orang dari semua negara. Ada yang tidak berkesan kerana setengah teknik tidak sesuai untuk negara-negara tertentu.

Semoga nota yang saya letakkan dalam blog ini bermanfaat untuk mereka yang membacanya, khususnya mereka yang menjadikan eBay sumber pendapatan mereka.

Apa yang boleh diamalkan, maka ambillah untuk dipraktikkan. Apa yang tidak sesuai, maka jangan buang semua. Contohnya dalam 10 tip yang ada, 6-7 tip tentunya boleh dipakai.

+++

10 tip untuk mendapatkan keuntungan yang maksimum di eBay.

# 1. Tahu bila untuk ‘menggunakan’ eBay.

Anda boleh menjual tayar kereta di eBay. Namun itu adalah tindakan yang tidak bijak bagi seorang penjual individu. Lain ceritanya jika anda mempunyai syarikat perniagaan tayar yang besar.

Begitulah bila anda ada barangan untuk dijual, fikirkan dulu. Apakah barang itu mendapat keuntungan bila dijual melalui eBay. Dan walaupun boleh dijual, adalah tidak berbaloi kalau ia ‘menyusahkan’ anda.

# 2. Memilih perkataan yang tepat dan bersesuaian.

Tulis perkataan dengan berhati-hati, usah ikut suka hati. Gunakan kata kunci yang tepat terutamanya pada tajuk listing. Tulis tajuk listing yang ringkas, namun menggunakan sebanyak mungkin perkataan yang mengambarkan produk yang dijual.

Ini supaya tajuk listing yang dibuat akan muncul bila pembeli membuat carian dalam kotak ‘search’. Penggunaan perkataan yang tepat dan bersesuaian juga akan mengurangkan pertanyaan dari bakal pembeli

Pertimbangkan semua perkataan yang mungkin untuk mengambarkan produk yang dijual. Sebagai contoh, bukan hanya menulis ‘xbox360’. Tulislah begini, ‘Xbox 360 Video Game Console System Controllers’.

Lihat bagaimana penjual yang menjual produk yang sama, menulis tajuk listing mereka. Bukan meniru tapi belajar dari situ.

# 3. Bersikap jujur.

Pada sesetengah orang bersikap jujur dalam perniagaan boleh mengurangkan keuntungan. Akan tetapi, sekiranya anda jujur memberitahu apa yang baik dan apa yang tidak baik tentang produk yang anda jual, anda akan mendapat reputasi yang baik.

Reputasi yang baik boleh meningkatkan jualan.

Reputasi adalah kunci kejayaan usahawan eBay. Dan kerana itulah eBay mengadakan tools untuk memberi feedback dan menggalakkan pengguna untuk menggunakannya. Manusia memang suka membuat komen dan memang senang untuk seseorang itu mendapat komen yang negatif yang boleh menyusahkan bisnes kita.

Jadi sekiranya ada calar, kemik atau kerosakan lain pada barang yang kita jual, jujurlah untuk memberitahunya dalam deskripsi. Mungkin kita mendapat harga yang rendah. Bagaimanapun itu lebih baik daripada ketidakjujuran kita itu menjejaskan keuntungan dalam jangka masa panjang.

Sesetengah pembeli sememangnya mahu mencari barang yang rosak sedikit (harga murah) untuk mereka memperbaiki dan dapat menggunakannya semula. Tapi tidak ada seorangpun yang suka mendapat barang yang rosak sedangkan mereka fikir akan mendapat barang yang elok!

# 4. Buat penyenaraian/listing yang professional.

Dalam apa juga jenis perniagaan, orang akan mempercayai mereka yang kelihatan professional. Pastikan listing kita mempunyai gambar yang cantik dan jelas dengan penerangan yang baik. Mungkin kita boleh menggunakan template untuk listing. Ada temple yang percuma dan ada yang berbayar.

Senarai bullet untuk menerangkan produk yang anda jual akan menjadi sangat menarik kepada pembeli. Fakta penting yang bergaris di bawahnya atau di’bold’kan, yang ringkas padat tanpa ‘bunga-bunga’ bahasa keterlaluan mungkin akan dapat menarik lebih perhatian.

# 5. Gunakan gambar yang terbaik.

Pentingkan kualiti gambar berbanding jumlah. Tidak ada guna sama sekali meletakkan gambar yang banyak (buat masa ini 12 gambar adalah percuma) sedangkan semua gambar itu berkualiti rendah

Sebaik-baik jumlah gambar ialah tidak kurang daripada 3.

Sekiranya anda menjual satu produk khusus untuk jangka masa lama, maka adalah baik anda mengupah jurugambar professional untuk mengambil gambar produk tersebut. Laburkan sedikit wang untuk itu. Pelaburan itu akan dapat diganti.

# 6. Letak harga yang berpatutan.

Meletakkan harga yang berpatutan adalah ‘satu seni’. Sekirannya menjual produk yang popular, ramai usahawan eBay menetapkan harga permulaan yang rendah, serendah 9.90 malah ada yang lebih rendah iaitu 0.99. mereka membiarkan pasaran menaikkan harga.

Jika anda tidak berani meletak harga serendah itu, letakkan serendah yang mampu anda terima. Walaupun ia tidak menaik tinggi, sekurang-kurangya harga yang anda tetapkan itu tidak merugikan anda.

Menggunakan harga simpanan (reserve price) bukanlah langkah yang bijak. Ia menjauhkan pembeli yang berminat dengan produk itu. Ia membuang masa mereka kerana kemungkinan mereka tidak akan dapat produk itu walaupun menang bida kerana harganya tidak mencapai harga simpanan.

Harga simpanan sesuai bagi produk mewah yang mahal

# 7. Pilih masa mula listing dan masa akhir listing dengan tepat.

Berikut adalah masa yang sesuai untuk listing di eBay. Ini tip dari usahawan eBay Malaysia untuk memastikan listing berakhir di waktu puncak iaitu;
USA – antara 8pagi – 12tengahari
UK – antara 12tengahari – 3petang
AU – antara 3petang – 6petang

Tepatkah tip masa yang diberi ini? Memang ada ‘lagenda’ di eBay yang mengatakan bidaan yang berakhir pada malam minggu akan mendapat ramai pelawat. Ia mungkin benar dan mungkin tidak. Kebenarannya terletak kepada pengalaman anda. Tidak ada peraturan yang kekal.

# 8. Tulis polisi atau syarat secara jelas.

Sekiranya anda ada polisi atau syarat tertentu untuk produk yang anda listingkan seperti ada pemulangan produk atau tidak, siapa yang membayar kos pemulangan dan sebagainya, maka tulislah dengan jelas. Ini untuk mengelak kekeliruan kepada pembeli setelah mereka memiliki produk yang anda jual. Kekeliruan mereka boleh memusnahkan reputasi kita.

# 9. Buat penghantaran cepat tanpa kos tinggi.

Apa tindakan anda bila barang yang anda ingin beli berharga RM1 tapi kos menghantarnya RM20 sebagai contoh. Sesiapa juga tidak akan memperdulikan produk tersebut.

Bila anda dapat menjual satu produk tanpa kerugian apa-apa bila menghantarnya secara percuma, maka sebaik-baiknya janganlah cuba mengambil untung atas kos penghantaran. Semua pembeli sukakan penghantaran percuma dan kalau perlu membayarnya, harganya dalam lingkungan yang munasabah.

Pastikan produk yang ingin dihantar dibungkus dengan sebaik-baiknya. Gunakan bubble wrap atau Styrofoam peanuts sekiranya perlu. Boleh juga membeli mesin pencincang kertas untuk mencincang surat khabar lama sebagai penganti Styrofoam peanuts untuk pemadat kotak.

Sebaik-baiknya anda bertanya kepada kerani pos cara membungkus barangan dengan betul untuk memastikan produk yang anda hantara samai dengan selamat ke tangan pelanggan tanpa kerosakan. Saya percaya mereka akan menolong.

# 10. Amalkan khidmat pelanggan yang baik.

Semua pembeli suka berurusan dengan penjual yang bertindak cepat atas apa-apa aduan atau keperluan pelanggan.

Cepat menjawab pertanyaan pelanggan. Bila anda tidak dapat memberi jawapan segera kerana tiada jawapan, berikan tempoh pada pelanggan agar mereka tidak tertunggu-tunggu.

Cepat menghantar produk. Berikan no.tracking supaya pelanggan tahu di mana kedudukan barangan yang mereka beli. Berikan resit belian. Atau hadiah tambahan untuk mengejutkan mereka atau sekadar poskad ucapan terima kasih kerana membeli produk daripada anda.

Buatlah apa yang anda rasakan patut untuk menghargai pelanggan anda.

Sesiapa juga boleh berjaya di eBay.

Hingga ke hari ini eBay kekal sebagai laman membeli-belah terbesar walau bersaing dengan amazon, craigslist dan laman lelongan lain. Mudah untuk bermula di eBay, tetapi mengambil masa juga untuk mencapai kejayaan yang diingini. Semuanya perlukan usaha yang teratur tanpa jemu.

Mungkin kita gementar pada mulanya. Dan kita asyik bertanya pada diri sendiri, “bolehkah aku berjaya mengharungi pasaran yang kompetitif ini. Bersaing dengan ‘pemain-pemain besar’?

Yakin pada diri yang kita boleh! Usaha tanpa jemu dapat menjamin kejayaan. Kos memulakan perniagaan melalui medium eBay amat minima tetapi keuntungannya tidak terbayang. Sayang kalau tidak mengambil peluang ini.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge