10 Wasiat Hassan al Banna Sebagai Azam Tahun Baru 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nota kali ini panjang sedikit. Harap anda dapat membacanya sampai habis dan memperoleh manfaat darinya.

Hari ini lebih baik dari hari semalam. Minggu ini mestilah lebih baik dari minggu lepas. Bulan ini hendaklah lebih baik dari bulan sebelum ini.  Untuk tahun 2012, kita berazam untuk berfikir, bercakap dan bertindak dengan lebih baik berbanding tahun 2011.

Saya tidak boleh memberitahu bagaimana caranya anda boleh menjadi baik berbanding sebelum ini. Anda tahu apa yang anda buat, sudah tentu anda tahu bagaimana untuk berbuat dengan lebih baik.

Di sini saya ingin nukilkan 10 pesanan as syahid Hassan al Banna yang boleh dijadikan azam untuk tahun 2012 ini. Pesanan ini releven sepanjang masa walaupun diucapkan lama dahulu.

Gambar dari Google

10 AZAM TAHUN BARU (telah diubahsuai tapi tidak lari dari maksud sebenar)

Azam 1# Berusahalah untuk solat pada awal waktu.

Sebaik-baiknya ialah selepas habis azan. Bila dengar azan, tinggalkan kerja dan pergi ambil wudhuk, habis azan terus solat. Lebih bagus jika dapat solat berjemaah.

Jangan melewatkan solat. Lebih lagi jangan tinggalkannya. Ketahuilah solat itu ialah sumber kejayaan, pertolongan tuhan dan taufiq.

Nota; Pergi ke kedai buku. Belilah  buku-buku berkaitan solat. Anda sudah tahu solat, jadi belilah buku selain panduan solat seperti sejarah solat, faedah solat dan sebagainya.

Azam 2# Banyakkan amalan zikir dan selawat.

Zikir dan selawat ini tidak semestinya diamalkan atas tikar solat sahaja. Di mana sahaja dan pada banyak waktu kita boleh berzikir dan berselawat

Ketika anda menunggu bas di perhentian bas, kenapa duduk berdiam diri sahaja? Bukankah baik ketika itu kita berselawat atau berzikir. Jika setengah jam kita menunggu bas, berapa banyak selawat dan zikir yang telah kita ucapkan? Bila tidak hafal zikir dan selawat….menyebut Allah…Allah…Allah pun tidak boleh?

Masa menunggu bas adalah contoh sahaja. Ketika anda berjalan dari kereta di tempat parking ke pejabat juga adalah masa terluang. Kita boleh kaitkan dengan masa-masa terluang yang lain. Anda lebih tahu masa terluang anda. Jangan sia-siakan masa itu.

Berselawat dan berzikirlah. Dari situ kita akan memperoleh rasa tenteram dan damai jiwa. Di situ juga ada jaminan keselamatan dari tuhan.

Nota; Pergi ke kedai buku. Belilah satu buku himpunan zikir dan satu buku himpunan selawat. Anda tidak perlu amalkan semua zikir dan semua selawat dalam buku itu. Baca semua dahulu dan kemudian pilih satu zikir dan satu selawat yang  terasa ‘dekat’ pada hati anda

Photostat atau salin zikir dan selawat ini dan simpan dalam kocek baju. Bila-bila ada masa seperti disebutkan di atas, bacalah zikir dan selawat ini dari salinan itu. Lama kelamaan anda akan hafal dan tidak perlukan kertas salinan itu lagi. Terus amalkan hingga ia menjadi tabiat.

Azam 3# Baca al Quran dan baca maknanya.

Selama ini kita membaca al Quran tanpa memerhatikan maknanya. Adalah baik selepas ini kita membaca maknanya pula. Maksud saya bukanlah baca makna sahaja. Bacalah satu ayat al Quran dengan suara jelas yang sederhana kemudian berhenti untuk membaca maknanya dalam hati. Kemudian sambung membaca ayat dan berhenti untuk membaca maknanya. Begitulah seterusnya.

Ada orang alim mengatakan, antara bencana yang menimpa umat Islam ialah mereka membaca al Quran tapi tidak tahu maknanya.

Makna tidak perlukan guru tapi maksud dari makna itu perlukan guru untuk mentafsirnya. Dalam majalah solusi ada ruangan tafsir al Quran. Tafsir inilah penerangan kepada maksud al Quran. Jangan menafsirnya sendiri tanpa pedoman guru.

Nota; Pergi ke kedai buku. Belilah satu al Quran terjemahan. Sebaiknya tafsir ar Rahman, tulisan ayatnya terang dan terjemahannya satu ayat satu terjemahan. Terjemahan al Quran yang popular hari ini bagi saya susah untuk meneliti maknanya. Selepas membaca satu ayat, perlu ‘mencari-cari’ maknanya.

Azam 4# Sebarkan idea tanpa bertarung mempertahankannya.

Bila anda yakin dengan idea anda yang boleh membawa kebaikan, maka sebarkan dia dengan pelbagai cara. Catatkan dalam blog atau tulis di wall facebook atau seminarkan ia atau apa cara yang anda fikirkan boleh.

Seyakin manapun anda dengan idea itu, ia sebenarnya bukan mutlak benar. Idea itu mungkin benar sekarang dan tidak benar pada masa akan datang kerana faktor masa. Tidak ada yang benar kecuali apa yang datang dari Allah.

Hujah idea anda mungkin boleh dipatahkan oleh orang lain, maka di sinilah maksudnya anda tidak perlu bertarung mempertahankannya. Jangan berdebat idea kecuali untuk kebaikan. Bila berdebat ikutlah adab-adabnya. Berdebatlah dengan baik dan penuh fakta bukan bertengkar mempertahankan ego.

Mungkin hujah lawan lebih benar dan ketika itu anda patut membuat keputusan. Ubah idea anda menjadi lebih baik. Tukar idea anda dan ikut idea lawan. Kekal dengan idea anda kerana ia releven dengan masa. Atau….

Azam 5# Banyak senyum dan sedikit ketawa.

Manusia yang paling banyak senyum ialah Baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda ketawa hanya pada masa dan tempat yang sesuai. Ikutlah sunnah baginda.

Baginda juga ada bersabda yang bermaksud, senyuman itu sedekah. Baginda tidak bersabda ketawa itu sedekah.

Plato ada berkata, orang yang banyak berlawak dan ketawa ialah golongan hamba abdi. Itulah juga pendapat Aristotle.

Janganlah menonton rancangan hiburan atau rancangan lawak yang membuatkan kita ketawa berlebihan. Ketawalah untuk menghilangkan stress bukan ketawa berlebihan yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri.

Azam 6# Bersikap serius dan berpatutan dalam bergurau.

Tanpa serius, kesungguhan akan hilang. Tanpa gurauan, kehidupan akan tawar tanpa seri.. Keyakinan hanya dapat diberikan kepada mereka yang serius. Bagaimanapun serius yang keterlaluan akan menakutkan dan menjauhkan orang.

Berikan kerehatan pada akal dan jiwamu yang serius dan sibuk itu dengan gurauan, namun jangan berlebihan. Garam perlu dimasukkan secukupnya dalam gulai supaya gulai sedap dimakan. Garam yang berlebihan akan memudaratkan kesihatan.

Azam 7# Bercakap sekadar boleh didengari.

Luqman al Hakim mencela orang yang tidak mengawal nada suaranya. Dia menganggap orang ini bersuara seperti keldai. Seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Nabi Muhammad SAW menegah seseorang menguatkan dan mengeraskan suara dalam bacaan solat dan bacaan al Quran.. tapi jangan pula merendahkannya. Pilihlah antara keduanya iaitu sederhana sekadar boleh didengari oleh telinga kita sendiri.

Bila kita bercakap dengan satu orang, cukuplah satu orang itu yang mendengarnya. Kenapa orang lain perlu terganggu dengan suara kita. Dalam soal agama pun tidak boleh mengeraskan suara, inikan pula dalam percakapan harian.

Kita hanya bercakap dengan seseorang bukan berceramah kepada sekumpulan orang. Bercakaplah sekakadar boleh didengari oleh orang yang kita cakapkan.

Azam 8# Jangan mengumpat atau merendahkan kumpulan lain.

Sekiranya anda berada dalam satu jemaah, janganlah mengumpat atau merendahkan jemaah lain. Bila anda berada dalam satu group, jangan menghina group lain. Bila anda ada idea jangan sesekali mengutuk idea orang lain.

Untuk pergi ke satu tempat banyak jalan yang boleh dilalui dan banyak jenis kenderaan yang boleh dinaiki. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Dosa mengumpat samalah seperti memakan daging mati orang yang kita umpat itu. Begitulah dosa orang yang suka mengumpat.

Tidak ada umpatan dalam Islam, yang ada hanyalah teguran untuk menghapuskan kemungkaran dan kezaliman. Yang ada hanyalah kenyataan untuk menuntut keadilah bila dizalimi dan mengumumkan kejahatan dan kefasikan yang boleh merosakkan.

Azam 9# Luaskan pergaulan dan persahabatan, jauhi permusuhan.

Ucapkan salam kemesraan kepada banyak orang. Hulurkan tangan bersalam untuk berkenalan dengan sebanyak mungkin orang. Jadikan mereka kawan. Kenapa memusuhi seseorang sedangkan kita boleh berkawan dengannya?

Berkawan biarlah banyak. Bermusuh jangan sekali. Musuh jangan dicari tapi bila ada di depan kena berani hadapi.

Azam 10# Gunakan waktu atau masa dengan sebaiknya.

Bertindaklah segera dalam melakukan amal…..Nabi Muhammad mengulangi saranan ini sebanyak 7 kali untuk menunjukkan betapa pentingnya masa.

Jadualkanlah hidup anda supaya masa itu dapat digunakan secara maksimun tanpa pembaziran. Sayangilah masa anda dan hormatilah masa orang lain.

Ada dalam 10 perkara ini yang saya kurang beri perhatian. Tahun 2012 adalah masa untuk memperbaikinya.

Share

9 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge