2 Tip Menjadi Kaya

Seorang ayah memberi tip bagaimana menjadi kaya kepada dua orang anak lelakinya. Seorang abang dan seorang adik. Tip ini adalah 2 perkara yang mesti diikuti oleh dua anaknya itu jika mereka ingin meraih kejayaan dalam perniagaan yang mereka ceburi sekaligus meraih kekayaan.

Jika 2 tip ini betul-betul  dikuti, si ayah yakin pada 5 tahun akan datang anak-anaknya akan menjadi kaya.

2 tip itu adalah;-

1# Jangan sekali-kali menagih hutang daripada sesiapa pun!

2# Jangan sesekali tubuh kamu terkena terik matahari secara terus!

Belum sampai 5 tahun si ayah telah meninggal. Maka si ibu menjenguk anak-anak, mahu melihat apa hasil pesan suaminya kepada anak-anak mereka.

Perniagaan si abang amat mendukacitakan. Hidup segan mati tidak mahu. Bila si ibu bertanya kenapa perniagaan anak sulungnya itu begitu teruk. Si abang memberitahu;…

Pertama ayah melarang menagih hutang dari sesiapa, jadi si abang tidak mengutip hutang daripada orang yang berhutang dengannya. Dan orang yang berhutang pula tidak membayar. Semakin lama modal perniagaan semakin habis dan tiada lagi duit untuk pusingan modal perniagan.

Kedua ayah melarang terdedah kepada cahaya matahari, jadi si abang yang hanya ada motorsikal tidak menggunakan motorsikal bagi urusan perniagaan. Pergi dan balik kerja, juga jika mahu ke mana-mana tempat khusus, terpaksalah keluarkan duit banyak untuk membayar tambang teksi atau menyewa kereta. Banyak duit habis untuk itu sahaja.

Kemudian si ibu pergi menjenguk anak bongsunya.

Perniagaan si adik amat menguntungkan. Ramai pekerja dan banyak cawangan. Kehidupan peribadi si adik juga memberangsangkan. Punya rumah besar dan kereta mewah. Bila si ibu bertanya kenapa perniagaan anak bongsunya itu berjaya berbanding si abang. Si adik memberitahu…

Pertama ayah melarang menagih hutang dari sesiapa, jadi si adik tidak pernah memberi hutang kepada sesiapa. Bila tiada orang berhutang dengannya, jadi tiada sebab untuk menagih hutang dari sesiapa. Kerana tidak memberi hutang kepada sesiapa, si adik memiliki kekukuhan modal yang banyak untuk mengembangkan perniagaannya.

Kedua ayah melarang terdedah kepada cahaya matahari, jadi si adik akan keluar kerja awal sebelum matahari terbit dan balik lewat selepas matahari terbenam. Si adik bukan sahaja tidak terdedah kepada cahaya matahari walau menunggang motorsikal pada awal perniagaannya, bahkan tabiat kerja awal dan balik lewat itu membolehkan dia membuat lebih banyak kerja untuk mengembangkan perniagaan. Dan pelanggan juga tahu perniagaannya buka awal dan tutup lewat.

Lihatlah bagaimana dua orang mendapat maklumat yang sama tetapi membuat tafsiran yang berbeza.

Bagaimana kita mentafsir maklumat itulah yang menentukan kita berjaya atau gagal. Bagaimana cara kita mengurus maklumat itulah yang menentukan kita kaya atau kekal miskin.

Kebijaksanaan kita dalam mentafsir dan mengurus sesuatu maklumat datang daripada ilmu yang sentiasa dipelajari dan diamalkan. Dipelajari dan diamalkan. Dipelajari dan diamalkan!

Saya berpegang kepada sikap sentiasa mahu belajar dan berusaha mengamalkannnya dalam kehidupan supaya saya dapat mentafsir dan mengurus maklumat yang datang dalam kehidupan saya dengan cara yang sepatutnya. Dengan itu ia memberi kebaikan kepada kehidupan saya.

Saya percaya anda juga begitu.

 

Share nota ini bila ia berguna untuk anda kerana tentunya berguna untuk orang lain juga…….klik butang share di bawah.

Share

25 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge