7 Cara Mudah Membangkitkan Minat Dan Mengekalkannya

SITUASI begini sering terjadi kepada diri saya. Saya ada idea untuk berbuat sesuatu dan saya terus membuatnya dengan penuh kesungguhan.

Bagaimanapun kesungguhan itu tidak bertahan lama. Selalu sangat terjadi bila sampai pada separuh kerja yang dibuat, kesungguhan menjadi tidak sungguh. Dan kerja itu akhirnya terbiar. Minat dan semangat yang panas pada mulanya  menjadi suam dan akhirnya sejuk.

Pernahkah anda menghadapi perkara sebegitu? Saya tidak tahu bagaimana caranya untuk mengakhiri tabiat buruk ini. Bersungguh pada awal kerja. Tidak bersungguh pada pertengahan kerja. Dan kerja itu tidak habis dibuat sampai ke hujungnya. Lagilah mustahil untuk menjadikan kerja itu terus menerus dibuat.

Dalam mencari-cari cara untuk mengekalkan minat pada satu-satu perkara itu, saya terjumpa 7 cara mudah membangkitkan minat dan mengekalkannya di dalam buku Sentuhan Kejayaan; A Touch of Greatness, tulisan Frank Tibolt terbitan Thinker’s Library.

7 Cara Membangkitkan Dan Mengekalkan Minat

Cara# 1
Selalu bercakap pada diri sendiri dengan kata-kata yang membangkitkan semangat. Kata-kata motivasi yang memberi motivasi pada diri sendiri. Jangan cakap kuat, nanti orang akan mengatakan kita ini gila. Cakap perlahan. Dalam hati juga boleh. Bila kita berseorangan, bolehlah bercakap kuat.

Selalu katakan begini, “Saya boleh buat perkara ini. Saya yakin dapat membuatnya sampai tamat. Saya pasti berjaya mencapai impian saya dalam bidang ini.”

Ini kata-kata saya. Anda boleh ucapkan kata-kata anda sendiri. Pendek boleh, panjang juga boleh.

Cara# 2
Gambarkan atau bayangkan dalam fikiran yang anda telah berjaya mencapai perkara yang anda usahakan itu.

Anda mahu jadi penulis, jadi tidak salah untuk membayangkan buku yang tercatat nama anda sebagai pengarang. Bayangkan anda sedang menandatangani buku tulisan anda itu di satu majlis meriah dengan barisan orang beratur panjang menunggu giliran,  masing-masing memegang buku yang tercatat nama anda.

Apa lagi yang boleh anda bayangkan, maka bayangkanlah.

Cara# 3
Buatlah satu senarai kebaikan. Bila menceburi satu bidang itu atau berbuat sesuatu pekerjaan. Fikirkan apa faedah yang akan anda dapat, baik kebaikan yang didapat ketika sedang berbuat itu atau kebaikan setelah kita berjaya membuatnya.

Faedah itulah kebaikan yang patut dicatat. Catatlah sebanyak yang boleh. Dan bacalah catatan ini selalu, paling kurang sekali sebelum tidur.

Cara# 4
Antara cara kita mahu tahu keperibadian seseorang itu, lihatlah siapa kawan dia. Untuk melihat kawannya sahaja adalah tidak tepat kerana dia mungkin peramah yang membuakannya ramai kawan. Maka lihatlah siapa kawan yang selalu didampinginya. Kawan yang kerap digaulinya. Secara alami, seseorang akan mencari kawan yang ‘sekepala’ dengannya.

Jadi, carilah kawan yang sama bidang dengan kita ceburi. Jadikan mereka teman rapat. Jadikanlah mereka kawan yang kita sanggup berhabis masa dengannya berbanding kawan berbual yang lain.

Cara# 5
Banyakkan membaca buku berkaitan bidang yang kita ceburi. Baca juga biografi tokoh yang berjaya dalam bidang yang kita minat itu. Kalau buku dalam bidang yang diceburi itu kurang dalam pasaran, ini peluang untuk  menulis buku tersebut.

Cara# 6
Membaca sahaja mungkin tidak banyak membantu. Perlu luangkan masa menghadiri kursus-kursus berkaitan bidang tersebut. Apa yang didapati dalam kursus tersebut mungkin tidak terdapat dalam buku yang dibaca. Dalam kursus ini juga, kita boleh menambah kawan yang ‘sekepala’ [cara# 4].

Cara# 7
Semakin lama berkecimpung dalam satu-satu bidang itu, akan timbul idea-dea baru untuk mengukuh dan mengekalkan minat dalam satu-satu bidang itu. Idea ini berlainan daripada cara yang diketahui sebelum ini.

Jangan pendamkan atau jangan biarkan idea itu, laksanakan!

Itulah 7 cara yang dapat dicatatkan di sini. Anda tahu cara# 8 dan seterusnya? Bila anda tahu cara, kongsikan dalam ruangan komen.

Share

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge