9 Faktor Menjadikan Destinasi Ini Tempat Bercuti Terbaik Di Dunia

Ketika bercuti, ke mana destinasi yang anda mahu bawa keluarga pergi berjalan-jalan makan angin?

Sudah tentulah baik di dalam negara mahu pun di luar negara, tempat yang hendak dikunjungi itu semestinya serba serbi ada.

Satunya, ada tempat atau kawasan menarik yang boleh dilawati.

Dua, banyak aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang bercuti.

Tiga, penginapan yang selesa.

Empat, tentunya semua itu tidak membebankan bajet yang diperuntukkan untuk berjalan-jalan makan angin itu.

Mana destinasi untuk dipilih yang menepati 4 kriteria di atas?

Ke mana-mana pun destinasi menarik yang anda lihat iklannya di TV atau YouTube atau media sosial lainnya, ia tidak dapat menandingi destinasi ini yang menjadi tempat percutian terbaik di dunia.

Di mana destinasi percutian terbaik di dunia?

Di kampung kelahiran, di rumah orang tua sendiri!

Hah! Anda mungkin ketawa dan katakan mengarut. Cuba teliti faktor-faktor yang saya senaraikan di bawah. Saya percaya sedikit sebanyak anda setuju bila dikatakan kampung kelahiran, di rumah orang tua adalah tempat percutian terbaik di dunia.

Berikut 9 faktor menjadikan rumah orang tua (kampung kelahiran) adalah tempat bercuti paling baik di dunia:

(nota: saya mengiaskan faktor ini dengan kampung kelahiran saya, Kampung Luat Lenggong Perak. Anda boleh bandingkan kampung anda sendiri)

1# Dekat sangat

Sama ada anda berada di hujung Johor berhampiran Singapura dan rumah orang tua di hujung Perlis  dekat dengan Siam, berulang alik di antara kedua tempat itu tidak akan terasa jauh.

Lebih lagi sambil-sambil mendengar lagu nyanyian lagenda Sudirman, ‘Balik Kampung’ ketika memandu atau menaiki pesawat.

2# Bajet lebih dari cukup

Kalau anda mampu menyediakan bajet ke luar negara untuk bercuti, tentulah tidak seberapa belanja untuk balik ke rumah orang tua di kampung.

Malah dapat pula tinggalkan belanja yang banyak kepada orang tua sebelum balik ke rumah sendiri.

3# Disambut seperti VVIP

Kalau anda bermalam di hotel paling tinggi bintangnya sekalipun, layanan yang anda terima di hotel itu tidak dapat menyaingi sambutan kedua orang tua.

Layanan di hotel kerana mengharapkan bayaran dari anda sementara orang tua menyambut anda kerana kasih sayang semata-mata.

4# Bilik tidur yang selesa

Tidak ada tempat terbaik untuk tidur dan melepaskan lelah kecuali bilik yang kita huni semasa membesar.

Bantal ‘busuk’, selimut lusuh atau mungkin katil yang sudah berkeriuk bunyinya tidak menjadi soal. Malah ia mungkin menjadi cerita yang menarik sebagai halwa telinga anak isteri. Tidur tetap nyenyak.

5# Sajian makanan yang enak

Emak bila memasak, ringkas je. Kadang seperti bahan masakannya tidak cukup, tapi rasanya tidak dapat diucap dengan kata-kata. Serba serbi emak boleh masakkan kalau anaknya ingin makan.

Lagi-lagi kalau anda belikan bahan-bahan masakan. Pagi-pagi pergi ke pekan membeli ikan, daging dan sayur segala bagai. Atau pagi-pagi tunggu tepi sungai, menunggu nelayan sungai naik ke darat membawa hasil tangkapan yang lepas subuh tadi turun sungai memukat.

Jangan meminta emak memasak sahaja. Cari bahanya. Bantu di dapur mana yang patut. Ketika makan tentu asyik menambah nasi. Balik ke rumah sendiri, badan berisi sedikit.

6# WiFi memang tidak ada

Cukuplah ada line telefon untuk hal-hal yang penting. Internet tidak ada pun tidak mengapa. Tinggalkan sekejap Internet dan hal-hal dunia luar.

Sudah balik bercuti ke kampung, cukup ambil tahu hal-hal kampung. Selama kita tinggalkan kampung, banyak peristiwa yang berlaku. Kita tidak perlukan Internet untuk ambil tahu semua perkara tu.

Di kedai kopi, tepi kolah musolla, tengah merewang kenduri, di pangkin tepi kedai runcit atau rumah rehat menunggu bot tepi sungai… banyak berita yang kita boleh dapat di situ.

Jangan menggunjing sudah!

7# Tempat menarik banyak

Banyak perubahan pekan kecil di kampung. Mungkin sudah tidak boleh dipanggil pekan lagi. Mengamati perubahan pekan ini pun sudah banyak cerita yang boleh dikisahkan kepada keluarga.

Boleh juga bersiar di bandar yang berdekatan. Turun ke pekan sehari. Menikmati udara tepi sawah yang nyaman. Petang-petang lepak di rumah rehat tepi sungai melihat nelayan sungai memukat atau memancing.

Berkunjung ke kampung sebelah pun boleh. Ada taman rimba dengan air terjun tempat berkelah. Mungkin ada gua-gua sejarah tempat penggalian bukti sejarah. Ada padang ragut rusa. Atau berakit di tasik yang menjadi tempat penggambaraan filem Hollywood, “Anna and The King”!

Siapa kata kampung tiada tempat menarik?

8# Aktiviti yang menyeronokkan

Masa cuti lah orang kampung akan mengadakan kenduri kendara. Inilah peluang untuk join rewang sebelum kenduri. Majlis rewang ni semakin hari semakin pupus. Jangan tinggalkan peluang untuk menyertai aktiviti ini sebelum pupus!

Atau mungkin juga ‘berkubang’ di tali air sawah atau anak sungai sambil memancing atau menauk ikan. Tidak pun berkeliling kampung bertemu sanak saudara atau kawan-kawan lama. Sesekali boleh masuk gelanggang silat. Jadi penonton pun jadilah kalau ilmu silat tidak ada.

Mengutip buah buah di kebun pun seronok. Atau cuba-cuba turun menorah, mengutip sekerap atau membajak sawah.

Aktiviti membersihkan rumah orang tua pun bagus juga. Cat mana yang patut. Merumput di halaman. Susun elok-elok pasu bunga. Pangkas dahan dan daun pokok di halaman yang tidak perlu.

9# Tenang dalam beribadah

Mungkin selama ini kita ‘kelam kabut’ dalam beribadah. Subuh memang susah berjemaah di masjid atau surau. Subuh di rumah pun buat seperti kilat, sebab mahu berkejar ke tempat kerja. Takut jalan jem.

Zohor dan Asar mungkin sempat berjemaah. Banyaknya solat sendirian. Maghrib masih dijalanan. Solat Maghrib akhir waktu sekaligus dengan Isyak.

Bercuti di kampung lah peluang terbaik untuk beribadah dengan lebih tenang.

Malam tidur awal. Besoknya bangun sejam sebelum subuh. Sempat untuk tahajud, solat fajar dan membaca alQuran sebelum subuh di masjid atau surau. Lepas subuh boleh berlama-lama berwirid atau mendengar kuliah subuh.

Begitulah…

Anda boleh pergi ke mana sahaja di dunia ini untuk bercuti. Itu hak anda. Anda yang berhak menentu mana tempat bercuti yang terbaik.

Namun selalulah pulang bercuti ke kampung halaman.

Pulanglah melihat sawah sebelum tali air tidak mampu mengalir lagi lalu mengeraskan tanah sawah menjadi tanah kontang.

Pulanglah mandi-mandi di anak sungai sebelum pasir menimbun dan lumpur menggelodak lalu sungai kecil menjadi ‘longkang’ besar.

Pulanglah melihat bot penambang mengangkut penduduk menyeberang sungai sebelum jambatan siap lalu bot menjadi kenangan.

Pulang selalu ketika segala-galanya masih ada. Sebelum sebahagiannya atau semuanya lenyap ditelan masa.

Share

4 comments

  1. Jīngrén de wénzhāng wěidà de gōng​​zuò zhuàn qǔ zìyóu de Robux – yòng Robux jiěsuǒ nǐ de xiǎngxiàng lì. Nín kěyǐ shǐyòng zhèxiē jīfēn duìhuàn gè zhǒng jiǎnglì, bāokuò nín kěyǐ yòng lái gòumǎi Robux de xiànjīn, zhè shì rèmén MMO Roblox de yóuxì bì! Shǐyòng nǐ de Robux wèi nǐ de tóuxiàng gòumǎi shēngjí hé tèshū nénglì.

Leave a Reply to Khairul Zamri Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge