Akibat Dosa Sebelum Kahwin

Krisis perkahwinan yang membawa kepada pergaduhan suami isteri yang perpanjangan atau akhirnya bercerai bukanlah kerana tidak adanya kesefahaman lagi atau kerana sudah hilang kasih sayang (ini hanya alasan luaran sahaja), akan tetapi sebab sebenarnya kerana hati sudah tiada ketenangan.

Dalam tazkirah singkat sebelum solat Jumaat pada 20hb September 2013, di Surau (Masjid) Balai Polis Dang Wangi, pegawai JAKIM yang mengendalikan persoalan krisis rumahtangga bertanyakan kepada hadirin, kenapa hati tidak tenang setelah berkahwin? Jawapannya kerana dosa-dosa yang dibuat sebelum kahwin!

Beliau (saya tidak tahu pula apa namanya, kerana beliau memberi tazkirah tanpa mengenalkan nama) mengingatkan bahawa lelaki dan wanita yang berbuat dosa sebelum berkahwin, dosa itu tidak terhapus dengan perkahwinan. Dosa itu tetap mesti diminta ampun pada Allah!

Perbuatan yang halal dibuat setelah berkahwin tetapi amat berdosa dibuat sebelum kahwin adalah seperti berpeluk-peluk dan bercium-cium. Perbuatan itu kekal menjadi dosa walaupun sudah berkahwin sekiranya tidak diminta ampun pada Allah dan Allah tidak mengampunkannya.

Seorang lelaki berdosa besar bila dia merogol seorang gadis. Dan dia tetap menanggung dosa itu walaupun dia mengambil tanggungjawab mengahwini gadis yang dirogolnya. Dia tetap berdosa besar walau gadis itu rela dikahwininya.

Sekiranya dia tidak minta ampun pada Allah dan Allah tidak mengampunkannya, dia kekal berdosa walau dia setia dengan gadis itu sampai ke tua dan beranak dan bercucu cicit!

Ramai yang menganggap, apa-apa juga perbuatan dosa yang dibuat sebelum berkahwin akan terhapus dengan sendirinya setelah berkahwin. Ini anggapan yang amat salah sama sekali.

Bila tidak diminta ampun pada Allah dan Allah tidak mengampunkannya, dosa-dosa itu akan ‘menggoncang’ kebahagiaan hidup suami isteri. Ataupun ‘goncangan’ itu datang dari perangai anak-anak yang mengikut jejak dosa seperti yang dibuat oleh ibubapanya.

Suami isteri yang berkrisis hingga hilang kebahagiaan rumahtangga tidak semestinya kerana dosa silam. Akan tetapi suami isteri yang mempunyai dosa silam yang tidak diminta ampun dan tidak terampun pasti akan berkrisis!

Share

23 comments

Leave a Reply to suri Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge