Aku Budak Lenggong #Arkib Buku

Sebelum ini saya ada beritahu 3 sebab utama kenapa saya rekodkan setiap buku yang ada dalam simpanan saya;

Sebab #1 – Sebagai motivasi diri untuk mengulang baca setiap buku yang ada.

Sebab #2 – Mendorong untuk menambah koleksi buku yang ada dalam simpanan.

Sebab #3 – Harapan besar agar ia turut memotivasi dan mendorong pembaca blog ini untuk membeli dan membaca buku.

Tidak hanya komentar isi kandungan buku itu tetapi mungkin semuanya saya akan rekodkan. Di mana saya beli atau harganya. Sudah tentu nama pengarangnya dan penerbit. Dan apa sahaja kenangan tentang buku itu sekiranya ada.

TAJUK; Aku Budak Lenggong; Walau di mana pun aku berada, aku masih lagi budak Lenggong…

aku budak lenggong

PENGARANG; Hamizul Abdul Hamid. Anak jati Lenggong. Kini bertugas sebagai Eksekutif Dakwah di Lembaga Zakat Selangor. Aktif menulis dan menyampaikan dakwah zakat di merata tempat.
Penulis buku – ‘Diari Seorang Amil; Zakat Mengubah Diri’.
Boleh dihubungi di… http://www.hamizul.com

PENERBIT; Kemilau Publika (www.kemilau.net.my).
Cetakan pertama, Oktober 2014.
ISBN; 978-967-361-133-1
Harga; RM20sm/RM23ss

TEMPAT BELI; Pustaka Pertama, Komplek Pertama, Jln.T.A.R, Kuala Lumpur.
Harga beli; RM17 diskaun RM3.
Tarikh beli ; Jumaat 02/10/15.

CATATAN TENTANG BUKU

Saya juga anak kelahiran Lenggong. Dan setiap apa yang dicatatkan di dalam buku ini hampir kesemuanya pernah saya alami. Bezanya penulis buku ini ada ingatan yang kuat untuk memperincikan setiap kejadian yang diharunginya semasa kecil dan mencatatkannya di dalam sebuah buku.

Tidak ramai yang semasa kecilnya melalui zaman tiada elektrik. Pelita minyak tanah dan kabaid adalah sumber cahaya. TV adalah peti ajaib. Sungai, bendang, kubang adalah tempat bermain. Lastik, senapang kayu, gasing, congkak juga batu Seremban adalah barang permainan.

Serta banyak lagi kenangan yang tidak terungkap dan tidak mungkin akan dialami lagi. Serta banyak lagi barangan dan alatan yang mungkin tidak akan dijumpai lagi.

Buku ini tidak dianggap memoir kerana memoir bagi si penulis sesuai untuk tokoh hebat dan ternama dan juga banyak jasa.  Aku Budak Lenggong hanya sekadar catatan memori masa kecil di kampung tempat lahir.

Tidak ramai orang mudah ingat zaman kecilnya. Kerana itu buku ini mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan. Ditulis sedikit demi sedikit secara santai, pada masa senggang sebelum tidur.

Lenggong adalah daerah kecil di Hulu Perak yang subur hijau dan nyaman. Utaranya, daerah Grik sementara selatannya, daerah Kuala Kangsar.

pekan lenggong

Macam-macam ada di lenggong. Di Lenggong ada ada Tasik Raban yang terbentuk bila terbina Empangan Chenderoh. Empangan pertama dibina di Asia Tenggara pada 1927. Di Lenggong ada Lata dan Jeram tempat berkelah. Ada gunung dan bukit yang dipenuhi rangkaian gua-gua untuk diterokai. Ada ladang ternakan rusa. Ada banyak lagi.

Lenggong mula terkenal di Malaysia bila berlaku kes al-Maunah di Kg. Jenalik pada penghujung tahun 2000.

Dan Lenggong mula terkenal di dunia bila ‘Perak Man’ ditemui di salah satu gua di sini. Hasil penemuan ini Muzium Arkeologi Lenggong dibina. Dekat benar dengan Kg. Luat, tempat lahir saya.

Pada 2 Julai 2012, UNESCO telah mewartakan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana Lenggong khususnya di Kota Tampan, tapak Muzium Arkeologi dibina adalah daerah yang banyak menyumbang data kepada pengetahuan pra-sejarah Malaysia dari 1,000 hingga 300,000 tahun dahulu.

Lenggong adalah daerah ‘pelarian diri’ daripada kekacauan minda dan kemelut kota besar yang bingit dan menekan perasaan.

Seperti penulis, saya juga lahir di Lenggong. Saya tidak malu mengaku dari mana saya berasal.

Share

19 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge