Aku Mahu Bakar Semua Buku

#cerita pendek yang bukan cerpen#

Aku mahu bakar semuanya. Satu pun tidak tinggal. Apa yang ada di rak. Semua yang ada dalam kotak, akan dibakar!

‘’Apa yang kau mahu bakar?’’ Tanya teman kehairanan. Aku merungut-runggut mahu membakar sesuatu. Dan itu membuatkan timbul tanda tanya dalam hatinya.

‘’Semua buku yang ada dalam simpanan aku ini, akan aku bakar!”

Gila! Memang satu tindakan yang dianggap tidak masuk akal kalau buku yang dibeli dan dikumpul sejak sekian lama ini mahu dibakar habis. Orang akan mengatakan aku ini tidak betul. Aku akan dituduh gila.

koleksi buku ahmadyani

Aku sayang semua buku yang ada dalam simpanan. Rasa sayang itu kekadang membuatkan aku bertindak tidak waras.

Aku hampir menangis bila ‘terpaksa’ menyerah sejumlah buku pada perpustakaan sebuah sekolah kerana masalah ruang di rumah sewa.

Aku sesak nafas bila beratus buku dalam kotak musnah ditenggelami air dalam banjir kilat di Kampung Baru.

Aku buat tidak peduli bila kawan menggelar aku kedekut. Kedekut meminjamkan buku pada orang. Buku yang lambat dipulangkan kemudian hilang, amat menyiksakan hati. Kenapa mahu memberi pinjam buku pada orang yang tidak menjaganya dengan baik?

Membeli buku sudah menjadi satu ketagihan seperti ketagihan perokok pada rokok. Dalam sesak tiada duit, aku sambar senaskhah buku baru. Buku baru belum habis dibaca sudah beli yang lain. Bila tiba-tiba aku gelisah tidak tentu arah, tahulah yang aku sudah lama tidak mencium bau buku di kedai buku.

“Kenapa mahu bakar buku kalau kau begitu sayangkannya,” dia bertanya lagi.

Teman aku ini tidak suka baca buku. Bacaannya hanya akhbar dan majalah picisan yang tidak membangunkan akal dan tidak membentuk jiwa.

Dia tentunya tidak mengerti masalah yang aku hadapi dengan buku-buku ini. Secara tepatnya aku ada masalah [kesulitan] dengan pembacaan. Aku tidak tahu adakah pencinta dan pembaca buku mempunyai masalah sama seperti aku.

Kesulitan# 1
Apa yang aku baca tidak membantu aku dalam susunan kata seharian. Aku kaku untuk berkata lancar di hadapan orang. Tidak tahu apa yang mahu dikata. Tergagap tiada ayat yang mampu diucap. Susunan indah bahasa buku tidak dapat meng’indah’kan kata-kataku.

Kesulitan# 2
Susunan indah bahasa buku juga tidak mampu mengindahkan susunan ayat apa yang aku tulis. Kadang-kadang aku ‘geram’ bila membaca kembali apa yang ditulis. Marah pada tulisan sendiri yang aku rasakan, tulisan itu mampu dikarang oleh adik-adik sekolah rendah. Malah mereka mungkin menulis dengan lebih baik.

Dan tulisan itupun terbiar dalam laci. Dan banyak kali ia mendarat dalam tong sampah.

Kesulitan# 3
Ini kesulitan yang paling berat aku rasakan. Bacaan yang banyak tidak ‘memenuhkan’ kotak akal. Fikiran masih terasa kosong. Pembacaan masih membuatkan aku berasa tidak tahu apa-apa. Aku masih di takuk lama, masih tidak pandai-pandai.

Disebabkan itu, sesekali timbul niat mahu membakar habis buku yang ada dalam simpanan. Buku-buku ini tidak ‘menolong’ aku.

Temanku terngangga. Berasa sia-sia bercerita masalah pada dia yang tidak suka membaca buku ini. Apa yang dapat dia bantu? Meskipun begitu, dia telah memberikan saranan yang aku tidak terfikirkan.

“Baik kau jumpa tuan guru. Mungkin dia ada jalan penyelesaian.”

Saranan temanku itu, menghantar aku ke hadapan tuan guru. Tuan guru tidak memberi apa-apa penyelesaian terhadap masalahku. Tuan guru hanya melontarkan satu pertanyaan.

“Hari ini, berapa ‘ain’ ayat Al Quran yang telah kamu baca?”

Aku tinggalkan tuan guru dengan bermacam perasaan yang bermain dalam jiwa. Akalku diasak dengan persoalan.

Apakah ini peringatan Allah?

Allah mahu aku menguasai ilmu-Nya dahulu sebelum berusaha mencari ilmu yang lain? Allah mahu aku menekun baca kitab-Nya dahulu sebelum ghairah membaca buku lain? Allah ‘menyekat’ aku mendapat manfaat dari buku yang aku baca dan akan ‘melepas’kannya setelah aku mencari manfaat dari kitab-Nya dahulu?

Apapun persoalannya, pertanyaan tuan guru tadi telah menyentak hatiku. Oh tuhan! sudah lama aku tidak memegang kitab-Mu dan membacanya.

Share

12 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge