Aku Pun Pernah Disengat Tebuan

Ini kisah 6 sekeluarga yang diserang tebuan. Asalnya mereka menyelusuri tebing Sungai Sebang, dekat benar dengan Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan Sarawak untuk mencari pucuk nipah. Pucuk nipah ini mereka mahu jadikan sarung membuat tapai.

Sarang tebuan berwarna hitam sebesar sebiji bola sepak jatuh selepas pucuk nipah ditarik dan sekelip mata sahaja ratusan tebuan menyerang. Allah ambil tiga nyawa daripada mereka.

Tebuan

Sharifah Norhasyiawati Wan Aribi, 24 disengat 50 tebuan. Anaknya Nor Sharina Sharizan,6 disengat 40 tebuan dan kakak ipar Sharifah, Esah Ebon, 42 disengat 35 ekor tebuan. Mereka meninggal ketika menerima rawatan.

Tiga yang lain selamat. Suami Sharifah, Sharizan Ebon, 32. Anak mereka, Khuzairi, 3 serta anak saudara mereka, Ismail Jemali, 9 yang disengat antara 10 hingga 15 ekor tebuan masih menerima rawatan di ICU Hospital Umum Sarawak.

Membaca berita tentang enam sekeluarga ini di Berita Harian (BH), 8 September, 14, aku pula teringat yang aku pernah juga disengat tebuan! Sebenarnya ingat-ingat lupa kerana ini peristiwa zaman kecil. Belum masuk tadika lagi.

Depan rumah di kampong ada pokok Bacang. Dipanggil juga macang atau embacang, sejenis mempelam. Bukan mempelam kacukan. Batangnya besar lebih sepemeluk. Tingginya hampir-hampir menyamai tinggi pokok kelapa kampong.

Selalunya hanya kutip buah yang jatuh. Entah mengapa hari itu, gatal tangan mahu baling buah atas pokok. Tidak sedar ada sarang tebuan. Sudah tidak ingat tebuan apa. Bukan sarang besar dengan tebuan kecil yang banyak. Tebuan ini jenis yang suka buat sarang pada alang rumah. Sarangnya kecil. Hanya ada dua tiga ekor tapi besarnya sebesar ibu jari budak kecil.

Aku kena sengat tiga ekor. Tiga ekor tebuan ini semacam berpakat-pakat pula. Sengat serentak pada satu tempat, betul-betul di bahu. Macam doktor buat cucukan pelalian.

Aku berlari ke rumah meraung panggil mak. Semasa panjat beberapa anak tangga kayu, kepala sudah berpinar-pinar. Belum sempat mencapai pintu. Aku pitam dan jatuh ke bawah tangga.

Banyak peristiwa masa kecil yang aku tidak ingat. Dan entah kenapa aku tidak pula mahu meminta ibu menceritakan kisah-kisah itu. Aku tidak tahu, apakah aku dibawa ke klinik atau mak cuma minta tok tawarkan bisa dengan air yang didoakan.

Cuma apa yang aku ingat, mak beritahu umur aku masih panjang. Tiga ekor tebuan besar menyengat bisanya pada budak kecil dan budak kecil itu masih hidup. Dan semasa jatuh terlentang sewaktu panjat tangga, kepala aku hanya sejengkal dua sahaja daripada simen tebal dan tajam tempat letak tempayan basuh kaki.

Aku bersyukur umur aku masih panjang sampai ke hari ini. Dan alFatihah untuk Sharifah Norhasyiawati Wan Aribi, Nor Sharina Sharizan dan Esah Ebon yang meninggal disengat tebuan.

 

Share

18 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge