AlQamah Anak Kesayangan Ibu

Si ibu tidak mengaku AlQamah sebagai anak kerana menganggap AlQamah anak yang derhaka.

Derhaka kerana melebihkan isteri dalam segala sudut dan ‘menolak ke tepi’ ibu sendiri. Status derhaka itu membuatkan AlQamah susah mengucap ketika dia nazak sehingga perlu dikhabarkan kepada Rasulullah SAW.

Permintaan Rasulullah SAW supaya AlQamah diampunkan tidak diendahkan ibunya. Rasulullah SAW mahu membakar AlQamah di dunia lagi supaya nanti tidak akan dibakar di Neraka. Si ibu tersentuh hati. AlQamah diampunkan. Maka AlQamah boleh mengucap sebelum dia meninggal.

Ini cerita popular. Cerita ini diguna sebagai entri blog, status facebook, lirik lagu nasyid, modul kem motivasi, bahan isi berceramah dan kandungan teks khutbah.

Cerita AlQamah menjadi bahan motivasi supaya umat menjadi anak yang soleh dan solehah. Usah sesekali menderhaka kepada ibubapa.

Rupanya, kefahaman tentang cerita AlQamah ini tidak betul. Keseluruhan cerita AlQamah ini tidak benar. AlQamah bukan anak derhaka. Bagaimana AlQamah menjadi anak derhaka sedangkan kisah AlQamah adalah kisah dusta? Hadis tentang cerita AlQamah adalah hadis palsu!

Memang sejak dahulu lagi saya ragu-ragu dengan kisah ini. Akan tetapi keraguan ini saya pendamkan kerana takut dikatakan ragu kepada hadis. Keraguan kepada hadis boleh menimbulkan kes yang berat pada keimanan seseorang.

Saya ragu kerana sejahat anak zaman ini sampai ada yang sanggup mahu bunuh ibu sendiri, si ibu masih memaafkan. AlQamah hanya melebihkan isteri, sampai begitu tega si ibu tidak memaafkan AlQamah?

Saya ragu kerana siapa pula yang tega menolak permintaan Rasulullah SAW? Ibu itu sanggup menolak permintaan Rasulullah SAW supaya memaafkan anak hanya kerana marahkan anak yang melebihkan isteri daripada ibu sendiri? Asas kemarahan itu tidak kuat. Kalau asas kemarahan itu kuat sekalipun, tentu insan yang beriman tidak akan sanggup menolak permintaan Rasulullah SAW.

Berdasarkan penilaian mendalam ulama termasuk Ibn al-Jauzi memutuskan “Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah.” Terutamanya bila jalur periwayatan hadis ini bertemu dengan perawi bernama Fa’id Abu Warqa’ daripada Abdullah bin Abi Aufa.

Fa’id Abu Warqa’ ini sudah disenarai hitamkan oleh kebanyakkan ulama hadis. Imam Abu Hatim mengatakan hadis yang diriwayatkan oleh Fa’id adalah batil. Iman al-Zahabi menyifatkan Fa’id seorang yang ‘hancur’. Ibn Ma’in menganggap Fa’id tidak boleh dipercayai.

Ulama dan ahli sejarah ‘pening kepala’ memikirkan siapakah AlQamah ini? Siapa nama ayahnya. Termasuk di dalam kabilah apa? Tidak ada maklumat peribadi tentang siapa AlQamah ini.

Yang benar ialah terdapat 5 sahabat Rasulullah SAW yang bernama AlQamah. Paling terkenal ialah AlQamah bin Mujazzir, ketua tentera kecil seramai 300 orang untuk operasi ketenteraan kecil-kecilan yang disebut ‘sariyah’. Sebagai pasukan tinjau dan mengawal perbatasan.

Pada zaman tabiin pula terdapat ulama besar bernama AlQamah bin Qais yang menimba ilmu daripada ramai sahabat terutama Abdullah bin Mas’ud ( Ibn Mas’ud). Banyak meriwayatkan hadis daripada Saidina Umar dan Uthman. Juga daripada Huzaifah dan isteri nabi, Aisyah. Kemudian daripadanya pula banyak ulama meriwayatkan hadis termasuk Imam Ahmad bin Hanbal.

Jadi AlQamah bukanlah individu yang derhaka. Mereka sahabat dan generasi soleh. Tentunya mereka anak yang taat kepada ibu.

Tidak patut kisah AlQamah anak derhaka ini disebut dan dipanjangkan lagi. Walaupun niatnya untuk kebaikkan, tetapi ia sesuatu yang tidak benar. Amat ‘parah’ bila kita mengaitkan Rasulullah SAW dengan sesuatu yang tidak benar.

Catatan ini adalah untuk menyebarluaskan kesedaran ini. Tiada lagi pihak yang mengangkat kisah AlQamah ini dengan apa juga cara dan untuk apa tujuan sekali pun.

Share

16 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge