Balik Raya Naik Bas Dari KL Ke Kota Gelanggi

(Baca boleh baca jangan harapkan apa-apa kerana cerita ini sekadar catatan kisah kosong peribadi… bukan untuk menginspirasi sesiapa)

Raya tahun ini, kekal balik kampung naik bas.

Bukan sewaktu raya sahaja, bila balik kampung dari Kuala Lumpur memang menggunakan pengangkutan awam. Bertahun-tahun begitu.

Stesen bas utama di KL adalah Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) yang beroperasi 24jam untuk ke semua destinasi di Malaysia… selatan, Timur dan Utara.

Tapi untuk ke Pahang (timur), warga kota tertumpu di Stesen Bas Pekeliling, Titiwangsa.

Di Stesen Bas Pekeliling ini, aku naik bas untuk ke Bandar Pusat Jengka (Bandar Tun Abdul Razak, Jengka) sebelum ke Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.

Usia Stesen Bas Pekeliling ini sudah cukup lama. Lebih 30 tahun rasanya. Berkali-kali mahu dipindahkan operasinya ke Bandar Tasik Selatan bagi menjadikan TBS-BTS pusat sehenti utama pengangkutan awam darat (terutama bas) di Kuala Lumpur.

Tetapi perpindahan tidak jadi.

Akhirnya Stesen Bas Pekeliling akan dimodenkan bersekali dengan stesen MRT2 (Jajaran Sungai Buloh – Serdang –  Putrajaya) yang sedang dalam pembinaan. Dekat sahaja, bersebelahan di seberang jalan Tun Razak. Bawah tanah adalah Stesen MRT2 Titiwangsa, sementara di atasnya, Stesen Bas Pekeliling yang baru.

Namun kerajaan baru PH memutuskan untuk tangguh pembinaan MRT ini kerana masalah kos yang tinggi. Jadi Stesen Bas Pekeliling mungkin akan kekal sebagai sedia ada. Entah sampai bila.

Operasi bas di Pekeliling, lebih tertumpu ke Genting, Bentong, Temerloh, Jerantut dan Kuantan. Juga ada ke Raub dan Triang. Bas untuk ke destinasi-destinasi ini ada banyak. Boleh pilih perkhidmatan bas yang mana.

Antara syarikat bas yang beroperasi di Stesen Bas Pekeliling ini adalah… Bulan Restu, Central Pahang, Transnasional/Plus Liner, Temerloh KL Express, Pahang Lin Siong dan Mara Liner.

Untuk ke Bandar Pusat Jengka, aku menggunakan khidmat bas TransMalaya. Aku tidak tahu kalau ada bas lain yang beroperasi untuk ke Jengka dari KL selain TransMalaya.

Dahulunya untuk sekian lama, Metrobus adalah perkhidmatan bas utama yang aku gunakan. Tetapi tidak diketahui sebabnya, Metrobus menghentikan operasinya dari KL ke Bandar Pusat Jengka

Aku syak, mungkin kerana Metrobus tidak tertanggung soal kos operasi sedangkan harga tiket tidak dapat dinaikkan. Mahu kata tiada penumpang, aku lihat asyik penuh sahaja terutama di musim perayaan.

Apa pun Alhamdulillah, masih ada bas yang ‘berjalan’ ke Bandar Pusat Jengka. Kemudahan untuk mereka yang tiada kenderaan.

Kalau kita lihat, rata-ratanya orang berkereta bila balik ke kampung. Jalan raya penuh kereta, sesak jalan di sana sini terutama bila menghampiri kawasan tol.

Tapi hakikatnya dalam pada banyak kereta, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kereta. Termasuk aku!

>>Tip Menjaga Kereta Bagi Mereka Yang Ada Kereta<<

Sama ada mereka tidak membeli kerana tidak mampu. Sama ada mereka sengaja tidak mahu membeli kerana anggap tidak berbaloi kalau diguna hanya sekali sekala sahaja.

Aku dan mereka perlukan bas.

Terasa perit bila perkhimatan bas kurang atau tiada langsung. Bila bas kurang, bererti kena berebut tiket. Bila bas tiada, bererti kena naik bas loncat-loncat!

Kalau naik bas loncat, aku perlu ke Temerloh dahulu. Atau pergi ke Bentong dahulu sebelum ke Temerloh. Dari Temerloh ke Pusat Jengka. Dari Pusat Jengka kena naik teksi atau kereta sapu untuk ke Kota Gelanggi 2.

Tetapi selalunya adik menunggu di stesen bas Jengka.

Jika jalan kosong, dari Pekeliling ke Pusat Jengka hanya ambil masa 2 jam lebih sikit sahaja dengan kelajuan normal. Bila bawa laju sikit, mungkin kurang 2 jam. Bila jalan sesak terutama musim perayaan, masanya boleh menjadi 2 kali ganda lamanya. Dan lebih ganda daripada itu pun pernah.

Dahulunya dengan Metrobas, bas akan transit di Temerloh dahulu untuk mengambil penumpang sebelum bertolak ke Pusat Jengka.

Dari Pekeliling, Metrobas  melalui KLK – Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak. Masuk ke LPT – Lebuh Raya Pantai Timur dan keluar di susur Temerloh. Dari Temerloh, melalui jalan Jengka – Kg Awah menuju ke Bandar Pusat Jengka.

Begitu juga laluan dari Bandar Pusat Jengka ke Kuala Lumpur.

Sementara TransMalaya bergerak dari Pekeliling terus ke Bandar Pusat Jengka tanpa singgah di Temerloh.

Dahulunya ada perkhidmatan bas Sri Jengka dari Temerloh – Bandar Pusat Jengka – Felda Sg Tekam Utara – Felda Gelanggi 2/4.

Dari Gelanggi 2/4 – Sg Tekam Utara – Bandar Pusat Jengka – Temerloh. 3 kali ulang alik.

Kalau perkhidmatan ini ada, adik tidak perlu tunggu di Bandar Pusat. Aku terus naik bas ke Gelanggi 2.

Begitu juga ada perkhidmatan bas Sri Jengka dari Temerloh – Pusat Jengka melalui Gugusan Jengka yang lain. Kemudahan untuk penduduk Gelanggi 2/4 dan Gugusan Jengka yang tiada kenderaan.

Gambar Google

Tetapi adik beritahu, bas henti-henti Sri Jengka sudah dihentikan operasinya. Walau masih ada bas Sri Jengka untuk perjalanan jauh dan sewa khas… bas sebegitu tidak diperlukan sangat berbanding bas henti-henti.

Aku sudah beritahu, dalam ramai orang mempunyai kereta, masih ramai lagi yang tidak memilikinya. Mereka perlukan bas! Mereka perlukan bas untuk ke bandar atau pergi ke rancangan Felda yang lain.

Alasan henti operasi tidak boleh diterima bila dikata… penduduk Felda sudah ada kereta, penumpang kurang dan kos operasi bas tinggi hingga tidak tertanggung pihak Syarikat Sri Jengka.

Operasi hanya berjalan lancar pada awalnya. Kemudiannya rungutan demi rungutan  kedengaran… bas selalu rosak, tidak tepat masa dan bas buruk. Bas baru hanya istilah bahasa sahaja, hakikatnya bas yang dikitar semula.

Pihak pengurusan selalu mendakwa syarikat bas rugi tapi demi rakyat, perjalanan bas tetap diteruskan. Hakikat sebenarnya diketahui rakyat… keuntungan tidak dilaburkan kembali ke dalam syarikat (tidak diketahui ke mana perginya keuntungan) dan syarikat diuruskan seperti entah apa!

Entah sampai bila penduduk Felda Jengka, Sg Tekam Utara  dan Gelanggi 2/4 tidak mempunyai bas…tidak tahulah.

Tidak diketahui dengan jelas siapa pemilik sebenar Bas Sri Jengka tetapi dikatakan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang –PKNP ada saham.

Kerana Kerajaan Pahang adalah kerajaan lama, mungkin keadaan adalah sama. Kalau berkerajaan baru, mungkin akan ada perubahan.

Akan tetapi jika kerajaan lama mahu berubah minda dan pengurusan cara baru… harapan akan ada bas henti-henti untuk penduduk Felda Jengka, Felda Sg Tekam Utara dan Felda Kota Gelanggi 2/4 akan termakbul.

.

.

.

Ahmad Yani Bahrom Azhar

– Sering aku ditanya orang kenapa tidak beli kereta. Mudah ke hulu dan ke hilir bila berkereta sendiri. Untuk pertanyaan ini…..nanti aku cerita lainlah.

Share

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge