Banyak Untung Jadi Rakyat Malaysia.

Banyak perkara di Malaysia yang membanggakan kita. Memang beruntung menjadi rakyat Malaysia kerana banyak yang ada di Malaysia ini, susah untuk didapati di negara lain. Malah ada yang tiada langsung di tempat lain, hanya ada satu-satunya di Malaysia.

Antara perkara yang banyak di Malaysia iaitu;…

1# Banyak Bahasa

Penutur bahasa yang banyak di dunia ada di Malaysia. Di Malaysia orang biasa bercakap Inggeris, Tamil, Mandarin dan tentunya Bahasa Melayu. Di negara lain, bila rakyatnya mahu belajar bahasa selain bahasa ibunda, mereka kena masuk kelas.

Di sini tidak payah susah-susah masuk kelas. Belajar dengan kawan pun boleh pandai.

2# Banyak Makanan & Banyak Tempat Makan

Rempah Ratus di Malaysia banyak jenis. Saya rasa yang terbanyak berbanding tempat lain di seluruh dunia. Rempah yang perbagai ini menghasilkan banyak jenis makanan. Sebut apa sahaja jenis masakan yang ingin dimakan, semua ada dijual.

Malah di Malaysia, banyak tempat makan yang dibuka khusus untuk menjual satu-satu jenis masakan. Ada restoran masakan Cina, ada masakan barat, masakan Arab, masakan India dan sebagainya. Ada yang dibuka 24jam. Bila-bila masa boleh makan.

Menghindari untuk tidak terlalu banyak makan di Malaysia ini seperti satu jihad! Berjihad ini untuk sesuatu yang payah dibuat. Memang payah untuk tidak terlalu banyak makan di negara yang ada banyak makanan dan tempat makan!

3# Banyak Yang Lawa

Apa yang lawa? Gadis-gadisnya. Perempuan di Malaysia banyak yang lawa-lawa. Cantik-cantik belaka.

Saya ada terbaca temubual antara Duta Mexico dengan Utusan Malaysia dalam surat khabar akhir 90an. Kata duta itu, dia alami 2 kejutan bila mula-mula sampai ke Malaysia.
1# Bila melihat pesatnya pembangunan di Malaysia, tidak seperti yang dia sangkakan.
2# Bila melihat perempuan di Malaysia seakan-akan sama dengan gadis-gadis latin di Mexico.

Kalau kita lihat cerita Amerika di TV atau filem. Antara 2 wanita. Wanita Amerika dan wanita latin yang sama berlakun dalam cerita itu, siapa yang kita kata cantik? Sesiapa juga akan mudah terpesona dengan pelakon latin yang berambut hitam dalam cerita itu!

4# Banyak Tempat Bercuti

Sekarang kita berada di Maldives? Oh tidak! Sekarang kia berada di Sipadan. Di Sri Lanka? Tidak! Di Cameron Highland. Mungkin kita sekarang di New Zealand? Bukan! Kita sekarang di Kundasang.

Iklan ‘Percaya Atau Tidak. Semua Tempat Menarik Ada di Malaysia’ memberitahu bahawa kita tidak perlukan banyak duit dan perlu pergi terlalu jauh untuk merehatkan fizikal dan minda yang kelesuan.

Di Malaysia banyak tempat menarik untuk kita bercuti, kadang-kadang tempat menarik itu hanya ‘di sebelah’ rumah kita!

5# Banyak Perayaan

Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang menjadikan perayaan satu-satu kaum itu sebagai perayaan negara! Disambut secara besar-besaran. Dengan penglibatan semua lapisan rakyat, bukan kaum itu sahaja.

Di dalam perayaan besar satu-satu kaum itu, ada pula perayaan kecil. Walaupun tidak dijadikan perayaan negara, ia tetap disambut dengan meriah.

Rakyat Malaysia paling banyak menyambut raya!

6# Banyak Masa Terluang

Kesesakan jalan raya di Malaysia sudah lumrah. Mereka yang berkenderaan pasti akan terlibat dengan kesesakan bila pergi dan balik kerja. ½ jalan sesak pada pagi dan ½ sesak pada petang, kita sudah ada 1 jam masa terluang. 1 jam pagi dan 1 jam petang, kita sudah ada 2 jam masa terluang pada setiap hari!

Kita boleh melakukan bermacam aktiviti ketika masa yang terluang ini. Pilih sahaja aktiviti yang berfaedah atau sia-sia. Bila pilih yang sia-sia, seseorang itu akan termenung atau menyumpah-nyumpah kesesakan yang berlaku.

Mereka yang pilih aktiviti berfaedah, mungkin akan memperbanyakkan selawat atau zikir. Jika dia memandu, mungkin dia mendengar kaset ceramah atau motivasi. Jika dia penumpang, dia mungkin membaca atau menulis. Bila satu keluarga terperangkap dalam kesesakan, mungkin masa itu digunakan untuk berbincang hal-hal keluarga.

Kita dapat ‘membangunkan diri’ dalam banyak masa terluang ini atau ‘meruntuhkan diri’. Pilihannya terletak pada diri kita.

Banyak lagi yang boleh dicatatkan di sini, antaranya Banyak Cuti! Tapi cukuplah sekadar 6 perkara di atas. Yang lain boleh ditambah sendiri.

Semua perkara yang ‘Banyak’ di Malaysia ini boleh dimasukkan ke dalam Buku Rekod Malaysia. Kalau dipanjangkan ke peringkat antarabangsa, mungkin boleh dimasukkan dalam Buku Rekod Dunia!

Share

18 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge