Bazar Ramadan Kampung Bharu Ramai Pengunjung Luar Berbanding Penduduk Tempatan

Jalan Raja Alang sebagai bazar menjual aneka jenis juadah untuk berbuka puasa sepanjang Bulan Ramadan memang sudah tersohor. Mungkin paling kesohor antara bazar Ramadan seluruh Malaysia.

Walau tersohor, percaya atau tidak yang penduduk Kampung Bharu sendiri di mana terletaknya Jalan Raja Alang kurang membeli di bazar ini?

= = =

Kesohoran Bazar Ramadan Jalan Raja Alang bertambah bila Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak pernah tidak akan datang ke sini. Semasa menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dahulu, Tun sudah datang. Selepas tidak lagi menjadi PM pun, Tun tetap datang. Kalau tidak bersama Tun Dr Siti Hasmah, Tun akan datang seorang.

Dan sekarang selepas menjadi PM semula, saya percaya Tun akan datang. Tidak diketahui, bila pertama kali Tun mula datang ke sini.

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, terletak di Kampung Bharu Kuala Lumpur, antara Masjid Jamek Kampung Bharu dan Pasar Chow Kit.

bazar ramadan jalan raja alang

Mungkin dekatnya bazar Ramadan ini dengan Masjid Jamek Kampung Bharu yang terkenal dengan bubur lambuknya, turut memberi tempias kepada Bazar Ramadan Jalan Raja Alang.

Ia tetap tersohor walaupun dari segi jumlah gerai, mungkin ada bazar lain gerainya lebih banyak. Dari segi keluasan atau panjangnya, mungkin ada bazar lain yang lebih luas, lebih panjang dan lebih selesa suasananya.

Kepelbagaian jenis masakan boleh dipilih di sini. Ada masakan Minang, Padang dan Acheh Indonesia. Ada jenis masakan dari selatan Thailand dan tentunya ada masakan Melayu Malaysia dari serata negeri di semenanjung. Dan pelbagai jenis air minuman.

>>PANDUAN BISNES AIR BALANG YANG MENGUNTUNGKAN<<

= = =

Laluan ini adalan laluan saya setiap hari, pergi dan balik kerja. Tapi saya memilih laluan lain balik kerja bila Ramadan.

Padatnya orang ketika petang balik kerja sedikit ‘merimaskan’, jadi saya balik ikut laluan lain. Lagi pula saya jarang membeli di sini. Saya ada ‘port’ pilihan saya. Di ‘port’ ini saya membeli nasi berlauk atau kuih muih bukan sahaja pada Ramadan, juga pada hari-hari biasa. Harganya berpatutan.

Sebenarnya saya percaya bukan hanya saya, penduduk Kampung Bharu sendiri ‘kurang’ berbelanja di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang. Mereka sama ada memasak di rumah atau ada ‘port’ mereka sendiri untuk membeli juadah berbuka.

‘Port” ini biasanya adalah kedai makan tetap yang sedia banyak di Kampung Bharu.

Ramainya pengunjung di Bazar Ramadan Kampung Bharu kebanyakkannya adalah pekerja pejabat sekitar, pengunjung luar Kampung Bharu dan juga pelancong tempatan dari negeri lain.

= = =

Setahun dua sebelum ini, ada khemah gergasi yang dipasang oleh Perbadanan Kampung Bharu, memanjang menutupi hampir keseluruhan bazar.

Perbadanan Kampung Bharu diwujudkan oleh sebuah parti politik. Oleh kerana parti ini telah kalah dalam PRU14, keberadaan Perbadanan ini menjadi tanya tanya.

Sebab itu agaknya pada tahun ini, khemah gergasi ini sudah tiada dan gerai-gerai bazar kembali kepada keadaan asal, setiap satu gerai menggunakah khemah kecil sumbangan syarikat tempatan.

Walau pun khemah kecil ini menimbulkan ‘kesulitan’ kepada peniaga bila datang angin kuat dan hujan lebat, ia ‘melegakan’ pengunjung kerana mereka merasa berada dalam ruang yang terbuka. Bukan tertutup dan terperap dalam khemah besar.

= = =

Apa pengalaman anda yang pernah berkunjung ke Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Bharu Kuala Lumpur? Boleh ceritakan sedikit?

Share

9 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge