Belajar Dari Tun Daim; Nota#1

Buku ini bercerita tentang keperibadian Tun Daim dalam perniagaan dan peranannya dalam politik. Buku tulisan Cheong Mei Sui [saya tidak kenal orang ini] dan Adibah Amin [saya tidak pernah jumpa tapi saya kenal sosok peribadi ini].

belajar dari tun daim

Buku diterbitkan pada 1996 oleh Pelanduk Publications. Saya beli buku ini pada 18/7/1996 di Pic A Book di Medan Mara Jln. T.A.Rahman, bersebelahan dengan Komplek Pertama. Kedai buku milik Yayasan Pelajaran Mara. Kedai buku ini sudah tidak wujud

Berikut ialah nota catatan dari buku ini yang boleh kita ambil pengajaran;

1#Masalah mesti diselesaikan. Ia tidak hilang sendiri. Bagaimana cuba diketepikan, dia akan muncuk semula. Jadi yang paling baik ialah cuba untuk menyelesaikannya serta merta.

2#Tidak mengapa kalau terbuat salah, tapi jangan biarkan. Baikilah kesalahan yang telah terbuat. Kita semua membuat kesilapan. Belajarlah dari kesilapan itu untuk tidak berbuat lagi.

Kesilapan tidak membinasakan. Apa yang membinasakan ialah bila kita teragak-agak membuat keputusan dan teragak-agak melaksanakan keputusan.

Biasakan diri membuat keputusan dengan cepat dan cepat melaksanakannya. Latih fikiran kita untuk berbuat begitu.

3#Tidak boleh menanti hari esok. Apa yang boleh dibuat hari ini mesti dilakukan pada hari ini.

4#Lebih baik kita mempunyai hanya 3 orang pekerja yang pandai dan rajin daripada 20 orang yang menyakitkan hati. Nanti kerana yang 20 itu kita meradang. Akhirnya kerja tidak dibuat, kita pula yang sakit jantung.

Lebih baik buang yang 20 ambil 3 sahaja dan beri mereka gaji yang bagus.

5#Apa gunanya publisiti? Kalau anda berjaya, itu sahajalah publisiti yang anda perlukan. Orang akan bercakap tentang anda. Orang nak berkenalan dengan anda. Orang akan menulis tentang anda. Kejayaan akan membawa publisiti walau anda tidak mencarinya.

6#Kelulusan tidak menjamin kejayaan dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran. Memang pendidikan yang baik itu penting, tapi kita juga mesti sanggup berusaha, terus mencuba, merancang dengan teliti dan menumpukan perhatian.

Nasib juga ada peranannya. Kejayaan dicapai dengan 90% bersedia dan berusaha dan 10% lagi adalah imaginasi dan inspirasi.

7#Sekolah dapat mengajar kita teori, buat kajian kes dan macam-macam lagi. Tapi akhirnya, kita mesti ada kebolehan dalam diri untuk mempraktikkan semua teori dan apa yang kita belajar.

Kita mesti suka berniaga, suka membuat wang dan suka memikirkan cara untuk membuat wang lebih banyak lagi dengan wang yang ada.

8#Buat apa yang kamu paling tahu. Jangan buat banyak sangat. Kita cuma ada satu kepala dan dua tangan.

9#Sebenarnya tidak ada formula yang benar-benar tepat dan kekal untuk mencapai kejayaan kecuali satu…jangan putus asa.

10#Mengapa ada yang berjaya dan ada yang tidak? Mudah sahaja. Orang berjaya mengatur rancangan dengan rapi, menjalankannya dengan betul dan mengawasi sendiri setiap projek. Tidak boleh diserah bulat-bulat pada orang bawah atau hanya berserah pada nasib.

11#Tidak ada sesiapun yang dapat berjaya dengan usaha sendiri. Anda perlu ada pasukan. Pasukan itu mestilah setia, rajin dan berdidikasi.

…akan bersambung pada Nota#2

Share

8 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge