Belasungkawa Untuk Bonda

Lamanya hidup seseorang itu hanya dalam pengetahuan Allah. Sampai waktunya, Allah akan panggil mengadapNya. Dan tamatlah tempoh hidupnya atas muka bumi ini.

Setiap yang ada nyawa, pasti akan putus nyawanya. Sungguh! Semua yang bernyawa pasti akan berdepan dengan kematian. Janji Allah itu pasti. Semua makhluk akan binasa. Yang kekal hanyalah Allah.

Begitulah takdir Allah atas bonda kami, Badariah. Bonda kami anak perempuan yang sulung kepada pasangan arwah Tok Nordin bin Hj Mohamed dan Opah Embun binti Che Gas, telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Rabu 17hb February 2016.

bonda

Setelah perginya ayahanda kami, Bahrom Azhar bin Hj Musa, juga pada 17hb (January 2012), bonda meninggalkan kami 11 beradik sebagai anak ‘‘yatim piatu’’. (seorang daripada kami adik beradik pergi dulu sebelum ayahanda dan bonda menjadikan kami sebenarnya 12 beradik)

Sebagai anak sulung daripada 5 beradik, bonda kami meninggalkan 4 adik lelaki yang kalau dikira kembar dua yang meninggal menjadikan 7 beradik kesemuanya.

Dan kami adik beradik memahami betapa galaunya perasaan opah kerana anak perempuan sulungnya itu pergi dulu daripadanya.

Sejak kecil bonda selalu disalah anggap sebagai anak angkat kepada tok dan opah kerana kulit putihnya seperti anak Cina. Kahwin dalam usia muda. Hidup susah di Kampung Luat, Lenggong Perak. Sebelum mengikut ayahanda kami menjadi peneroka di Kota Gelanggi 2, Jerantut Pahang.

Sebahagian kami adik beradik menjadi anak Luat dan sebahagian lagi menjadi anak Felda.

Bonda pernah berkata hidupnya biasa-biasa sahaja, tiada warna warni yang mahu dibanggakan.

Mahu dibanggakan atau tidak, bonda telah menjalani kehidupannya sendiri dari sejak dilahirkan sehinggalah sampai saat akhir kehidupannya. Bonda telah menempuh ujian hidupnya atas muka bumi ini.

Tinggallah kami untuk menempuh ujian hidup kami sendiri.

Ya Allah, ampunkan segala dosa arwah bonda kami dan ayahanda kami juga arwah adinda/kekanda kami yang telah pergi dahulu daripada kami.

Masukkan mereka dalam golongan hamba yang Kau redhai. Jadikan kubur mereka sebahagian dari taman syurgaMu. Dan masukkan mereka ke dalam syurgaMu yang sebenar di akhirat nanti.

Ya Allah, jadikanlah kami dan bantulah kami menjadi anak-anak yang soleh dan solehah supaya menjadi “bekal pahala” yang berkekalan untuk bonda dan ayahanda kami di alam sana.

Sungguh! Kenangan hidup dan rasa rindu kekal selamanya dalam hati kami.

Share

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge