Berhati-hati Memilih Kawan Demi Kejayaan

Sekiranya ingin kenal perangai seseorang, lihatlah perangai kawan-kawan dia. Orang yang sentiasa mendampingi kita adalah cerminan diri kita. Cerminan perangai dan cerminan hati.

Bila suka bergaul dengan orang yang berperangai jahat, maknanya perangai kita juga jahat. Bila perangai kita tidak jahat, maknanya hati kita yang jahat. Hati yang jahat suka kepada kejahatan walau pemilik hati itu tidak melakukan kejahatan secara nyata.

Bila suka berkawan dengan orang yang berperangai baik, maknanya perangai kita juga baik. Bila kita tidak berperangai sebaik yang diharapkan orang walau bergaul dengan orang yang berperangai baik, maknanya hati kita cenderung kepada kebaikan. Hati yang baik suka kepada kebaikan walau pemilik hati itu tidak dapat melakukan kebaikan sepenuhnya seperti dituntut agama.

Begitulah bila dikaitkan dengan kejayaan.

Mustahil seseorang itu mampu meraih kejayaan hidup bila hidupnya dikelilingi mereka yang gagal. Kemungkinan untuk berjaya terbuka luas bagi seseorang yang rakan-rakan sepergaulannya ialah mereka yang telah mencapai kejayaan hidup.

Orang yang perangainya jahat lambat laun akan berperangai baik bila dia suka berdamping dengan orang yang baik-baik. Orang yang gagal lambat laun akan mencapai kejayaan bila dia suka berdamping dengan orang yang berjaya.

Seperti kata bijak pandai, kalau badan mahu wangi berkawanlah dengan penjual minyak wangi. Seperti kata saya, kalau mahu badan busuk berkawanlah dengan orang yang lama tidak mandi. kalau pun kita baru lepas mandi, busuknya badan orang yang tidak mandi itu akan ‘melekat’ ke badan kita.

Orang yang berperangai jahat, mustahil akan bertukar baik bila dia kekal bergaul dengan orang berperangai jahat kecuali dengan izin ALLAH. Orang yang gagal mustahil akan meraih kejayaan bila rakan-rakan juga berada dalam kelompok yang gagal kecuali dengan izin ALLAH.

Sewaktu kita kecil dahulu, ibubapa melarang kita bergaul dengan budak-budak nakal. Takut kita terpengaruh dan jadi nakal juga. Hakikat sebenar yang patut kita tahu ialah terpengaruh dengan rakan segaulan bukan sewaktu kecil sahaja. Orang yang sudah dewasa juga lambat laun akan terpengaruh dengan rakan yang sering didampinginya.

Sebab itu Jack Canfield menyarankan dalam bukunya The Success Principles pada prinsip ke 25, iaitu sekiranya mahu berjaya kita perlu mengurangkan atau menamatkan terus pergaulan dengan mereka yang gagal dan mulalah bergaul dengan mereka yang berjaya.

Kurangkan pergaulan dengan mereka yang gagal ini iaitu mereka yang;…

  1. Bersikap dan berfikiran negatif dan gemar meracuni fikiran kita dengan sikap dan fikiran mereka itu.
  2. Suka memperkecil setiap tindakan kita.
  3. Suka merendahkan estim diri dan keyakinan kita.
  4. Sering merungut dan menyalahkan orang lain kerana keadaan mereka.
  5. Sering berburuk sangka, suka bergosip, asyik mengata semuanya buruk belaka.
  6. Kata-kata dan tingkah laku mereka sering menyebabkan kita berasa tertekan dan stress.
  7. Merompak impian kita dengan mengatakan impian kita mustahil dan cuba meyakinkan kita supaya berhenti memburu impian itu.
  8. Tidak suka kita bergerak laju dan mahukan kita kekal setaraf rendah sama seperti mereka.

Sekiranya mereka tidak berubah sikap, sampai masanya kita menamatkan terus pergaulan dengan mereka. Dan sampai masanya kita mencari rakan baru. Rakan yang;…

  1. Bersikap dan berfikiran positif dan sentiasa mendorong kita bersikap dan berfikiran sama.
  2. Suka memupuk dan menaikkan semangat orang lain.
  3. Percayakan kita dan mendorong kita supaya memburu impian kita.
  4. Melihat segala-galanya mungkin. Tiada yang mustahil jika berusaha.

Jangan bergaul sahaja, Jack Canfield menyarankan kita melakukan tindakan ini;…

  1. Minta mereka berkongsi strategi kejayaan kemudian lihat adakah cara mereka itu sesuai dengan personaliti dan pegangan hidup kita.
  2. Lakukan eksperimen dengan melakukan seperti yang mereka buat, baca bahan yang mereka baca, fikir perkara yang mereka fikir dan sebagainya.
  3. Sekiranya berkesan pada diri kita, maka teruskan. Sekiranyanya tidak, singkirkan dan cari cara baru.

Banyak tempat untuk kita mencari mereka yang berjaya atau mencari kawan yang baik-baik;…

  • Sertai persatuan-persatuan profesional dan hadiri persidangan-persidangan yang persatuan ini anjurkan.
  • Jenis perniagaan atau kerjaya kita ada dewan atau kelab dan sebagainya. Masuk sebagai ahli.
  • Sertai persatuan atau kelab kebajikan dan sertai aktiviti kebajikan yang dianjurkan.
  • Berikan sumbangan kepada masjid dan hadiri program yang dianjurkan masjid.
  • Hadiri kursus, seminar, syarahan dan sebagainya yang dikendalikan oleh individu perseorangan yang berjaya.

Kita perlu di kelilingi oleh mereka yang berjaya. Kita perlu di kelilingi oleh mereka yang baik-baik. In Shaa Allah dengan itu mudah untuk kita berjaya dan menjadi orang yang baik.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge