Berusaha Mengatasi Masalah Kewangan

Ramai orang menghadapi masalah kewangan. Termasuk sayalah. Bezanya, sesetengah orang pandai menyembunyikannya. Dalam senyum dan gelak ketawanya dan keaktifan hidupnya, orang tidak sangka yang dia memiliki ‘poket yang kosong’.

Dan bila kita melihat kerut muka seseorang dan gerak tubuhnya yang ‘lemah’, dengan serta merta kita boleh tahu, dia ada masalah hidup. Normalnya, masalah hidup seseorang itu banyak berkait dengan kewangan.

5 perkara di bawah adalah isu kenapa masalah kewangan timbul dalam hidup seseorang;-

1#Makan gaji dan gajinya rendah atau sederhana. Bertahun kerja gaji tidak naik.

2#Kos sara hidup semakin meningkat. Barang-barang keperluan asyik naik, sedangkan duit belanja ada sebanyak itu sahaja.

3#Malu kalau tidak mengikuti gaya hidup semasa. Terpaksa berbelanja lebih untuk memenuhi tuntutan gaya hidup. Kalau tidak ikut nanti dikatakan ketinggalan zaman pula.

4#Tidak tahu ke mana ‘perginya’ duit pendapatan setiap bulan. Belanja cukup-cukup sahaja. Kadang-kadang pada tengah bulan duit sudah habis. Tidak boleh menyimpan pun walau sedikit.

5#Hutang yang ada rasanya seperti ‘abad’ akan datang baharu boleh habis bayar. Hutang yang ada belum habis bayar terpaksa pula berhutang yang lain. Korek lubang untuk tutup lubang yang lain. Kalau begitu gayanya, sampai bila pun lubang tidak dapat ditutup.

Kita ‘wajib’ bertindak dan mencari jalan agar masalah kewangan kita dapat diselesaikan. Kenapa wajib? Kerana masalah kewangan kita sebenarnya boleh menyusahkan hidup orang lain;-

  1. Isteri hidup ‘derita’ bila suaminya tidak ada duit.
  2. Anak-anak memendam rasa bila ayahnya tidak ada duit.
  3. Ibubapa sedih kerana bila mereka susah anak-anak tidak dapat membantu.
  4. Adik beradik terpaksa meminta pertolongan orang lain kerana darah daging sendiri tidak dapat menolong.

Sedikit sebanyak perkara di atas terkena pada batang hidung saya sendiri. Saya percaya ramai orang lain seperti saya.

Tuan Dr Azizan Osman, memberi beberapa cadangan yang boleh dikuti supaya kita dapat mengatasi masalah kewangan yang menimpa;-

1-Faktor kelulusan banyak mempengaruhi gaji seseorang bila bekerja di syarikat swasta atau kerajaan. Jadi kenalah upgrade diri agar gaji dapat dinaikkan. Boleh ambil kelas malam atau ambil kelulusan lebih tinggi di universiti yang menawarkan pembelajaran dari rumah.

Kalau kerja itu lebih mementingkan kemahiran. Jadi kenalah ikuti kursus-kursus kemahiran pada hujung minggu. Bila majikan minta pergi kursus, janganlah pula cari alasan untuk tidak pergi.

2-Kalau majikan sekarang susah nak naikkan gaji kita sedangkan kerja semakin bertambah dan majikan asyik berkata duit kurang masuk ke kantung syarikat sedangkan dia asyik bertukar kereta, mungkin kita boleh pertimbangkan untuk bertukar kerja dan bertukar majikan. Akan tetapi ini hanya strategi jangka pendek.

3-Berniaga cara sambilan atau kecil-kecilan. Juga boleh pertimbangkan untuk buat pelaburan di Bursa Saham dengan kos yang kecil. Kenalah belajar ilmu berniaga atau ilmu pelaburan supaya kita dapat mulakan dengan kos yang kecil. Mentaliti ramai orang adalah bila berniaga atau melabur di bursa, kosnya mesti besar! Ini tidak benar. Banyak kursus, banyak seminar dan ada buku-buku yang mengajar bagaimana memulakan perniagaan atau pelaburan dengan kos rendah.

Rahsia Pendapatan RM160 Sehari Bermodalkan Hanya RM100

4-Kena belajar uruskan duit. Bila duit digunakan secara semborono, banyak mana pun duit kita dapat setiap bulan akan cepat habis dan kita tidak akan tahu ke mana ia digunakan. Kursus-kursus pengurusan kewangan patut dihadiri, baik anjuran perseorangan, pihak swasta atau pihak berkaitan daripada kerajaan.

5-Nafsu untuk makan di luar, berbelanja sakan, beli itu ini memang ada dalam diri setiap orang. Tabiat ini yang keterlaluan  boleh mengurangkan duit kita sedangkan kebanyakkannya kita tidak perlukannya pun. Sesekali makan di luar tidak mengapa. Kalau hampir saban hari, boleh rabak poket.

6-Simpan dulu duit sebelum berbelanja. Bukan belanja dulu, yang lebih baharu simpan. Mereka yang arif menyarankan simpan 10 peratus daripada pendapatan. Terbaik bila lebih daripada itu. Sebenarnya tidak kisahlah 10 atau 5 peratus. Apa yang utama ialah tetapkan satu jumlah tertentu dan simpan secara konsisten setiap bulan.

7-Sedekah sikit daripada pendapatan bulanan. Bab sedekah ni boleh ditulis menjadi buku. Rasanya tidak payahlah diterangkan lagi. Anggapan sedekah mengurangkan duit adalah pemikiran orang jahil kerana Allah sebagai sumber rezeki memberi jaminan yang sedekah tidak mengurangkan satu apa pun malah makin bertambah.

Nota ini sebenarnya untuk mendidik diri saya sendiri yang sering dilanda masalah kewangan. Bila anda sendiri merasakan nota ini membantu, mohon disebarkan dengan klik butang share di bawah…….

Share

29 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge