Bubur Lambuk Kampung Baru Idaman Wargakota Kuala Lumpur

 

Bubur Lambuk dan Kampung Baru di Kuala Lumpur berpisah tiada. Seperti bila disebut suami kerana adanya isteri. Tidak dikatakan isteri kalau tiada suami. Senonim kedua-duanya.

Bukan tempat lain tiada membuat bubur lambuk. Malah kemungkinan bubur tempat lain lebih sedap.

Tetapi kerana berita lebih fokus bubur lambuk di Kampung baru, maka bubur lambuk Kampung Baru lebih diingati. Kerana kerjasama NGO dan badan korporat memberi bubur lambuk percuma dengan bubur lambuk kampung baru, maka bubur lambuk kampung baru lebih dihargai.

Bubur Lambuk Kampung Baru disediakan oleh pihak pengurusan Masjid Jamek  Kampung Baru.

Setiap ramadan, pihak masjid akan memasak bubur lambuk berperiuk-periuk dan mengagihkan secara percuma kepada orang ramai pada setiap petang selepas asar.

Dan setiap petang ramadan juga, orang ramai berpusu-pusu di luar Masjid Jamek Kampung Baru untuk mendapatkan bubur lambuk ini untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Bubur Lambuk Kampung Baru sudah menjai idaman wargakota Kuala Lumpur.

Bubur lambuk dihasilkan dengan merenih beras dengan air beberapa jam bersama rempah ratus yang ditumis dan juga daging. Ia diakui berkhasiat, mudah hadam dan enak rasanya.

Memasak bubur lambuk sudah menjadi tradisi lebih daripada separuh abad dan popularitinya tidak pernah jatuh walau ditempat lain ada tradisi bubur lambuk juga. Bubur Lambuk Kampung Baru sudah menjadik sejarah unik Kotaraya Kuala Lumpur.

Bagaimana bermulanya sejarah bubur lambuk Kampung Baru?

Diceritakan, kira-kira 90 tahun dahulu seorang lelaki bernama Haji Said membawa bubur lambuk masakan isterinya untuk berbuka puasa dan dikongsi bersama rakan-rakan Jemaah masjid yang lain.

Kawan-kawan Haji Said amat suka bubur lambuk dan meminta isteri beliau memasak lagi bubur itu untuk mereka. Kemudian masakan itu menjadi terkenal.

Penduduk sekitar mula menawarkan bahan-bahan untuk dibuat bubur, sehinggalah isteri Haji Said tidak berdaya lagi memasak bubur dalam kuantiti banyak walau bahan-bahan disediakan.

Akhirnya, pihak masjid membuat keputusan belajar memasak bubur lambuk dan mengedarkannya sebagai hidangan berbuka di masjid.

Dan Bubur Lambuk Kampung Baru pun menjadi sejarah.

Apa yang pihak masjid belajar daripada isteri Haji Said, daripada ramuan dan cara memasak bubur lambuk sama dari mula dahulu sehingga hari ini. Cuba tanyakan kepada sesiapa yang pernah cuba bubur lambuk 20 tahun dahulu dan sekarang, pasti mereka akan kata rasanya sama.

Sepanjang ramadan sekurang-kurangnya 14 periuk digunakan untuk memasak bubur lambuk oleh pihak masjid. Setiap periuk boleh menghasilkan antara 200-250 bungkusan. Sementara kos bahan pula menggunakan peruntukan masjid dan juga sumbangan dari badan korporat atau individu.

Bubur lambuk Kampung Baru juga mampu mendatangkan keuntungan lumayan kepada beberapa individu sehingga dikatakan boleh mencecah 5 angka sekali tempahan.

Tempahan bubur lambuk datang dari pelbagai pihak terutama syarikat korporat. Sudah tentu pihak Masjid Jamek Kampung Baru tidak dapat melayan semuanya. Di sinilah terdapatnya individu yang melayan tempahan-tempahan ini.

Namun tidak sewenang-sewenang individu itu boleh memasak bubur lambuk dan menerima tempahan di Kampung Baru kemudian mendakwa sebagai bubur lambuk Kampung Baru.

“Kalau nak jual bubur lambuk, kamu perlu bekerja sebagai tukang masak masjid beberapa lama. Kemudian barulah bubur lambuk yang kamu masak diiktiraf sebagai bubur lambuk Kampung Baru yang asli,” kata salah seorang individu yang mengusahakan bubur lambuk untuk dijual dan menerima tempahan.

Bubur lambuk kampung baru kekal sama. Sama cara masaknya. Sama rasanya. Sama sejak mula sehingga sekarang. Yang tidak kekal mungkin kosnya.

Mengambil contoh bubur lambuk yang dijual. Sebelum ini harga sebungkus bubur lambuk adalah RM2. Sekarang sudah naik menjadi RM3. Tapi masih ada yang menjual pada harga RM2. Dan ada juga yang menjual pada harga RM2.50

Siapa yang pernah merasai keenakan Bubur Lambuk Kampung Baru?

Share

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge