Saya mahu bercerita tentang saya dan buku. Harap anda tidak bosan membaca cerita saya dan buku ini.
Apa yang bermanfaat bolehlah diikut. Apa yang tidak bermanfaat, janganlah diikut. Apa kisah yang anda rasa tidak bermanfaat pada saya [saya tentunya tidak sedar tentang ini] maka tegurlah untuk saya perbetulkan.
Ini ceritanya di antara banyak cerita. Cerita lain akan diceritakan pada lain kali…
Pernah sekali dulu, saya memberi pinjam buku pada seseorang. Bukan sebuah buku malah lebih dari 5 buah buku bernilai hampir RM200. Panjang ceritanya kalau mahu beritahu kenapa dia hendak meminjam dan kenapa pula saya memberi pinjam.
Dipendekkan cerita, saya meminta balik buku yang dia pinjam kerana kelihatannya dia dia lupa untuk memulangkannya. Dia memang lupa. Bukan lupa hendak pulangkan tapi dia lupa yang dia pernah pinjam buku dari saya!
Sasterawan negara Dato’ A Samad Said juga pernah bersungut betapa ada orang yang meminjam buku dari beliau dan mereka lupa untuk memulangkannya.
Dipendekkan cerita lagi, sejak peristiwa itu saya akan mencatat nota pada setiap buku terutama yang baru dibeli untuk membuktikan buku itu saya yang punya.
Ini apa yang saya catat…
1# Nama saya sebagai pemilik buku.
2# Tempat di mana saya beli atau mendapatkan buku.
3# Tarikh, hari dan masa saya membeli.
4# Harga buku itu bila saya mendapat diskaun dari penjual.
5# Sebab saya membeli. Sebab menambah tahu. Sebab tertarik dengan desain buku. Sebab minat pada penulis dan sebab-sebab lain.
6# Nota lain yang berkenaan. Contoh bila buku itu adalah hadiah, catatkan siapa yang menghadiahkan atau kenapa diberi hadiah dan seumpamanya.
7# Ada mereka yang menulis alamat rumahnya dengan nota;
‘Sesiapa yang terjumpa buku ini atau meminjam buku ini, sila pulangkan kepada tuannya di alamat berikut…[saya tidak mencatat alamat rumah kerana saya tidak lagi memberi pinjam buku pada orang lain dan saya tidak meninggalkan buku merata-rata seperti orang yang selalu tertinggal HPnya atau kunci kereta di kedai makan]
Ada lain yang saya catatkan pada buku tapi itu termasuk dalam kisah seterusnya.
owh… ok gak cara tu. saya just tulis nama.
Dulu saya hanya tulis nama saja. Tapi bila ditanya orang di mana saya beli dan saya tidak ingat, sebab itu saya catat semuanya.
Mengapa tuan tidak menggunakan cop untuk nama dan catatan pulangkan buku tersebut kepada tuan sekiranya dijumpai. Bukankah itu lebih mudah?
Rasa di hati ketika menulis tidak akan sama ketika menggunakan cop.