Burger Paling Lazat

Di mana mahu mendapatkan burger paling sedap. Lazat sampai berulang kali makan burger yang sama. Di kedai yang sama. Jualan dari penjual yang sama.

Bagi saya burger yang sedap adalah burger gerai atau kedai selain kedai makanan segera. Burger kedai makanan segera tidak sesedap mana pun kerana burger itu dibuat mengikut SOP kedai atau bisnes berkenaan.

Orang makan kerana jenama kedai itu sahaja. Atau sebab boleh lepak lama-lama di premis menjual burger itu.

Itu pendapat saya sahaja. Lain orang lain pandangan dan kesukaan mereka. Saya hormati pandangan dan kesukaan orang lain. Tiada hak saya untuk mempertikaikannya.

Kata orang burger yang sedap mesti ada memiliki ciri-ciri berikut:

  1. Ada rasa pedas. Pedas sos atau rasa pedas pada daging.
  2. Sedikit rasa manis. Bukan ditambah gula. Mungkin rotinya manis.
  3. Sosnya berkrim. Atau krim datang dari rasa cheese.
  4. Dagingnya berempah. Atau ditambah sedikit serbuk rempah.
  5. Ada dua tiga jenis sos yang diguna bukan sos tomato atau sos cili sahaja.
  6. Baunya bukan seperti bau burger di kedai makanan segera.
  7. Penampilan burger itu membuatkan orang kenyang terasa lapar.

Walaupun ciri-ciri burger sedap itu seperti burger itu mahal harganya, tapi sebenarnya harganya berpatutan.

Selain itu cara penyediaan atau cara memasak burger itu juga memainkan peranan yang penting untuk menjadikan burger itu sedap. Termasuk alatan yang diguna.

Lain orang lain caranya. Setiap orang ada ‘air tangannya’ sendiri. Tetapi satu persatu caranya adalah hampir sama

Gambar Google

Gambar Google

Kita lihat apa yang kita boleh pelajari untuk cuba memasak burger di rumah atau kita boleh menukar teknik memasak burger bagi yang berniaga.

Menjual burger adalah bisnes yang bagus! Dapatkan panduan bagaimana menjalankan bisnes burger untuk meraih pendapatan lumayan dengan klik di sini..

KUALI. Guna jenis besi yang tebal. Memang mahal tapi bagus kerana haba akan menyeluruh dan kekal lama. Jadi penggunaan api akan kurang.

API. Guna api kecil supaya daging tidak cepat hangus di luar tetapi dalamnya tidak berapa masak. Dan supaya warna daging kekal kemerah-merahan seperti tidak masak sahaja tetapi sebenarnya ia sudah masak.

MARJERIN. Sapu nipis marjerin ke serata kuali. Tidak perlu banyak. Hanya sekadar untuk memastikan daging tidak melekat di kuali. Dan untuk memberi ‘rasa’ kepada daging.

DAGING. Nyah beku dahulu daging supaya cepat masak. Lebih baik daripada letak daging beku atas kuali. Selalunya bila letak daging beku, orang akan besarkan api supaya cepat masak. Itu yang membuatkan daging keras, garing dan hangus.

TEKNIK GORENG. Selalu balik-balikkan daging. Jangan tekan, hanya balikkan. Bila tekan, jus daging akan keluar. Hilanglah rasanya! Ketuk-ketuk daging seperti mahu membuang lubang supaya daging cepat masak dan supaya perencah atau rempah meresap dalan daging.

TEKNIK MEREMPAH. Setelah pasti daging sudah masak. Tekan daging sekali dua untuk membuang minyak berlebihan pada daging. Tekan perlahan sahaja. Sebelum diangkat letak rempah dan perencah pada daging;

  • Letak sedikit sahaja sos worchestershire.
  • Letak kicap perasa jenama Maggi.
  • Tabur serbuk lada. Lada sulah (putih) atau lada hitam. Lada hitam lebih bagus sebab lebih memberi rasa.
  • Tambah sedikit serbuk kari daging
  • Akhir sekali renjis sedikit air bawang putih. Air bawang untuk membuatkan daging berair setelah sebahagian jusnya hilang ketika proses memasak. Cara membuatnya senang sahaja; ketuk bawang putih sampai hancur dan hanya campur dengan air. Letak dalam botol biar terendam lama. Guna penutup botol yang boleh dibuat lubang kecil untuk merenjis air.

ROTI BURGER. Sapu nipis marjerin setelah roti dibelah dua. Bakar roti di bahagian tengah sahaja. Kulitnya tidak perlu dibakar. Dan jangan penyekkan roti. Nanti roti lembik dan berminyak. Letak roti atas alas berjaring. Bila letak atas dulang, wap panas roti akan meresap ke dalam roti semula. Roti tidak lagi garing dan gebu.

SAYUR. Burger mesti ada sayur, barulah sedap. Kalau hanya roti dan daging, ia menjadi hidangan yang tidak lengkap dari segi nutrisinya. Terbaik adalah kombinasi 3 sayur;

  1. Kobis atau salad. Salad hanya leraikan daun. Kobis boleh dimayang halus. Jimat guna kobis.
  2. Bawang besar kuning. Isinya manis. Mayang halus atau potong dadu.
  3. Timun jepun. Lebih ranggup dan tidak berair isinya. Rasanya tidak pahit.
  4. Bagi pilihan kepada pelanggan kalau mahukan tomato atau jeruk cili hijau.

SOS CILI. Guna sos cili yang dibuat dari cili sebenar bukan sos cili yang ‘penuh’ dengan tepung. Juga bukan sos cili cair yang tiada rasa.

SOS TOMATO. Guna yang kurang masam. Guna sedikit sahaja. Kalau tidak letak pun tidak mengapa.

SOS LADA HITAM. Untuk menambah sedap. Seeloknya buat bancuhan lain dengan menambah kicap lemak manis supaya sos lada hitam tidak pekat sangat.

MAYONIS. Saya suka jenama lady Choice atau jenama Ramly kerana rasa dua jenama ini sedap. Tidak masam sangat.

KEJU. Boleh letak keju. Boleh letak atas daging semasa daging dibakar. Harga burger mungkin akan mahal sikit. Bagi pilihan kepada pelanggan.

TELUR. Daging yang dibalut dengan telur juga boleh jika pelanggan mahu. Selain dibalut ada yang pakai acuan kemudian letak atas daging atau masak dadar kemudian lipat dan letak atas daging. Yang biasa dibuat, masak dadar kemudian bungkus atau balut daging. Telur ini pun boleh beri pilihan kepada pelanggan.

Sebenarnya cara yang betul adalah pakai acuan kemudian letak atas telur. Baru rasa telurnya. Memang kita letak telur kerana mahu rasa telurnya. Kalau daging dibalut dengan telur, rasanya sudah hilang. Hanya rasa daging dalam mulut. Balut daging dengan telur hanya sekadar menarik pelanggan sahaja. Terpulang kepada pelanggan.

Sebenarnya ada banyak cara untuk memasak burger. Setiap kedai atau gerai menjual burger ada cara tersendiri. Mereka ada campuran bahan dan teknik memasak yang menjadi trade mark perniagaan mereka.

Tetapi apa yang pastinya. Burger sedap yang banyak kandungan bahannya tidak akan didapati di kedai makanan segera. Ia banyak dijual digerai tepi jalan.

Sebab itu saya hanya suka makan burger di gerai tepi jalan. Saya tidak pernah makan burger yang dibeli di kedai fast food.

Dan tentulah saya hanya memilih gerai yang mementingkan kebersihan dalam operasinya.

Panduan ini bagus kalau anda mahu memulakan Bisnes Menjual Burger.

Share

11 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge