Cara Peniaga Cina Pengaruhi Pembeli

Saya mengalami pengalaman yang amat berbeza setiap kali saya membeli apa-apa barang yang perlu ditimbang di kedai atau gerai di Chow Kit.

Mungkin anda mengalami pengalaman atau situasi yang sama.

Ini pengalaman membeli di kedai orang Cina dan di kedai orang Melayu. Pengalaman yang sesekali membuatkan saya rasa malu kepada bangsa saya sendiri, Bangsa Melayu khususnya orang Islam.

Contohnya saya membeli ikan bilis timbang. Buah mata kucing, langsat atau apa sahaja. Orang Cina akan menimbang tepat-tepat ikut berat atau harga yang kita mahukan. Akan tetapi sebelum membungkusnya, dia akan mengambil sedikit ikan bilis dari longgokan dan menambahnya dalam bungkusan. Kemudian dibungkus dan diberi kepada kita.

Kenapa dia berbuat begitu? Adakah dia yakin dengan konsep siapa yang memberi dia akan mendapat lebih lagi (sedekah) atau semata-mata mahu mengambil hati kita supaya kita akan datang lagi ke kedainya?

Apa juga niatnya, dia telah berjaya!

Anda mungkin mengalaminya di kedai orang Melayu. Saya jarang mengalaminya. Hampir tiada peniaga Melayu yang mempunyai tabiat begitu.

Saya selalu bersangka baik yang mereka menimbang lebih sedikit untuk mendapat pahala sedekah (saya tidak pernah melihat mereka timbang sebagai cara menjaga sangka baik itu). Kalau mereka menimbang tepat-tepat, itu hak mereka. Sekiranya mereka menimbang kurang, itu urusan mereka dengan Allah.

Bagaimanapun jika saya terpandang yang mereka hanya menimbang tepat-tepat. Tidak lebih sedikitpun, saya rasa malu kerana Umat Islam bersikap begitu. Jika saya terpandang timbangan mereka kurang, saya hanya mampu menghalalkannya dan berharap mereka mendapat keampunan Allah. Saya ‘tidak berdaya’ untuk menegur.

Melalui peristiwa yang selalu saya alami ini, saya faham mengapa tokey Cina gerai barangan runcit itu datang berniaga menaiki Toyota Camry dan tokey Melayu gerai barangan runcit itu datang berniaga menaiki motor cabuknya.

Ah! Sekali lagi saya mahu bersangka baik. Dia datang dengan motor cabuknya kerana tidak mahu menunjuk-nunjuk Merc yang ditinggalkan di rumah.

Share

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge