Bagaimana Cara Membaca Buku

Ada penulis buku menulis satu bab atau sub-bab, selalunya dalam bahagian prakata berkenaan… Bagaimana Cara Membaca Buku Ini.

Cara membaca ini bukan sahaja untuk membaca buku tersebut malah termasuk juga untuk semua buku yang pengarangnya tidak menulis cara-cara membaca buku yang ditulisnya.

Lain penulis, lainlah caranya. Bagaimanapun sebahagian besar caranya adalah sama dan tujuannya juga adalah sama iaitu supaya pembaca mendapat manfaat dari buku yang dibaca itu.

Maka kerana itu, pembaca yang ingin memperoleh manfaat dari sebuah buku yang dibacanya ‘Bagaimana Cara Membaca Buku Ini’ patutlah diikuti.

Bagaimana cara membaca buku adalah seperti berikut;…

  1. Baca seluruh isu buku. Dari kulit depan hingga kulit belakang.
  2. Fahami apa yang mahu disampaikan oleh pengarang.
  3. Buat garis penting pada fakta-fakta penting atau ayat-ayat yang ingin diingati.
  4. Buat penambahan fakta pada ruang kosong tepi buku.
  5. Buat nota pada buku nota, idea-idea yang timbul dari pembacaan itu yang dapat memecah masalah sedia ada.
  6. Jika ingin berhenti membaca, berhenti pada penamat bab. Jangan berhenti di tengah-tengah bab.
  7. Baca sekali lagi setelah habis membacanya.. selalunya akan ada kefahaman baru dari fakta yang sama yang kadang-kadang lebih baik dari kefahaman pada bacaan pertama. Begitulah pada bacaan seterusnya.
  8. Selang beberapa waktu, baca buku itu kembali. Setiap kali kita membaca, kita akan dapat kefahaman yang berlainan.
  9. Akhir sekali dan ini yang paling penting iaitu mengamalkan apa yang patut diamalkan daripada isi kandungan buku tersebut.

Membaca buku ada seninya. Bacalah seolah-olah buku itu ditulis oleh sahabat karib kita yang menulis buku itu semata-mata untuk kita seorang sahaja.

Share

Kena Bayar Tapi eBook Ini Percuma!

Saya mahu memberi ebook percuma kepada pembaca.

Bolehkah dikatakan percuma kalau pembaca perlu mem’bayar’nya dengan nama dan emel mereka?

Ya, maksud percuma di sini ialah pembaca tidak perlu serah duit. Pembaca hanya perlu serah nama dan emel sahaja. Nama dan emel pembaca dijamin selamat. Ia tidak akan dijual atau disewa kepada mana-mana pihak.

KLIK DI SINI untuk mendapatkan ebook percuma ini atau klik pada gambar di bawah.

Share

Saya Suka Dia…Saya Cinta Dia

Dia teman saya yang akrab. Banyak kisah menarik antara saya dan dia. Pengalaman hidup kami berdua penuh warna warni. Tiada kisah duka, hanya dipenuhi suka.

Selalu sangat saya merangkulnya dalam pelukan, mendakap erat atas dada. Dan kadang-kadang membiarkannya baring atas lengan. Menemani saya tidur sepanjang malam pada saban hari.

Dia  berbicara dengan bahasanya yang indah, tersusun dan dengan lenggok tersendiri. Sesekali bicaranya membuatkan  saya  senang tertawa. Dan lain kali pula bicara dia membuatkan saya sedih menangis.

Bicaranya meresap dalam jiwa, menjadikan saya selalu teringatkannya. Sungguh! Dia teman paling dekat dan paling setia.

Bila bersamanya, saya seakan lupa duka kesulitan hidup seharian yang dipenuhi kekeruhan. Dia meringankan rasa derita, menghembus rasa tenang dalam hati. Dia menghilangkan sesak dalam kepala, menyapu beban dalam fikiran.

Dia mengusir rasa jenuh saat saya bersendirian. Tidak ada sepi bila bersamanya. Dia membuatkan saya terasa ramai bila bersendiri. Dia menggantikan banyak orang bila mereka pergi meninggalkan saya.

Dia menjadikan masa saya dipenuhi manfaat dan faedah. Umur saya seperti sentiasa muda bila bersamanya. Dia menjauhkan saya dari melakukan pembaziran masa. Masa-masa yang saya lalui bersama dia begitu indah, sangat bermakna.

Dia tidak pernah lupa mengingatkan saya tentang peranan sebagai hamba ALLAH. Tanpa jemu, dia selalu memberi ingatan, memberi nasihat untuk sentiasa taat perintah-NYA. Jangan menjadi hamba yang ingkar. Dia mursyid penunjuk jalan kebenaran.

Dia juga selalu menasihati saya tanpa bosan akan tanggungjawab saya sebagai anak yang wajib taat dan berbakti pada ibu dan ayah. Sebagai saudara yang perlu mengambil berat dan berkasih sayang sesama saudara kandung yang lain. Dia pengikat hubungan kekeluargaan.

Kalau saya mahu menulis lagi, tentu banyak lagi yang dapat saya catatkan tentang teman sejati saya ini. Teman akrab yang setia. Saya tidak pernah jemu bersamanya. Saya tidak pernah letih melayannya.

Bila bersama dia, akal saya tumbuh subur. Jiwa saya menjadi bersih. Keyakinan dan kepercayaan saya bertambah-tambah.

Tahukah tuan dan cikpuan, siapakah dia yang saya suka dan cintai ini.

Dia adalah…SEBUAH BUKU.

Share

Aku Mahu Bakar Semua Buku

#cerita pendek yang bukan cerpen#

Aku mahu bakar semuanya. Satu pun tidak tinggal. Apa yang ada di rak. Semua yang ada dalam kotak, akan dibakar!

‘’Apa yang kau mahu bakar?’’ Tanya teman kehairanan. Aku merungut-runggut mahu membakar sesuatu. Dan itu membuatkan timbul tanda tanya dalam hatinya.

‘’Semua buku yang ada dalam simpanan aku ini, akan aku bakar!”

Gila! Memang satu tindakan yang dianggap tidak masuk akal kalau buku yang dibeli dan dikumpul sejak sekian lama ini mahu dibakar habis. Orang akan mengatakan aku ini tidak betul. Aku akan dituduh gila.

koleksi buku ahmadyani

Aku sayang semua buku yang ada dalam simpanan. Rasa sayang itu kekadang membuatkan aku bertindak tidak waras.

Aku hampir menangis bila ‘terpaksa’ menyerah sejumlah buku pada perpustakaan sebuah sekolah kerana masalah ruang di rumah sewa.

Aku sesak nafas bila beratus buku dalam kotak musnah ditenggelami air dalam banjir kilat di Kampung Baru.

Aku buat tidak peduli bila kawan menggelar aku kedekut. Kedekut meminjamkan buku pada orang. Buku yang lambat dipulangkan kemudian hilang, amat menyiksakan hati. Kenapa mahu memberi pinjam buku pada orang yang tidak menjaganya dengan baik?

Membeli buku sudah menjadi satu ketagihan seperti ketagihan perokok pada rokok. Dalam sesak tiada duit, aku sambar senaskhah buku baru. Buku baru belum habis dibaca sudah beli yang lain. Bila tiba-tiba aku gelisah tidak tentu arah, tahulah yang aku sudah lama tidak mencium bau buku di kedai buku.

“Kenapa mahu bakar buku kalau kau begitu sayangkannya,” dia bertanya lagi.

Teman aku ini tidak suka baca buku. Bacaannya hanya akhbar dan majalah picisan yang tidak membangunkan akal dan tidak membentuk jiwa.

Dia tentunya tidak mengerti masalah yang aku hadapi dengan buku-buku ini. Secara tepatnya aku ada masalah [kesulitan] dengan pembacaan. Aku tidak tahu adakah pencinta dan pembaca buku mempunyai masalah sama seperti aku.

Kesulitan# 1
Apa yang aku baca tidak membantu aku dalam susunan kata seharian. Aku kaku untuk berkata lancar di hadapan orang. Tidak tahu apa yang mahu dikata. Tergagap tiada ayat yang mampu diucap. Susunan indah bahasa buku tidak dapat meng’indah’kan kata-kataku.

Kesulitan# 2
Susunan indah bahasa buku juga tidak mampu mengindahkan susunan ayat apa yang aku tulis. Kadang-kadang aku ‘geram’ bila membaca kembali apa yang ditulis. Marah pada tulisan sendiri yang aku rasakan, tulisan itu mampu dikarang oleh adik-adik sekolah rendah. Malah mereka mungkin menulis dengan lebih baik.

Dan tulisan itupun terbiar dalam laci. Dan banyak kali ia mendarat dalam tong sampah.

Kesulitan# 3
Ini kesulitan yang paling berat aku rasakan. Bacaan yang banyak tidak ‘memenuhkan’ kotak akal. Fikiran masih terasa kosong. Pembacaan masih membuatkan aku berasa tidak tahu apa-apa. Aku masih di takuk lama, masih tidak pandai-pandai.

Disebabkan itu, sesekali timbul niat mahu membakar habis buku yang ada dalam simpanan. Buku-buku ini tidak ‘menolong’ aku.

Temanku terngangga. Berasa sia-sia bercerita masalah pada dia yang tidak suka membaca buku ini. Apa yang dapat dia bantu? Meskipun begitu, dia telah memberikan saranan yang aku tidak terfikirkan.

“Baik kau jumpa tuan guru. Mungkin dia ada jalan penyelesaian.”

Saranan temanku itu, menghantar aku ke hadapan tuan guru. Tuan guru tidak memberi apa-apa penyelesaian terhadap masalahku. Tuan guru hanya melontarkan satu pertanyaan.

“Hari ini, berapa ‘ain’ ayat Al Quran yang telah kamu baca?”

Aku tinggalkan tuan guru dengan bermacam perasaan yang bermain dalam jiwa. Akalku diasak dengan persoalan.

Apakah ini peringatan Allah?

Allah mahu aku menguasai ilmu-Nya dahulu sebelum berusaha mencari ilmu yang lain? Allah mahu aku menekun baca kitab-Nya dahulu sebelum ghairah membaca buku lain? Allah ‘menyekat’ aku mendapat manfaat dari buku yang aku baca dan akan ‘melepas’kannya setelah aku mencari manfaat dari kitab-Nya dahulu?

Apapun persoalannya, pertanyaan tuan guru tadi telah menyentak hatiku. Oh tuhan! sudah lama aku tidak memegang kitab-Mu dan membacanya.

Share

KARYA; keluaran#1

Antara minat saya ialah mengumpul majalah, akhbar atau penerbitan keluaran sulung, edisi perdana atau bilangan#1.

Bagaimanapun, minat atau hobi ini tidaklah ‘mencengkam’ akal dan hati saya sangat. Di sebabkan itu, ada juga penerbitan yang terlepas pandang. Bila sedar penerbitan ini ada dalam pasaran, ia sudah masuk keluaran 3-4. Mahu cari Bil.#1 sudah susah.

Saya mahu meletakkkan keluaran#1 ini sebagai salah satu entri blog ini. Sekadar untuk pengetahuan. Boleh jadi sebagai satu bahan ketika tiada idea untuk menulis.

Ini bukan Wordless, jadi akan ada sedikit catatan tentang keluaran#1 ini. Contohnya catatan tentang siapa penerbit, pengarang, tahun terbit, konsep isi dan apa-apa catatan yang sepatutnya sekadar yang saya tahu.

Ini bukan Wednesday, jadi entri ini tidak tetap untuk setiap rabu. Ia boleh jadi Sunday, Monday atau hari lain.

Dan ini entrinya;

KARYA keluaran sulung

KARYA; Bulanan Sastera Anda.

Penerbit; Utusan Melayu ‘M’ Bhd.

Tarikh terbit; Oktober 1997

Jumlah muka surat; 60 termasuk kulit

Harga; RM4

Jenis terbitan; Bulanan

Pengarang; Wan Hamzah Awang (Wahba)

Isi kandungan; Artis sebagai cerita kulit, cerpen, cerpen terjemahan, cerita misteri, berita satera, wawancara tokoh sastera, puisi dan segala yang berkait dengan sastera tulisan tokoh ternama atau pendatang baru.

Saya beli majalah ini pada setiap keluaran. Malangnya hanya sampai keluaran#11. Selepas itu tidak diterbitkan lagi kerana saya cari keluaran#12 di merata tempat tapi tidak berjumpa.

Sekarang nama KARYA dipakai sebagai Utusan Karya yang mengurus bahagian penerbitan majalah, satu unit dalam Utusan Melayu.

Share

4 Cara Untuk Mendapat Manfaat Dari Sebuah Buku

Bila pergi ke kedai buku besar, pernahkah anda lihat situasi ini;

Ada beberapa orang ‘menyorok’ di satu sudut, sedang membaca sambil mengambil nota dari buku yang dibacanya secara percuma itu.

Memang jelas yang mereka ini telah menemui fakta atau maklumat dalam buku itu yang difikirkan menarik dan berguna dan mereka mencatatnya. Lebih mudah difahami, mereka tahu buku itu amat bermanfaat.

Akan tetapi, mungkin ada sebab-sebab tertentu yang membuatkan mereka tidak membeli buku tersebut. Jadi mereka hanya mengambil catatan dan berharap dapat memperoleh manfaat dari buku itu tanpa membelinya. Maklumat percuma!

Apakah cara ini berkesan. Adakah maklumat yang mereka catat dari bacaan percuma itu dapat dimanfaatkan?

Apa yang saya pasti, cara ini tidak berkesan! Sesiapa pun akan dapat menjamin bahawa maklumat yang mereka ambil itu tidak berguna walau pun maklumat itu berharga.

Saya tidak tahu bagaimana caranya anda mendapatkan manfaat dari buku yang anda baca. Saya ada cara tersendiri. Walaupun tidak menjadi tabiat sepenuhnya, saya pasti 4 cara ini amat berkesan untuk mengutip manfaat dari buku yang dibaca.

4 Cara Berkesan Mendapat Manfaat Dari Buku

1# Buku mesti dibaca sekurangnya-kurangnya 3 kali. Ya! Paling kurang 3 kali. Kenapa? Sebabnya kerana anda akan lebih faham isi kandungan buku dan anda akan berjumpa point-point penting yang terlepas pandang pada bacaan sebelumnya.

2# Anda perlu menanda point-point penting sepanjang pembacaan. Tanda point itu dengan garisan atau warnakan. Kenapa? Cara ini akan memudahkan anda. Ia dapat menjimatkan masa dan tenaga bila membaca buku itu semula.

Jangan risau jika tanda itu kelihatan mencomotkan dan mengotorkan buku anda. Buku ialah untuk diguna bukan untuk dijadikan  bahan hiasan.

3# Selepas mengetahui point-point penting dari buku yang dibaca, anda perlu bertindak atas maklumat yang anda dapat itu. Pengetahuan hanya berkuasa bila diamalkan.

Bila anda baca buku semata-mata untuk tahu bukan untuk mengamalkannya, anda akan menjadi ‘ilmuan yang tak berguna’. Anda tahu banyak tapi pengetahuan itu tidak berguna langsung. Paling bagus pun anda akan mendapat tempat #1 dalam pertandingan membaca buku terbanyak!

4# Akhir sekali, anda wajib mengulang baca buku itu, mungkin 1 tahun sekali. Hanya itu caranya untuk anda terus ingat maklumat berharga dan seterusnya mendapat manfaat dari maklumat itu.

Untuk mendapat manfaat sepenuhnya dari buku yang anda baca, anda mestilah memiliki buku itu. Membaca sekali di perpustakaan dengan seimbas lalu dan membaca secara tergesa-gesa dengan percuma di kedai buku tidak akan berkesan. Tiada manfaat yang anda akan dapat kerana anda akan lupa apa yang anda baca.

Untuk memiliki buku, anda perlulah membelinya. Purata biasa harga buku di Malaysia antara RM30-40. Dengan harga ini semua orang boleh membeli buku paling kurang 1 naskhah sebulan. Anda mungkin rugi RM40 duit makan sebulan, akan tetapi pengetahuan dari buku yang anda beli itu dapat memberi ilmu untuk ‘cari makan’ sepanjang hidup anda.

Apa yang perlu anda buat ialah membeli dan membaca buku kepunyaan anda sendiri. Fikirkan ini sejenak! Adakah anda tahu seseorang yang menjadi kaya, gembira, sihat, berjaya dan sebagainya hasil dari membaca buku secara percuma? Setahu saya tidak ada! Tidak ada! Tidak ada!

Akhir sekali untuk sekali lagi. Belilah buku, kemudian anda mesti baca dan baca dan baca untuk mendapat manfaat darinya.

Share

Tidak Ada Satu Buku Yang Boleh Membawa Kita Kepada Kejayaan

Penulis buku motivasi mahu pembaca bukunya dapat membentuk diri menuju kejayaan. Penulis buku kewangan mahu pembaca dapat menguruskan kewangan mereka dan menjadikan diri mereka bebas kewangan.

Begitulah penulis buku yang lain. Mereka mahukan pembaca berjaya mengikut idea buku yang mereka tulis. Tajuk di atas adalah kontroversi jika bersandarkan apa yang dimahu penulis terhadap pembaca buku mereka.

Hakikatnya itulah yang sebenarnya!

Adam Khoo menyatakan dalam bukunya yang ditulis bersama Stuart Tan, Master Your Mind, Design Your Destiny, edisi Bahasa Melayu erbitan PTS Millenia tahun 2008 dengan tajuk Kuasai Minda, Bina Masa Depan Anda;

“Tidak ada buku yang mampu membawa kita mencapai kejayaan melainkan kita sendiri yang berusaha mencapainya.”

Idea yang terkandung dalam sebuah buku tidak dapat merubah hidup kita. Kita hanya dapat berubah bila kita menggunakan idea buku itu dalam kehidupan kita. Seperti kata Anthony Robbins, “Ilmu hanya potensi. Ia hanya berkuasa bila digunakan.” Semudah itu!

Betulkah semudah itu? Tidak! Tidak semudah itu. Ia bergantung kepada tujuan anda membaca dan penerimaan anda terhadap ilmu atau idea buku yang anda baca itu.

Ada 4 sikap manusia bila membaca buku;

Sikap #1
Awal-awal lagi mereka menganggap buku itu tidak berkesan pada mereka. Mereka memberi alasan, banyak buku motivasi yang telah dibaca dan satu pun tidak membawa kesan apa-apa. Dan buku yang mereka sedang baca sekarang tentunya tidak akan berkesan juga.

Sikap #2
Mahu tengok dahulu apa yang menarik. Mereka tidak baca keseluruhan buku, hanya mencari isi-isi yang menarik sahaja. Bahagian yang menyarankan untuk berbuat atau bertindak tidak diambil perhatian.

Bagi mereka ini, membaca hanya sebagai hiburan. Hanya untuk memenuhi masa lapang. Mereka tahu idea-idea berguna tapi mereka tidak mendapat apa-apa manfaat darinya.

Sikap #3
Mahu mencuba dulu. Mereka buat beberapa latihan yang disarankan penulis buku. Bukan semua latihan, hanya yang menarik dan menyeronokkan sahaja. Selang beberapa lama, latihan yang dibuat sambil lewa itu ditinggalkan.

Mereka ini sama sahaja dengan orang yang bersikap #2 iaitu tidak mendapat apa-apa manfaat dari latihan yang dibuat.

Sikap #4
Mereka membeli dan membaca buku dengan niat mahu membuat perubahan hidup. Mereka memberikan seratus peratus perhatian pada pembacaan mereka. Dan mereka melakukan yang sepatutnya dibuat oleh orang yang mahu berjaya dalam hidupnya,

  1. Setiap isi buku itu dibaca dengan teliti tanpa melompat dan diulang baca.
  2. Point-point penting digaris atau dicatat dalam buku berasingan.
  3. Setiap latihan yang diberi akan dibuat dengan bersungguh hati.
  4. Idea-idea yang terkandung dalam buku itu diamalkan dalam setiap aspek kehidupan mereka.
  5. Mereka mungkin menggabungkan latihan dan idea dari buku lain yang berkaitan.

Saya tidak bersikap #1 terhadap buku. Bagaimanapun sesekali bila mood tidak baik, akan ada sikap #2 dan #3 dalam diri bila membaca buku. Bagaimana dengan anda?

Saya mengajak pembaca bersikap #4 bila membeli dan membaca buku. Hanya orang yang bersikap #4 dapat mengubah hidupnya.

Share

Hadiahkan al Fatihah dan Doakan Penulis Buku yang Anda Baca

Sebelum membaca isi kandungan buku, hadiahkan dahulu al Fatihah pada penulisnya yang beragama Islam dan doakan penulisnya yang bukan beragama Islam.

Saya hadiahkan al Fatihah sekali sahaja pada penulis sebelum membaca buku baru yang saya beli. Pada bacaan sambungan seterusnya dan pada bacaan ulangan, saya tidak hadiahkan al Fatihah lagi. Saya hadiahkan al Fatihah semula sekali lagi pada penulis tersebut bila saya membeli buku baru tulisan dia yang lain.

Maksudnya, bila saya beli 5 buah buku penulis itu, maka lima kali saya hadiahkan al Fatihah padanya.

Baguslah bila anda dapat menghadiahkan al Fatihah pada setiap kali membaca. Pada bacaan mula dan pada bacaan seterusnya dan pada bacaan ulangan. Untuk menghabiskan bacaan buku, anda mungkin perlu membaca tiga atau empat atau lebih sambungan bacaan. Maknanya anda hadiahkan  tiga atau empat atau lebih al Fatihah pada penulis itu. Ini adalah lebih baik.

Tidak boleh hadiahkan al Fatihah pada penulis yang bukan Islam. Doakan semoga Allah memberi hidayah Islam pada mereka. Hendaknya mereka mati sebagai orang yang beriman.

Bila membaca buku terjemahan, hadiahkan al Fatihah pada penterjemah dan doakan penulis asalnya. Bagi penulis asal yang Islam, hadiahkan al Fatihah untuk keduanya iaitu pada penulis dan penterjemah.

Kita tidak rugi apa-apa bila menghadiahkan al Fatihah dan mendoakan penulis buku yang kita baca. Ada pahala untuk kita.

Dan dengan berkat al Fatihah itu, kita berharap agar Allah memudahkan kita faham isi kandungan buku dan Allah memberi kekuatan untuk kita mengamalkan ilmu yang kita tahu dan faham  dari buku yang kita baca itu.

Share

Buku ini Hak Milik Saya

Saya mahu bercerita tentang saya dan buku. Harap anda tidak bosan membaca cerita saya dan buku ini.

Apa yang bermanfaat bolehlah diikut. Apa yang tidak bermanfaat, janganlah diikut. Apa kisah yang anda rasa tidak bermanfaat pada saya [saya tentunya tidak sedar tentang ini] maka tegurlah untuk saya perbetulkan.

Ini ceritanya di antara banyak cerita. Cerita lain akan diceritakan pada lain kali…

Pernah sekali dulu, saya memberi pinjam buku pada seseorang. Bukan sebuah buku malah lebih dari 5 buah buku bernilai hampir RM200. Panjang ceritanya kalau mahu beritahu kenapa dia hendak meminjam dan kenapa pula saya memberi pinjam.

Dipendekkan cerita, saya meminta balik buku yang dia pinjam kerana kelihatannya dia dia lupa untuk memulangkannya. Dia memang lupa. Bukan lupa hendak pulangkan tapi dia lupa yang dia pernah pinjam buku dari saya!

Sasterawan negara Dato’ A Samad Said juga pernah bersungut betapa ada orang yang meminjam buku dari beliau dan mereka lupa untuk memulangkannya.

Dipendekkan cerita lagi, sejak peristiwa itu saya akan mencatat nota pada setiap buku terutama yang baru dibeli untuk membuktikan buku itu saya yang punya.

saya dan buku

Ini apa yang saya catat…

1# Nama saya sebagai pemilik buku.

2# Tempat di mana saya beli atau mendapatkan buku.

3# Tarikh, hari dan masa saya membeli.

4# Harga buku itu bila saya mendapat  diskaun dari penjual.

5# Sebab saya membeli. Sebab menambah tahu. Sebab tertarik dengan desain buku. Sebab minat pada penulis dan sebab-sebab lain.

6# Nota lain yang berkenaan. Contoh bila buku itu adalah hadiah, catatkan siapa yang menghadiahkan atau kenapa diberi hadiah dan seumpamanya.

7# Ada mereka yang menulis alamat rumahnya dengan nota;

‘Sesiapa yang terjumpa buku ini atau meminjam buku ini, sila pulangkan kepada tuannya di alamat berikut…[saya tidak mencatat alamat rumah kerana saya tidak lagi memberi pinjam buku pada orang lain dan saya tidak meninggalkan buku merata-rata seperti orang yang selalu tertinggal HPnya atau kunci kereta di kedai makan]

Ada lain yang saya catatkan pada buku tapi itu termasuk dalam kisah seterusnya.

Share