Di Mana Anda Mengundi 9hb Mei ini?

Pada Rabu 9hb Mei ini, saya akan mengundi bagi P119 Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah, Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur di saluran 4.

Tidak perlu berkenderaan dari rumah, hanya berjalan kaki ke tempat mengundi.

PRU14 di Titiwangsa menyaksikan pertandingan 3 penjuru. Datuk Seri Johari Abdul Ghani dari BN (penyandang), Rina Mohd. Harun dari PKR dan Mohamad Noor Mohamad dari PAS.

Saya sudah buat keputusan awal untuk memilih parti mana yang akan saya undi. Dan kemenangan calon dan parti untuk P119 Parlimen Titiwangsa adalah ketentuan Allah. Undi hanyalah asbabnya.

pilihanraya umum 14

Bila Allah mentakdirkan kemenangan kepada calon dan parti bukan pilihan, saya berdoa moga Allah mententeramkan hati saya dengan rasa redha dan syukur.

Saya tidak mahu merungut-rungut di facebook atau meluahkan rasa tidak puas hati di blog. Dan sekali-kali saya berdoa dapat bertahan daripada ‘share’ luahan hati pengguna media social lain yang kalah calon pilihan hati mereka.

Saya percaya kemenangan calon yang saya tidak undi ada kebaikannya kerana tiada takdir Allah yang buruk. Saya mahu tanam kejap kepercayaan dan keyakinan ini dalam diri.

Kerana itu saya berdoa supaya kelakuan saya tidak mengambarkan sepertinya saya ‘membantah’ takdir Allah itu.

Bila calon yang saya undi menang, saya mahu mengucap syukur sedalam-dalamnya dalam diam. Tidak mahu memujinya di blog atau bersorak-sorak kemenangannya di facebook.

Kerana saya tidak mahu mengguris hati dan perasaan saudara mara dan kawan-kawan yang mungkin mengundi calon selainnya.

Saya berharap meletakkan undi  betul kepada calon dan parti yang tepat. Bila ada kebaikan di situ, saya mengharapkan pahala. Bila tiada kebaikan di situ, saya mengharapkan keampunan.

Dan inilah sikap yang saya ambil sebagai rakyat yang tidak mengisi borang dan tidak aktif pada mana-mana parti. Bila saya mengambil pendirian mahu berdiri di tengah (atas pagar), saya benar-benar mahu berdiri di tengah-tengah.

Dan saya menghormati mereka yang jelas terang mengumumkan parti mana yang mereka sokong dan aktif.

Apa-apa pun selepas 9hb Mei, kita adalah rakyat Malaysia yang bersatu, bersilaturrahin dan berkasih sayang antara satu sama lain tidak kira bangsa dan agama.

 

Share

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge