Dipandang Kaya sebenarnya miskin, dipandang bahagia sebenarnya derita.

 

BILA memandang dia, kamu akan mengatakan dia kaya.

Kerana kamu menganggap memiliki banyak harta adalah kekayaan.

Dia punyai tanah berekar. Tanah kebun dan tanah berumah. Rumah didudukinya besar bertingkat. Rumah sewa ada berderet. Kereta model terkini. Setiap seorang ada sebuah. Wang tunai berpuluh kali juta. Tidak cukup satu bank menyimpannya. Emas ada. Perak pun ada.

Bila memandang dia, kamu akan mengatakan dia bahagia.

Kerana kamu menganggap mudah mendapatkan sesuatu itu kebahagiaan.

Kemahuan dia seperti berada di hujung jari. Petik sahaja jari, dia mampu mendapatkan apa yang dimahukannya. Tidak perlu berkira berapa duit harus dikeluarkan untuk memiliki sesuatu.

Bila memandang dia, kamu akan mengatakan, “alangkah seronoknya kalau menjadi seperti dia.”

Kerana kamu menganggap keseronokan itu bila keinginan dapat dipenuhi. Bila setiap kemahuan bukan lagi angan-angan. Bila setiap bayangan mampu berubah menjadi realiti. Bila kekayaan adalah apa yang dapat dipegang dengan tangan.

Ketahuilah satu perkara…

Cara kamu memandang tidak akan sama dengan cara pandang seorang yang ‘arif billah’. Pandangan ‘orang yang dekat dengan Allah’ tidak sama dengan pandangan kita.

Bila memandang dia, orang yang ‘arif billah’ tahu bahawa dia tidak kaya. Dia tidak berada dalam kebahagiaan.

Kerana keinginannya kepada harta dunia menggelegak dalam jiwa. Dunia ini bukan berputar pada paksinya tapi berputar dalam akalnya.

Jiwanya sentiasa resah. Dia mahu itu, dia mahu ini. Dapat satu mahu dua. Dapat dua mahu tiga. Mahunya tiada hujung.

Keretanya sudah besar menjalar, namun bila ada kereta model baru…dia resah mahukannya. Tanahnya sudah berekar, tapi bila ada tanah mahu dijual…dia gelisah inginkannya. Rumahnya sudah besar tidak berpenghuni, tapi dia tidak tenang kecuali menambahnya.

Kaya apa kalau masih tidak cukup apa yang ada. Bahagia apa bila hati selalu resah, jiwa sering gelisah.

Sungguh! Dia telah dikuasai hartanya bukan dia yang menguasai harta.

Bila memandang dia, orang yang ‘arif billah’ tahu bahawa dia sebenarnya miskin.

Kerana sebenar-sebenar kaya bukanlah kerana memiliki sesuatu. Kekayaan sebenar bila dia tidak dimiliki oleh harta. Hartanya hanya ada di tangan bukan ada dalam hatinya.

erti kekayaan dan kebahagiaan

Maksud sebenar Maha Kaya pada Allah bukanlah kerana Allah itu memiliki kekayaan langit dan bumi. Allah itu digelar Al Ghani-Yang Maha Kaya kerana Dia tidak memerlukan sesuatu.

Bila memandang dia, orang yang ‘arif billah’ tahu bahawa dia sebenarnya derita.

Kerana sebenar-benar bahagia bila hati kekal tenang walau memiliki atau tidak memiliki. Ada atau tidak ada tidak memberi kesan pada hati. Bila tiada dia tenang dalam redha. Bila ada dia tenang dalam kesyukuran.

Wahai diri yang miskin, bersyukur dengan apa yang ada. Redhalah dengan keadaan. Tapi itu bukan bermakna kamu tidak perlu berusaha. Kamu ada kewajiban untuk berikhtiar sehabis usaha bagi mendapatkan rezeki.

Usahalah sehabis cara sambil hati berharap kepada Yang Maha Pemberi Rezeki. Yakinlah siapa berusaha, dia akan mendapatkan apa yang diusahakannya. Yakinlah Allah mampu memberi rezeki melalui ‘jalan’ yang kamu tidak sangkakan.

Wahai diri yang kaya, bersyukur dengan apa yang ada. Tapi itu bukan bermakna kamu tidak perlu menambah harta. Terus berusaha. Tambahlah harta melalui cara yang Allah suka. Tidak ada salah kiranya mahu menimbun harta. Salahnya jika menimbun harta itu yang menjadi matlamat hidup.

>>Bina Kekayaan Dengan Mengumpul List Nama KLIK DI SINI<<

Ketahuilah satu perkara…

Kepunyaan kamu bukanlah hak kamu semuanya. Dalam harta kamu ada hak orang lain yang memerlukan. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap hartanya adalah haknya seorang, tidak boleh dikongsikan dengan orang lain.

Kemampuan kamu mengumpul harta bukan kerana modal keupayaan kamu. Modal keupayaan kamu adalah pinjaman dari Allah berupa ‘tenaga dan akal’. Modal pinjaman ini tidak perlu dipulangkan semula. Allah tidak mahu. Allah hanya mahu kamu salurkan modal ini kepada hambaNya yang memerlukan melalui zakat dan sedekah.

Ketahuilah…

Aku catatkan ini, hanyalah untuk mengingatkan dan menginsafkan diriku sendiri.

Dan aku bersyukur kepada Allah bila catatan ini juga dapat mengingatkan dan menginsafkan orang lain yang membacanya.

 

Share

13 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge