Gunakan 10 Petua Untuk Berjaya Ini Dalam Kerjaya Dan Kehidupan

 

Kejayaan bukan satu rahsia. Ada cara, ada petua yang diberitahu oleh mereka yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Bila kita mahu berjaya, hanya ikut cara mereka yang telah berjaya.

Kalau sudah ada jalan dekat untuk pergi ke satu tempat, adalah ‘kerja bodoh’ untuk menggunakan jalan yang lain. Gunakan jalan yang telah biasa diguna. Kecualilah jika kita mahu bersiar-siar.

Begitu pun, kita tidak boleh berharap kejayaan akan berlaku sekelip masa walau ada cara atau petuanya. Ia tetap mengambil masa. Cuma, masanya tidaklah terlalu lama jika kita hanya mencuba-cuba.

Ada banyak cara atau petua untuk berjaya.

Setiap individu yang berjaya ada tip tersendiri untuk berjaya. Apa yang boleh kita lakukan adalah dengan meneliti semua tip ini dan ambil untuk diamalkan, apa-apa yang serasi dengan diri kita.

Antaranya, adalah 10 petua untuk berjaya ini.

Petua 1 # Percaya kita akan berjaya.

Jangkakan kejayaan dalam setiap tindakan dan usaha kita. Yakin setiap tindakan dan usaha akan membuahkan kejayaan. Gambarkan kejayaan yang kita kecapi hasil tindakan dan usaha kita itu.

Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan, diyakini dan selalu digambarkan akan berkemungkinan besar berlaku.

Bukan berlaku sebegitu sahaja. Minda yang fokus akan menumbuhkan idea, mencari sumber dan ‘membekalkan’ tenaga untuk terus berusaha dalam setiap tindakan mencapai kejayaan.

Petua 2 # Berlakon sebagai watak orang berjaya

Berlakon bukan untuk menjadi filemstar! Berlakon sekadar untuk meniru perangai atau sikap positif mereka yang telah berjaya.

Mereka yang berjaya ini adalah individu yang kita pilih sebagai model ikutan, bersesuaian dengan bidang yang kita ceburi.

Individu yang berjaya punyai perangai atau sikap tersendiri yang mendorong kejayaan itu. Antaranya, banyak membaca, bangun awal pagi, menepati waktu dan sebagainya.

Selain itu mereka, ada ‘gaya’ tersendiri ketika bercakap, berjalan, cara berpakaian dan sebagainya.

Inilah yang mahu ditiru. Bukannya meniru material kejayaan yang mereka miliki. Kita bukan diminta berhutang untuk berkereta mewah sama dengan mereka. Menempah baju mahal untuk berpakaian sama seperti mereka dan sebagainya.

Berfikir, bercakap dan bertindak seperti mereka yang berjaya. Lama kelamaan tabiat kejayaan akan sebati dengan diri kita. Menjadi sikap baru kita. Sikap yang positif.

Petua 3 # Buat penampilan diri yang baru.

Kejayaan mudah hadir melalui penampilan diri yang positif.

Mudah untuk mengenali mereka yang positif melalui percakapannya, gaya pemakaiannya, potongan rambut, gaya berjalan dan seumpamanya.

Kembali kepada petua 2#, kita boleh mengaplikasikan perkara yang sama untuk diri kita.

Contoh: Bagaimana keadaan diri kita yang berpakaian T-Shirt berkolar dan berseluar kasual dan berkasut pergi ke satu majlis. Kita rasa penampilan kita sudah OK. Tapi dalam majlis semua orang berseluar slack, berbaju batik atau kemeja berlengan panjang.

Sepositif mana pun diri kita, bila berada dalam keadaan itu, pasti hadir rasa bersalah dan rendah diri. Positif terbang entah ke mana.

Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi diri. Yang memudahkan kita meraih kejayaan hidup.

Bagaimana perasaan diri bila mengenakan baju baru ke pejabat.  Pastinya lebih yakin dan bersemangat untuk bekerja. Baru, kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama.

Bagaimana perasaan diri bila dulunya berambut panjang tidak terurus, kini berambut pendek kemas bersikat dan kasut pula selalu diberus bersih.

Ada mereka yang sanggup melabur wang mengupah penggaya emej untuk menampilkan diri yang ‘baru. Terpulang kepada diri sendiri. Sekiranya ia berbaloi menjadikan diri lebih positif dan produktif, tidak ada salahnya mencuba.

Mulakan penampilan baru dengan senyuman.

Petua 4 # Banyak berkawan dengan orang berjaya.

Kita mahu berkawan dengan semua orang. Dengan jiran sekeliling rumah (setaman atau sekampung). Dengan mereka yang sepejabat atau satu syarikat dengan kita. Kita berkawan dengan ramai orang.

Tetapi kawan yang sering kita lepak bersama, kawan yang kita mahu meminta dan memberi pendapat, kawan yang mahu kita berkongsi rahsia dan sebagainya patut dipilih-pilih. Bukan sembarangan orang.

Mereka telah berjaya atau mereka berada dalam ‘lorong’ yang tepat menuju kejayaan.

Mereka kawan sejati atau sahabat yang dapat mendorong kita lebih cepat mencapai kejayaan. Dengan mereka kita patut banyak ‘habiskan masa.’

Ungkapan, “kalau mahu kenal seseorang itu, maka kenalilah kawan-kawannya,” membuktikan keperibadian seseorang itu mudah dibentuk oleh pergaulannya dengan kawan-kawan.

Sekiranya kita berkawan dengan mereka yang berjaya, cerita-cerita kejayaan akan menjadi pendorong kita. Tip-tip yang mereka kongsikan boleh dijadikan pelan tindakan kita. Semuanya akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan kita.

Petua 5 # Kuasai motivasi dalaman.

Semangat untuk ke depan ada ketikanya naik dan ada masanya menurun. Ada seketika, malas dan bosan dan perasaan lain menjajah diri.

Semua ini lumrah kehidupan manusia. Untuk kekal bersikap positif dan bersemangat dan setiap lapangan hidup, perlu sentiasa memotivasikan diri.

Mereka yang berjaya dalam hidupnya mempunyai motivasi dalaman sebagai pendorong hidup. Tidak selamanya kita boleh mengharapkan orang lain untuk ‘menolak’ kita ke depan.

Kita yang perlu berinisiatif untuk bergerak sendiri.

Selain menghadiri program ceramah motivasi, bahan-bahan seperti kaset dan buku boleh dihadam sepanjang masa.

Petua 6 # Tumpukan (fokus) kepada apa yang diinginkan.

Ramai yang ‘bersungut’ kenapa mereka tidak mendapat apa yang mereka inginkan.

Mereka tidak faham, sebenar-benarnya setiap manusia hanya bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran.

Mungkin mereka mahukan INI tapi tanpa sedar dalam fikiran mereka memikirkan ITU. ITU lah yang mereka dapat! Kerana perkara ITU yang terlintas dalam fikiran walau mulut mereka asyik berkata INI.

Satu cara untuk tumpukan perhatian adalah dengan mengubah cara bercakap seharian.

Kita anggap positif (elok) bila berkata, “mulai hari ini aku tidak mahu malas lagi.” Hakikatnya perkataan ini negatif (buruk) kerana fikiran memikirkan ‘malas’ yang selalu kita buat sebelum ini.

Tukar perkataan kepada, “mulai hari ini aku seorang yang rajin.” InShaAllah kita akan terdorong untuk rajin kerana fikiran kita memikirkan ‘rajin’ yang akan kita buat selepas ini.

Begitulah perkataan-perkataan yang lain. Tukar mulai sekarang!

“Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi,” kepada “Mulai hari ini aku akan rajin solat 5 waktu.”

“Mulai hari ini aku tidak akan lawan cakap ibubapa lagi,” kepada “Mulai hari ini aku akan taat cakap ibubapa.”

Dan seterusnya. Bercakap apa yang akan kita buat, bukan apa yang kita mahu tinggalkan.

Petua 7 # Bajai masa depan dengan kejayaan silam.

Kata orang, jangan bernostalgia dengan masa silam kerana ia sudah berlalu. Ia tidak menjamin kejayaan masa depan. Mesti fokus kepada masa depan.

Kenyataan ini tidak tepat. Hakikatnya, pakar-pakar motivasi dunia menjadikan kecemerlangan masa silam sebagai pencetus untuk mencapai kecemerlangan yang baru.

Di saat kita tertekan, malas, bosan dan sebagainya, cuba ingat kembali kejayaan-kejayaan yang pernah kita raih dulu. Tidak kira kejayaan besar mahu pun yang kecil.

Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu. Apa yang telah kita buat sehingga kita mencapai kejayaan itu. Rasakan kembali kegembiraan dalam diri saat kita mencapai kejayaan tersebut. InShaAlla semangat kita akan membara kembali.

Sebab itu kita disaran untuk menulis setiap kejayaan yang kita capai dalam diari. Ini untuk rujukan masa depan. Jadikan diari ini alat atau sumber tenaga dan kekuatan untuk terus maju ke depan.

Petua 8 # Cakap diri positif.

Boleh disebut juga saranan diri positif. Ia adalah kata-kata kepada diri sendiri yang merangsang jiwa dan fikiran, sekaligus mendorong tindakan.

Boleh gunakan petikan kata daripada ahli ilmu, petikan terjemahan alQuran atau hadis.

Kata-kata ini menjadi motto hidup. Bukan perniagaan sahaja ada motto bisnes, kita juga boleh menjadikan kata-kata sebagai motto peribadi seperti lagenda tinju Muhammad Ali yang menjadikan kata-kata ‘Akulah yang Terbaik – I’m the Greates” sebagai kata-kata semangat.

Kata-kata ini boleh selalu kita ucapkan atau boleh kita jadikan hiasan dinding yang boleh dilihat setiap hari.

Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda

Petua 9 # Kerap menyoal diri dengan soalan positif.

Setiap hari kita menyoal diri sendiri tanpa sedar.

Hari ini nak pakai baju apa? Nak makan di mana? Nak makan apa? Dan banyak soalan lagi. Soalan ini kita anggap biasa dan tidak menjejaskan hidup. Ia sudah menjadi sebahagian kehidupan.

Akan tetapi bagi sesetangah orang pertanyaan ini oleh menjejaskan hidup. Sebab itu pemilik facebook memakai seluar dan baju T yang sama jenis dan warna setiap hari. Beliau anggap memikirkan apa yang mahu dipakai setiap hari adalah ‘pemikiran yang membazir’. Lebih baik beliau gunakan untuk memikir apa yang boleh dibuat untuk menambah baik facebook.

Mereka yang berjaya akan seboleh-bolehnya cuba mengelak soalan-soalan yang biasa ini yang hanya ‘berkesan’ sehari.

Sebaliknya mereka lebih banyak bertanya diri sendiri soalan-soalan yang akan memberi kesan seusia hidup mereka. Soalan yang boleh memajukan diri mereka.

Nak ambil kursus apa?

Apa yang aku nak buat waktu cuti?

Buku apa yang patut aku baca? Dan sebagainya.

Juga bertanya soalan yang boleh membentuk keperibadian mereka.

Apa hikmah di sebalik ujian yang aku hadapi ini?

Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?

Bagaimana aku dapat membantu insan lain? Dan sebagainya.

Petua 10 # Menjadikan seseorang model ikutan.

Ini bukan model iklan ya. Akan tetapi seseorang yang kita kagum dengan karakter dan pencapaiannya dan kita mahu ikut jejak langkahnya.

Sebagai seorang Islam, model pertama yang menjadi ikutan patutnya adalah Nabi Muhammad (selawat atasnya). Model semurna dalam semua bidang kehidupan.

Namun tidak salah selepas itu, untuk menjadikan individu lain sebagai model ikutan. Dapatkan beberapa individu terutamanya mereka yang sudah berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

Baca kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Mungkin ada falsafah dan kata-kata mereka yang boleh kita jadikan panduan. Pelajari bagaimana mereka menghadapi masalah dan cara mereka mengatasinya.

Begitulah antara 10 petua mencapai kejayaan. Sememangnya kejayaan itu ada jejaknya. Jejak yang jelas bukan samar-samar.

Apa yang kita hanya patut buat hanya mengikut jejak yang sedia ada.

Kejayaan bagi sesetengah orang, bukanlah apa yang dimiliki tetapi apa yang kita pelajari untuk mendapat apa yang dimiliki itu.

Kejayaan bukanlah bila berada di akhir garisan tetapi perjalanan untuk mencapai garisan itu.

Dalam banyak-banyak maksud atau falsafah kejayaan, apa yang yang fahami sebagai bukti kejayaan?

 

#Kongsikan artikel ini jika bermanfaat kepada anda.

 

 

 

Share

7 comments

  1. Ada yang mengesyorkan impian tampal atau lakar pada ‘Dream Board’ atau ‘Vision Board’. Kemudian tampal ditempat selalu nampak supaya melekat dan melihat impian yang ingin dicapai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge