Hari Raya: Hari Suka Atau Duka?

Hari raya ialah hari untuk bersuka. Hari keriangan. Riang kerana dapat menjalankan ibadah puasa dan ibadah lain di bulan puasa ini dengan sempurna. Dan ada yang riang kerana tidak perlu lagi berlapar pada hari siang.

Apa juga sebabnya, inilah hari di mana semua orang sepatutnya riang gembira.

Namun hakikatnya, inilah juga hari di mana ada orang berduka. Duka kerana tidak dapat beraya semeriah orang lain disebabkan tiada kemampuan dari segi kewangan. Dan ada yang berduka kerana kematian orang tersayang kerana kemalangan.

Kemalangan jalan raya seperti sudah menjadi identiti hari raya. Setiap kempen dan pemantauan keselamatan jalan raya yang dibuat oleh polis dan pihak berkaitan serta NGO yang suka menyumbang khidmat tidak akan membawa erti apa-apa jika sikap pemandu tidak berubah.

Kebanyakan orang cuba mengelak untuk meletakkan sikap sebagai sebab utama kemalangan. Mereka ‘sibuk’ mengaitkan kemalangan dengan sebab lain; jalan tidak elok, kereta ‘buruk’ dan sebagainya. Malah ada yang mengatakan tempat itu ‘keras’ sebagai sebab kemalangan.

Sebagai pengguna kenderaan awam, rasanya tidak salah untuk saya mengingatkan kepada setiap pemandu untuk sentiasa memegang slogan ini;

Selamat Sampai, Bukan Cepat Sampai

Keselamatan jalan raya

Jangan bawa laju-laju untuk cepat sampai ke kampung. Untuk apa anda bawa laju? Apa yang anda kejar?

Kelajuan anda itu tidak dapat ‘mendekatkan’ tempat yang anda tuju. Tempat itu tetap berada di situ.

Kalau anda berniat untuk cepat rehat di kampung bila cepat sampai, lebih baik bawa ‘perlahan’ sambil menikmati alam sekeliling sepanjang perjalanan. Itu adalah terapi rehat yang lebih baik.

Jangan susahkan orang lain untuk memikirkan soal keselamatan anda. Keselamatan anda adalah tanggungjawab anda. Keselamatan penumpang yang anda bawa adalah wajib untuk dijaga. Bila nyawa penumpang yang anda bawa itu hilang kerana sikap anda yang sengaja leka tidak mengambil endah. Anda dikira berdosa. Jangan dibuat mudah perkara ini.

Akhir sekali saya ingin ucapkan Selamat Hari Raya pada semua dan sekali lagi ingat slogan ini;

Selamat Sampai Bukan Cepat Sampai.

Share

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge