Jenama Yang Membelenggu Dan Membebaskan Kehidupan

Sekarang aku sedang berdiri di tepi jurang yang dalam. Terlalu dalam kerana aku tidak dapat melihat dasarnya. Aku memegang satu bag hitam besar. Di dalam bag itu ada banyak benda yang selama ini aku anggap sebagai harta karun.

Aku mahu buang bag besar dan segala apa isi yang ada di dalamnya ke jurang dalam.

Pada sebelum itu aku berkemas bag hitam besar berjenama ZonSelesa. Aku isi ke dalamnya segala benda yang selama ini aku simpan rapi dan aku anggap sebagai harta karun yang terlalu sayang untuk dibuang.

Benda yang menjadi harta karun ini bukan barang tiruan. Semuanya ada jenama yang terdiri dari jenama RaguDiri, jenama MustahilLah, jenama MainTerjah, jenama PatahSemangat, jenama TangguhTangguh, jenama TakBolehLah dan banyak jenama lain. Semua ini jenama antarabangsa.

Aku menghayun-hayun bag besar berjenama ZonSelesa supaya hayunan itu dapat melontar jauh bag ke dalam jurang. Jangan sampai tersangkut di tepinya.

Dan aku melempar dengan keyakinan yang pasti dengan lafaz Bismillah. Bag berjenama ZonSelesa itu terlontar jauh dan sekelip mata hilang dari pandangan.

Aku tidak boleh berlama-lama di tepi jurang. Aku perlu segera pulang. Aku mahu mengumpul barang-barang baru dengan jenama baru. Sekiranya aku tidak mula mengumpul barang-barang baru, pastinya aku akan teringat barang-barang yang aku buang tadi.

Kini aku punya barang baru dengan jenama baru. Jenama YakinDiri, jenama PastiBoleh, jenama YakinJaya, jenama UbahDiri, jenama RancangJaya dan banyak jenama lain yang aku simpan dalam bag putih besar berjenama ZonBebasDiri.

Ada banyak lagi jenama yang mahu aku kumpul. Ada kalanya jenama baru yang aku kumpul ini hilang, namun ia tidak menghalang aku untuk mengumpulnya kembali.

Dalam usaha mengumpul jenama baru ini, aku telah menemui satu fakta yang selama ini tersorok entah di mana. Fakta yang aku temui ini ialah…

Aku Memiliki Potensi

Share

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge