Kacak Dan Cantik Yang Hakiki

KITA kagum dengan dirinya yang kacak. Kita terpesona dengan dirinya yang cantik. Cantik atau kacaknyanya itu membuatkan kita mahu mendekati dan berkawan dengannya.

Namun bila sudah berkawan, bergaul dan bercakap-cakap dengannya, kita sudah tidak kagum lagi. Kerana cantiknya ditenggelamkan oleh mulutnya yang celupar. Kacaknya menjadi hodoh dengan sikapnya yang kasar.

Cantiknya tidak nampak di mata kita. Mukanya kita anggap buruk. Kacaknya tidak kelihatan langsung. Gayanya tiada. Kalau boleh, kita tidak mahu rapat. Jauh sekali mahu berkawan dengannya.

Tapi bila kita cuba dekat dan bergaul dengannya, kita tertawan. Hidung peseknya terlindung tutur katanya yang baik yang mendamaikan jiwa. Kita terpesona dengan sikapnya yang menyenangkan.

Inilah nilai akhlak.

Kita akan resah dan gelisah bersama si jelita dan sang kacak yang tidak berakhlak. Kita pasti gembira dan tenang bersama dia yang ‘hodoh’ namun memiliki akhlak mulia yang menawan hati kita.

Manusia inginkan kecantikan. Kerana itu produk kecantikan adalah antara produk yang paling laris dalam pasaran. Pemilik produk kecantikkan, boleh dikatakan hampir semuanya kaya raya.

Tidak salah bila berkeinginan mahu cantik. Itu fitrah semulajadi. Nabi Muhammad SAW ada memberitahu dalam hadis Baginda yang ALLAH itu indah dan DIA suka pada keindahan. ALLAH itu cantik dan DIA suka pada kecantikan.

Namun manusia kerap meletakkan nilai cantik itu pada ukuran yang salah. Cantik itu dinilai pada wajah dan tubuh badan.

Islam menilai cantik itu pada akhlak yang luhur. Akhlak yang disalut dengan syariat dan disepuh dengan iman. Inilah kecantikkan hakiki.

Wajah cantik akan berkedut bila dimamah usia. Tubuh badan yang segak akan lemah bila usia meningkat. Sedangkan akhlak akan kekal dan disebut-sebut orang walaupun seseorang itu sudah tiada lagi di dunia ini.

Akhlak yang luhur pada diri seseorang akan menjadi perhiasan rumahtangga yang dihuninya. Perhiasan masyarakat yang digaulinya. Perhiasan negara yang didudukinya. Orang di sekeliling akan mendapat manfaat dengan akhlaknya itu. Manfaat terbesar ialah wujudnya kasih sayang.

Dengan kasih sayang dunia dapat diamankan. Dengan akhlak luhur yang membuahkan kasih sayang sesama manusia, manusia itu dapat mencipta syurga dunia yang damai.

Share

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge