Kata Syeikh… Kamu Sedang Bantu Syaitan.

Taip nama Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi (1911-1998m) di google.com dan pasti kita dapat mengetahui siapa dirinya yang mengagumkan. Umum mengenalinya sebagai Tokoh Tafsir, bekas Mufti Mesir, bekas Syeikhul al Azhar dan Ulama Sunni yang terkenal.

Kisah hidupnya berwarna warni yang boleh diambil banyak pengajaran daripadanya. Salah satunya adalah apa yang beliau ceritakan sendiri:-

(cerita diedit bahasanya untuk memudahkan kefahaman tanpa menyimpang dari kisah sebenar)

Aku telah berbual-bual dan berbincang dengan seorang pemuda yang punya pemikiran agak ekstrim.

Aku bertanya kepada dia, “Adakah meletupkan kelab malam atau tempat maksiat dalam sesebuah negara itu halal atau haram?”

Pemuda itu menjawab, “Sudah tentu halal dan dibolehkan membunuh mereka.”

Aku membalas, “Kalau kamu bunuh mereka dan ketika itu mereka tengah melakukan maksiat kepada Allah, apakah yang akan terjadi kepada mereka atau ke mana mereka akan pergi?”

“Sudah tentu mereka akan ke neraka.” Jawab pemuda itu. “Ke mana syaitan akan membawa mereka?” Aku bertanya semula.

Pemuda itu membalas, “Sudah tentulah ke neraka. Sebab itulah yang menjadi matlamat syaitan.”

Aku berkata, “Kalau begitu, kamu dan syaitan telah bekerjasama dalam satu matlamat iaitu ingin memasukkan manusia ke dalam neraka!”

Kemudian aku pun mengingatkan pemuda itu akan satu kisah Rasulullah saw. Ketika mana lalu jenazah seorang yahudi di hadapan Nabi Muhammad, baginda bangun dan menangis.

Sahabat bertanya dengan hairan, “Apa yang menyebabkan engkau berdiri dan menangis wahai Rasulullah. Bukankah itu mayat seorang yahudi?”

Nabi Muhammad saw berkata, “Aku berdiri kerana apa pun agama dia, dia adalah manusia yang telah dipanggil mengadap Allah. Dan aku menangis kerana satu jiwa telah terlepas dari aku dan sedang menuju ke neraka.”

“Nampak tidak perbezaan antara kamu dan Rasulullah saw,” nasihat aku kepada pemuda itu. “Rasulullah inginkan hidayah untuk semua manusia dan mahukan semua manusia masuk ke syurga. Sedangkan kamu membantu syaitan memasukkan manusia ke dalam neraka. Kamu berada di bahagian lain sedangkan Rasulullah saw berada di lembah yang lain.”

Semoga Allah merahmati Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi. Dan semoga kisah yang diceritakannya sendiri ini dapat diambil iktibar.

tafsir al quran

Saya suka baca buku tulisan beliau. Perbahasan atau tafsiran di dalam buku tulisan beliau tentang isu-isu agama amat membuka minda. Sekarang ini saya sedang mencari buku tulisan beliau tentang kisah para nabi.

Ada satu kata madah beliau yang boleh kita fikirkan bersama… “Jika kamu melihat ramainya orang miskin di negara orang Islam, ketahuilah di sana ada si kaya yang merompak harta mereka”

Share

11 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge