Kau gila? Aku tidak!

Bila terserempak dengannya, dia akan dikatakan gila!

Tiada yang mengatakan dia tidak gila bila nampak dirinya melainkan semuanya meyakini dia gila!

Dia merayau-rayau tanpa arah di ibu kota KL yang sibuk. Berjalan terincut-incut sambil bercakap sendirian. Sesekali dia berhenti berjalan, kemudian bercakap dengan lebih kuat sambil tangan menunjuk-nunjuk ke sana sini seperti marahkan sesuatu.

Setelah puas meluahkan ‘kemarahannya’, dia kembali berjalan tanpa mempedulikan mata yang memandang. Terus merungutkan sesuatu yang tidak dapat dipastikan apa bendanya.

Warga KL yang bertembung dengannya akan mengelakkan diri. Ada dia peduli?

Dia memang tidak pedulikan orang-orang yang menjauhkan diri bila terserempak dengannya. Malah lebih senang dia berjalan bila orang mengelak seperti memberi ruang jalan padanya.

Dia dengan dirinya. Bercakap tanpa peduli, tanpa kisahkan orang mahu dengar atau tidak! Dia ada dunianya sendiri.

OrangTua

# Gambar sekadar hiasan. Gambar daripada google. Sepanjang terserempak dengan dia yang dimaksudkan dalam catatan ini, tidak terlintas langsung untuk ambil gambarnya.

Orang menuduh dia gila. Aku tidak! Aku tidak sanggup lagi menuduh dia gila.

Orang kata otaknya tidak betul. Aku tidak! Aku tidak sanggup lagi mengatakan otaknya tidak betul.

Sungguh aku tidak sanggup lagi.

Ya. Dulu aku juga seperti orang lain. Menuduh dia gila. Mengata otaknya tidak betul

ALLAH mentakdirkan aku pada satu hari, dekat merapatinya. Cuba menangkap butir-butir katanya. Ingin memahami apa yang dia sungutkan. Mahu tahu apa perkara yang dia marahkan.

Sungguh aku terpegun dan malu pada diri sendiri.

Selama ini, apa yang dia marahkan adalah ibu-ibu dan bapa-bapa yang dikatanya tidak pandai mendidik anak-anak. Anak-anak menjadi sangat tidak berakhlak kerana salah didikannya. Anak-anak tidak segan mendedah aurat kerana ibubapa yang tidak bertegas dalam soal agama.

Aku jadi malu. Bila aku menuduhnya gila, mengata otaknya tidak betul! Makanya aku juga gila. Aku juga berotak tidak betul kerana aku juga benci kepada mereka yang bersikap sangat kurang ajar. Aku juga amat tidak suka kepada mereka yang tidak malu auratnya dilihat orang.

Apa yang dia marahkan, itu jugalah yang aku marahkan. Apa yang dia sungutkan, itulah juga yang kadang-kadang aku sungutkan. Kalau kamu rapat dengannya dan mendengar setiap butir katanya, kamu akan tahu apa yang dia marah dan sungutkan.

Aku tidak pernah nampak dirinya selain sekitar jalan Tuanku Abd Rahman, antara Chow Kit dan SOGO. Mungkin kamu pernah nampak dirinya selain daripada tempat itu. Bila nampak dirinya, hulurkanlah seringgit dua dan kamu pasti akan mendapat ucapan, “terima kasih ya nak!”

Sungguh! Aku tidak lagi sanggup menuduh dia yang memanggil aku anak dan tidak lupa mengucapkan terima kasih bila aku hulur seringgit dua padanya sebagai gila dan otaknya tidak betul.

Apa yang dapat aku kata….takdir ALLAH telah jatuh ke atas dirinya. Dan aku amat bersyukur yang ALLAH tidak mentakdirkan aku jadi sebagaimana dirinya.

Share

20 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge