Ke Mana Harta Yang Banyak Dibelanjakan?

Saya ada mencatat pada nota sebelum ini berkenaan 4 sebab mesti kaya. Dari mana datangnya 4 sebab ini?

4 sebab mesti kaya ini adalah kesimpulan yang diambil daripada kata dan apa yang dilakukan oleh Abdullah bin al Mubarak al Khurasani (meninggal 181H). Dunia Islam lebih mengenalinya dengan nama Ibnu al Mubarak, seorang ahli fekah dan ahli hadis. Beliau dianggap wali Allah yang amat tekun beribadat. Beliau juga terkenal sebagai pahlawan perang yang digeruni musuh Allah.

Namun tidak banyak orang tahu bahawa Ibnu al Mubarak adalah seorang usahawan jutawan. Perniagaan perdagangan barang dari Khurasan ke Makkah dan dari Makkah ke Khurasan mendatangkan keuntungan yang amat besar. Beliau berniaga seperti akan hidup seribu tahun lagi. Beliau boleh dianggap sebagai Abdul Rahman bin Auf ke2.

Fudail bin Iyad ada bertanya pada Ibnu al Mubarak tentang sifatnya yang selalu menasihati dan menyuruh orang supaya berzuhud, jangan mengejar dunia dan melebihkan urusan akhirat. Akan tetapi Ibnu al Mubarak sendiri berniaga seperti tidak ingatkan akhirat.

Ibnu al Mubarak menjawab, “Aku melakukannya untuk menjaga air mukaku, memelihara maruahku dan membantuku dalam mentaati Tuhanku.” Lantas Fudail bin Iyad membenarkan kata-kata Ibnu al Mubarak ini.

Dari kata-kata Ibnu al Mubarak inilah dinukilkan 3 sebab kenapa seseorang itu mesti berharta dan sebab ke 4 diambil dari perbuatan Ibnu al Mubarak dalam membelanjakan hartanya.

Ibnu Mubarak tidak membelanjakan harta untuk kepuasan nafsu sendiri. Beliau memilih untuk membelanjakan hartanya dalam perlaburan akhirat. Secara tepatnya beliau melabur dalam perkembangan ilmu dan dakwah.

Pada zaman Ibnu al Mubarak hidup terdapat tokoh terkenal yang terlibat dalam pengembangan ilmu dan dakwah. Antara mereka ialah 5 tokoh ilmuan terkenal yang sangat berpengaruh,

1. Sufyan as Shawri.
2. Sufyan bin Uyainah.
3. Fudail bin Iyad.
4. Ibnu Sammak
5. Ibnu Ulayyah.

Namun tokoh-tokoh ini tidak dapat memberi perhatian 100% kepada tugas menyebar ilmu dan dakwah kerana mereka juga perlu mencari nafkah untuk menyara anak isteri. Sufyan as Shawri contohnya, di samping berdakwah dan menyampaikan ilmu beliau juga menangkap ikan (nelayan) untuk menyara keluarga.

Ibnu al Mubarak melihat keadaan ini sebagai satu kerugian bila semua tokoh ini terpaksa membahagikan masa antara dakwah dan penyampaian ilmu dengan bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Alangkah baiknya kalau semua masa digunakan untuk berdakwah dan mengajar ilmu, tentu ilmu akan berkembang dan orang yang memeluk Islam akan bertambah kerana dakwah.

Bagaimanapun sebagai manusia biasa, mereka perlukan wang untuk perbelanjaan harian. Maka Ibnu al Mubarak mengambil keputusan untuk menanggung perbelanjaan bulanan 5 tokoh ini dan keluarga mereka dan tentunya termasuk tokoh-tokoh lain. Termasuk jugalah pembangunan sekolah, alatan mengajar dan sebagainya.

Mereka kini boleh menumpukan 100% perhatian pada tugas dakwah dan menyebarkan ilmu tanpa perlu lagi bekerja mencari nafkah untuk perbelanjaan keluarga.

Hasil penggunaan harta oleh Ibnu al Mubarak ini membawa kesan hebat. Dunia Islam ketika itu menyaksikan kebangkitan Ilmu di setiap kota dan berbondongnya orang masuk ke dalam Islam.

Ibnu al Mubarak inilah di antara individu berharta yang dipuji oleh Baginda Nabi SAW. Nabi Muhammad SAW ada bersabda kepada Amru bin al Ash dengan mafhumnya, “Wahai Amru, betapa bagusnya harta yang baik di tangan lelaki yang soleh.” -riwayat al Bukhari.

Ibnu al Mubarak membelanjakan hartanya untuk pelaburan akhirat. Bila kita ada harta yang banyak, ke mana harta itu kita belanjakan?

Nota# Nama-nama tokoh yang dicatat dalam nota ini adalah betul dari segi sebutannya tapi berbeza cara tulisnya dalam bahasa Melayu di antara setiap penulis (Fudail/Fudhail/Fuzhail?). Saya tidak tahu cara tulis yang tepat.

Share

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge