Kenapa Saya Suka Komputer Saya

Makluman kepada pembaca# Nota ini sebenarnya ditulis untuk menyertai satu peraduan anjuran sebuah blog. Namun ada beberapa perkara yang mengelirukan menyebabkan saya tidak mahu menyertainya. Maka saya tidak link nota ini kepada blog tersebut. Sila baca nota ini…

Penggunaan komputer dan internet di kalangan rakyat Malaysia sudah tua usianya, setua usia komputer dan internet itu sendiri. Walaupun penggunaannya tidak meluas hingga ke ceruk tempat, orang yang tidak pernah menggunakan komputer masih tahu apa itu komputer dan internet.

Malaysia memang bertuah berbanding negara membangun yang lain. Apa yang terbaharu di dunia, ‘sekelip mata’ sudah ada di Malaysia. Rakyat Malaysia tahu tentangnya.

Tentu anda tidak percaya bila saya beritahu bahawa hubungan antara saya dengan komputer dan internet masih di peringkat ‘bayi’. Perkara ini tentulah tidak mustahi sekiranya saya menetap di ceruk kampung. Tetapi bila menetap di tengah kota Kuala Lumpur, orang akan mentertawakan anda bila anda memberitahu;

“saya tidak biasa menggunakan komputer dan internet.”

Saya ada akses kepada komputer dan internet, tapi saya tidak menggunakan keduanya kerana dua sebab;

1. Kerjaya saya tidak memerlukan komputer dan internet.
2. Saya memang tidak berminat dengan komputer dan internet.

Sebab kedua itu lebih kuat. Memang, bila tiada minat, benda yang ada di hadapan mata pun akan dibiarkan. Saya hanya melihat orang lain menggunakan komputer di mana-mana sahaja. Di pejabat sudah semestinya, di kedai makan, di taman, dalam kenderaan dan di banyak tempat lagi tanpa saya teringin untuk menyertai mereka.

Rasa tidak peduli dan tidak minat pada komputer berubah juga akhirnya bila saya merasakan banyak faedah yang saya dapat bila saya memiliki komputer.

1# Saya sudah tidak sanggup mengetuk mesin taip lagi. Banyak susahnya! Lagi pula, saya kena terima hakikat zaman mesin taip sudah ditiup angin.

2# Saya boleh simpan nota-nota ilmu dan nota dairi harian dalam komputer/CD. Nota-nota itu tidak lagi bersepah dalam fail dan buku yang kerap kali tidak terjaga hingga rosak akhirnya dan kekadang hilang.

Inilah dua sebab utama saya memiliki Compaq Presario v5000, widescreen 15′. Dan setelah ada komputer riba ini, saya mula membaca majalahPC keluaran karangkraf. Dan juga rencana-rencana berkaitan komputer dan internet. Dari situ saya mula berminat dengan blog dan perniagaan internet. Dua perkara ini nampaknya serasi dengan saya. Kemudianya saya melanggan broadband.

Dengan Compaq dan maxis broadband, saya mula ‘menjelajah dunia’.

Dari situ saya ambil tahu perihal blog dan sekarang saya ada ahmadyani.com. Saya kenal apa itu bisnes internet dan sekarang saya miliki aybamall.edycart. Saya mula berani berbincang dan berkenal-kenal di Komuniti Usahawan Internet Malaysia.

Saya mahu pergi jauh lagi ke dunia luas dengan menggunakan komputer dan internet kerana ‘dunia baru’ ini sesuai dan serasi dengan perwatakan saya. Ketika ramai orang sudah berlari dalam dunia tanpa sempadan ini, saya masih berlajar untuk berjalan. Tiada istilah lewat.

Sebab itu saya suka dan sayang kepada komputer saya ini. Saya menjaganya dengan baik kerana Compaq ini adalah pintu kepada dunia baru saya.

Share

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge