Lelaki Lembut vs Pondan vs LGBT

Penjelasan ringkas tentang tajuk di atas yang dikongsikan oleh Ustaz Ahmad Baei dalam status Facebook beliau amat menarik.

Saya ingin kongsikan di blog saya ini.

Ustaz Ahmad Baei adalah adalah salah seorang guru agama saya. Beliau pernah mengajar saya dahulunya di Temerloh, Pahang. Walau ada beberapa kenyataan dan pandangan beliau yang agak kontroversi (mungkin ada yang sudah tahu), saya tetap hormat dan tabik beliau sebagai seorang guru.

Berikut adalah pandangan beliau berkenaan isu ini:

= = =

Ada orang tanya saya, kenapa kita pandang serong kepada pondan.

Saya beritahu dia, Islam tidak pernah ajar umatnya benci golongan itu. Semua itu adalah makhluk ciptaan Allah. Habis tu katanya, kenapa ada diskriminasi terhadap mereka.

Biar saya jelaskan di sini, semoga ada manfaat kepada semua yang terlibat.

Sebenarnya ciptaan Allah tidak pernah tersilap. Untuk manusia Allah ciptakan lelaki dan perempuan juga khunsa.

Khunsa sedikit istimewa, terdapat dua alat kelamin yang salah satu berfungsi. Maka hukum untuk mereka bergantung kepada mana yang berfungsi. Kalau perempuan, alat lelakinya boleh dibuang. Berdasarkan itu tidak ada jenis pondan yang Allah ciptakan, malah Allah tidak akan ciptakan perasaan atau jiwa perempuan dalam tubuh lelaki. Maka dakwaan naluri perempuan terperangkap dalam tubuh mereka adalah sekadar dakwaan semata-mata.

Kita tidak nafikan ada lelaki yang cakapnya lembut seperti wanita tetapi itu semua terjadi hasil didikan dan suasana keluaga. Namun mereka apabila berkahwin, dikurniakan anak juga, malah ada yang ramai.

Jadi, dakwaan mereka didiskriminasi adalah tidak benar. Jelas di sini, dakwaan mereka hanya sebagai alasan provokasi untuk menampakkan kebencian. Sebenarnya semua manusia ada hak yang sama.

Adapun LGBT adalah isu yang lain, berbeza dengan apa yang dijelaskan di atas. Golongan ini adalah pihak yang melanggar hukum Allah secara terang-terangan. Mereka ini bukan sahaja dikutuk manusia tetapi dikutuk oleh Allah dan Malaikat.

Mereka ini perlu dibimbing untuk kembali kepada fitrah yang sebenar. Kerajaan melalui unit dakwah dan sebagainya perlu turun padang membawa mereka ke jalan yang selamat. Kalau Jakim pernah buat kursus pemurnian akidah untuk orang yang terlibat dengan ajaran sesat, kenapa tidak diwujudkan kursus pemulihan fitrah.

Walau bagaimanapun berdasarkan sejarah, golongan ini pernah gagal dipulihkan oleh Nabi Luth. Bahkan apabila mereka diterbalik bumi dan lain-lain amaran pun belum mahu sedar lagi. Sungguhpun begitu, kegagalan pada waktu itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita meninggalkan usaha memulihkan mereka pada hari ini.

Usaha perlu dibuat sehinggalah Allah memberi keputusan sama ada berjaya atau tidak. Hidayah hanya di tangan Allah.

Share

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge