Mati Tapi Masih Hidup

Dia masih makan dan minum. Boleh pergi ke hulu dan ke hilir. Dapat tidur malam dan besoknya bangun meneruskan aktiviti. Boleh berbual-bual dan bersembang isu semasa. Dia kekal bernafas menghirup udara segar. Tetapi Imam al Ghazali meminta kita bertakbir 4 kali kepadanya.

Takbir 4 kali sebagai simbolik solat jenazah. Namun dia bukan jenazah. Dia bukan mayat. Dia masih hidup. Kenapa dia dianggap mati hingga dia ‘diperli’ untuk ditakbirkan sebanyak 4 kali?

Adakah dia zombie iaitu mayat bernyawa? Bukan! Dia hanya manusia yang tidak suka akan ilmu agama. Imam al Gazali memperli orang yang suka memberi alasan untuk mengelak diri daripada menuntut ilmu adalah orang mati. Bukan mati nyawa. Akan tetapi mati hati.

Urusan mati nyawa akan selesai selepas jasad dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan kemudian dikebumikan. Bagaimanapun, manusia yang mati hatinya akan menyusahkan urusan hidup manusia lain dengan perangai dan kelakuannya yang buruk. Bukan sahaja membawa mudarat kepada hidup orang lain, juga kepada hidupnya sendiri.

Hati Sakit Bukan Sakit Hati

Hati tidak mati dengan tiba-tiba. Mulanya, ia adalah hati yang sakit. Hati yang sakit tidak dimaksudkan kepada perasaan sakit hati. Ia berbeza, namun perasaan sakit hati adalah salah satu tanda hati yang sakit.

Hati yang sakit kerana virus atau kuman boleh didiagnosis oleh mata kasar doktor. Tetapi mata kasar walaupun dibantu dengan peralatan super maju tidak dapat mendiagnosis hati yang dikatakan sakit secara maknawi. Hanya orang-orang terpilih oleh Allah SWT mampu melakukannya.

Ciri-Ciri Hati Yang Sakit

Namun Allah SWT Maha Penyayang. Dia memberikan kita tanda mudah daripada kehidupan seharian yang boleh kita jadikan kayu pengukur untuk mengetahui ciri-ciri hati yang sakit. Antaranya;-

1# Bila hati rasa seronok melakukan kejahatan dan menderita bila melakukan kebaikan.

2# Bila hati rasa berat untuk membaca al Quran. Bila sudah baca rasa ingin memendekkan bacaan kerana hati rasa tidak suka membaca lama dan panjang-panjang.

3# Begitu juga hati rasa berat untuk solat. Suka melewatkan solat tanpa alasan. Bila solat, bersolat dengan tergesa-tergesa. Suka solat sendiri walau ada Jemaah  kerana solat sendiri lebih cepat. Berjemaah dianggap menghabiskan masa.

4# Selalu menghindari majlis-majlis ilmu. Sudahlah malas menghadiri majlis ilmu, untuk membaca bahan-bahan ilmiah juga tidak suka.

5# Dalam pergaulan dengan manusia lain, selalu timbul rasa suka membanggakan diri. Suka membandingkan diri dengan orang lain, baik melalui tingkah laku, cara bercakap, lenggok berjalan atau gaya berpakaian.

6# Suka mencari-cari kesalahan orang lain. Suka meletakkan kesalahan di bahu orang lain tapi tidak pernah mengakui kesalahan diri sendiri. Suka mengetepikan kebaikan yang orang lain buat, hanya suka menonjolkan keburukan yang ada.

7# Tidak suka dengan nikmat yang didapati oleh orang lain, malah suka bila orang itu mendapat susah. Mulut kata simpati pada orang yang dalam kesusahan, tapi hati berkata padan muka!

Merawat Hati Yang Sakit

Hati yang mati tidak ada pada semua orang. Akan tetapi hati yang sakit boleh hinggap pada semua manusia. Bila ia tidak dirawat, akan menjadi kronik. Bila hati sakit menjadi kronik, potensi hati menjadi mati itu ada. Hati yang mati sukar untuk disembuh.

Untuk menjaga hati agar tidak dihinggapi penyakit atau untuk merawat hati yang sudah sakit, perlulah rajin pergi ke klinik dan hospital. Bukan hospital atau klinik 1Malaysia ya! Yang dimaksudkan ialah surau dan masjid dan tempat-tempat atau majlis yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Berdampinglah selalu dengan doktor hati iaitu orang-orang alim dan arif yang ikhlas bagi mendapatkan nasihat dan bimbingan.

Bila hati dapat dikikis daripada penyakit, kita akan dapat mengecap kedamaian dan ketenangan dalam kehidupan seharian.

Seketul hati yang ada dalam diri kita bukan milik kita, sesungguhnya ia milik Allah SWT. Mintalah pada Allah SWT agar Dia mengurniakan taufik dan hidayah ke dalam hati dan membersihkan hati daripada segala jenis penyakit hati. Minta dijauhkan Allah SWT daripada memiliki hati yang mati. Wallaua’lam.

Share

21 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge