Mee Hangit Yang Digemari Ramai

Gerai ini kecil dan sederhana sahaja. Letaknya di tepi bangunan Umno Lenggong, Perak.

Menu jualannya tidak banyak. Hanya ada mee rebus, mee goreng, mee hoon goreng,  kuey tew goreng dan pasembur sahaja.

Rasa masakannya macam mana? Tukang masaknya asyik ‘kelam kabut’. Dia memasak sambil ambil pesanan. Dia juga yang mengira. Pembantunya ada, cuma mungkin dia menganggap kerja pembantunya lambat maka dia membuat kerja selain memasak.

Kerana membuat kerja selain memasak, masakannya selalu ‘ditinggalkan’ atas dapur. Akibatnya….hangit!

Kalau kamu makan di sini, sumpah! Kamu tidak akan datang lagi.

Akan tetapi, pelanggan tidak putus-putus singgah menjamu selera di gerai ini. Setiap kali penduduk kampung sekitar datang ke pekan Lenggong, banyak yang akan singgah di sini. Anak-anak perantau yang balik ke kampung akan singgah di sini bila berbelanja di pekan Lenggong.

Apa yang menarik tentang gerai goreng-gorengan yang asyik hangit tapi digemari ini?

Saya selalu singgah di gerai ini bila ke Lenggong bersama bapa saudara. Pak Teh, bapa saudara saya itu peminat mee hangit di gerai ini. Saya hanya makan. Mengutuk tidak, memuji pun tidak.

Mak Teh, isteri Pak Teh saya bersungut. Entah di mana sedapnya kerana setiap kali ke Lenggong, di sinilah dia dan anak-anak dibawa makan oleh Pak Teh.

Pak Teh hanya bercerita, masa kecil dahulu dia selalu dibawa makan di sini oleh ayahnya. Mungkin ibu saya juga selalu dibawa makan di sini.

Dan itulah kesimpulan yang saya dapat!

Pak Teh suka makan di sini. Juga mereka yang lain suka makan di sini kerana nostalgia lama. Mereka bukan  makan mee hangit, mereka makan kenangan!

Share

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge