Mengajar Anak Erti Sedekah

Ada satu cerita tentang anak kecil yang  mahu memiliki barang permainan yang berharga RM140.

Lantas dia mengajukan permintaan mahu memiliki permainan itu pada ibunya. Bagi seorang ibu tunggal yang terpaksa mencari  nafkah sendiri dan hidup dalam serba kekurangan, mengeluarkan RM140 semata-mata untuk membeli barang permainan bukanlah boleh ditunaikan serta merta walaupun anak itu amat disayanginya.

Untuk tidak menghampakan, si ibu menyuruh anak kecil itu menabung separuh dari belanja sekolahnya.

Belanja sekolah anak kecil itu tidak seberapa dan dia hanya mampu menabung RM1 seminggu. Ini bermakna dia perlu menunggu sehingga 140 minggu untuk memiliki barang permainan idamannya. Meskipun akan lama menunggu, anak kecil itu tetap menabung.

( KLIK gambar  untuk memiliki buku ini )

Pada minggu ke 20, simpanan anak kecil ini ialah RM20. Ada 120 minggu lagi sebelum cukup RM140.

Namun tanpa disangka-sangka, si ibu menyuruh si anak kecil membeli barang-barang dapur di kedai berhampiran menggunakan RM20 duit simpanannya.

Anak kecil itu menyuarakan rasa kelirunya pada si ibu kerana si ibu yang menyuruh menabung untuk membeli barang permainan dan sekarang si ibu mahu menggunakan duit itu untuk membeli barang dapur pula!

Si ibu hanya berkata, “nanti kamu akan faham apa yang ibu buat.” Anak kecil itu adalah anak yang taat. Tanpa membantah, dia menurut perintah ibunya.

Dia pergi membeli barang dapur yang diminta ibunya menggunakan RM20 hasil tabungannya. Kemudian si ibu memasak barang-barang dapur yang dibeli itu. Selepas itu si ibu menyuruh si anak kecil membawa masakan itu ke surau untuk dijamu pada mereka yang datang berjemaah di surau.

Ahli jemaah surau tersentuh hati pada si anak kecil yang bersusah-susah membawa hidangan ke surau. Lantas dengan ikhlas setiap seorang dari mereka memberikan sedikit sumbangan dan anak kecil itu terkejut bila dikira-kira, duit sumbangan itu berjumlah RM70.

RM70 itu disimpan dalam tabung, sambil itu si ibu mahu anak kecil terus menabung separuh dari belanja sekolahnya seperti biasa.

Pada minggu ke 20 ketika duit tabungan menjadi RM20, si ibu membuat perkara yang sama. RM20 itu digunakan untuk membeli barang-barang dapur, kemudiannya dimasak dan sekali lagi anak kecil itu membawanya ke surau. Ahli jemaah surau menghulur sumbangan padanya dan jumlahnya sama seperti dahulu iaitu RM70.

Bila dicampur RM70 dahulu dan RM70 sekarang, jumlahnya ialah RM140. Anak kecil itu tidak perlu menunggu 140 untuk mendapatkan RM140. Dalam 40 minggu sahaja dia sudah memiliki RM140 hasil ketegasan ibunya menggunakan RM40 duit tabungannya untuk didermakan.

Si ibu hanya bertindak tanpa berkata apa-apa, namun si anak kecil yang cerdik itu sudah mula mengerti bahawa ibunya sedang mengajarnya erti sedekah. Sedekah bukan mengurangkan, malah ia menambahkan.

Cerita ini bersambung….

Share

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge