Mesej Kematian

Sungguh! Kita tidak tahu bila kita akan mati. Dan sesungguhnya juga kita tidak tahu di mana kita akan mati dan bagaimana kita akan mati. Semua manusia akan mati kerana kematian itu sesuatu yang pasti.

Manusia yang tidak takut mati, akan mati. Yang berani menghadapi kematian juga akan mati. Antara manusia yang takut dan berani menghadapi kematian, yang takut itu paling ramai.

Manusia yang selalu ingat mati, akan mati. Manusia yang tidak ingatkan mati pun juga akan mati. Antara manusia yang ingat dan lupa akan kematian, yang lupa itu paling ramai.

Takut mati itu lumrah. Itulah sifat manusia. Lupa mati juga lumrah. Itulah juga sifat manusia. Tidak berdosa bila takut dan lupa akan mati. Berdosanya bila manusia itu berbuat sesuatu yang melanggar hukum tuhan saat takut dan lupa mati itu mencengkam dalam hati.

Kita sering diingatkan supaya tidak takut mati. Kerana kematian hanya pengakhiran hidup yang sementara tetapi permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi.

Dan Allah kerap kali memberi mesej kepada kita supaya tidak lupa akan kematian. Bagaimana caranya Allah memberi mesej mengingatkan kita supaya tidak lupa akan kematian? Dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling kita.

Bagaimana seorang ibu tanpa disangka-sangka mati dibunuh oleh anak yang dilahirkannya. Bagaimana seorang pemandu yang memandu dengan amat berhati-hati tapi  tanpa disangka-sangka mati terbakar dalam kereta kerana kecuaian pemandu lain. Ingatkan ingin berbincang tapi tanpa disangka-sangka mati dikelar tanpa perikemanusiaan. Kedua-duanya pakar berburu tapi tanpa disangka-sangka seorang mati tertembak kerana disangka binatang buruan.

Kereta terbakar

Peristiwa-peristiwa ini yang tidak terfikir oleh kita akan berlaku sebenarnya secara tidak langsung memberi mesej kepada kita betapa ajal maut itu boleh terjadi bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa memberi ruang kepada kita untuk bersedia.

Bila kematian itu datang. Ia datang tepat pada masanya. Tidak cepat sesaat dan tidak juga lebih sesaat. Usahalah macam mana cara sekalipun untuk melewatkan kematian. Kematian tidak akan mengingkari apa yang Allah telah firmankan dalam surah al-‘Araaf, ayat 34 yang membawa maksud;

“Dan bagi setiap umat ada ajalnya. Apabila datang ajal mereka itu, tidak dapat mereka meminta mengundurkannya dan tidak juga tidak dapat meminta mendahulukannya walau sesaat jua.”

Dan surah an-Nahl, ayat 61 yang membawa maksud;

“….. Apabila datang ajal mereka, maka tidaklah mereka terlambat walau sesaat dan tidak pula cepat walau sesaat.”

Bila kematian itu datang. Ia datang tanpa dapat disekat. Usahalah macam mana sekalipun untuk menghalang hadirnya kematian. Kematian akan melaksanakan perintah tuhan seperti yang Allah firmankan dalam surah an-Nisaa’, ayat 78 yang membawa maksud;

“Di mana juga kamu berada, nescara kematian akan mendapatkan kamu, meskipun kamu berada di dalam banteng yang tinggi kukuh……….”

Bila Allah telah tentukan ajal, bercerailah roh daripada jasad kita. Namun sebagai manusia dan hamba Allah yang diperintah untuk berikhtiar. Kita tidak disuruh duduk diam menunggu mati.

Kita wajib menjaga kesihatan, supaya dengan kesihatan itu umur kita bertambah panjang. Kita wajib berubat bila sakit walau logiknya sakit itu boleh membawa maut.

Selagi kita bernafas kita wajib berusaha untuk terus bernafas. Sebab itu kita diminta berdoa agar dipanjangkan usia dan dikurniakan akhir nyawa yang baik. Haram berdoa minta kematian cepat datang.

Seorang guru memberi petua, amalkan doa ini sebanyak tiga kali selepas solat subuh atau sebelum keluar rumah pada awal pagi;

“Bismillahillazi La Yadhurru Ma’asmihi Syai’un Fil Ardhi Wa Laa Fissamai’ Wa Huwassami’un Alim”

Kita minta dengan nama Allah, segala sesuatu yang ada di bumi dan di langit tidak akan memberi mudarat kepada kita.

Salah satu kelebihan Bersedekah adalah terhindarnya pemberi sedekah daripada musibah kecelakaan. KLIK TULISAN ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut Rahsia Bila Selalu Bersedekah!

Lebih baik sekiranya diamalkan setiap kali selepas solat dan setiap kali kita mahu memulakan apa-apa tugas atau kerja. Ditambah dengan ayat Kursi dan surah ‘3 Qul’ (an-Nas, al-Falaq dan al-Ikhlas).

Mudah-mudahan dengan izin Allah, kita bukan sahaja terbias daripada kecelakaan yang ditakdirkan kepada kita pada hari itu. Juga terbias daripada khianat orang terhadap kita.

Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Share

8 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge