Nostalgia PRU13 Di Kampung Luat Dan Pertembungan Baru PRU14

Kampung kelahiran arwah ayah dan ibu, Kampung Luat terletak dalam Parlimen P055 Lenggong. Dalam kawasan DUN N04 Kota Tampan.

Dalam PRU ke13 lalu, hanya 2 parti bertanding untuk kawasan Parlimen Lenggong. Satu lawan satu. Antara PAS dan Umno BN. Umno BN diwakili penyandang jawatan PRU12, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, sementara PAS diwakili Tuan Hj Razman Hj. Zakaria , Bekas Pegawai Kastam dan kini Pesuruhjaya PAS Perak.

Saya mengundi di Parlimen Titiwangsa (kerana mudah mengundi dekat dengan tempat kediaman) tapi kenapa pula ‘sibuk’ dengan parlimen kampung yang jauh?

Walau saya bukan ahli mana-mana parti politik tapi rasanya tidak salah orang biasa mencuit sedikit hal politik kerana politik adalah isu semasa. Lagi pula hanya 4 atau 5 tahun sekali sahaja mahu berceloteh tentang politik.

Kerana ‘warga biasa’, saya mengambil pendirian untuk tidak bias ke mana-mana.

Kampung Luat dalam Parlimen Lenggong bukan hanya kampung kelahiran arwah ayah dan ibu, saya juga lahir di sana. Jadi walau tidak minat politik, sedikit sebanyak mahu juga ambil tahu hal-hal kampung kelahiran.

Lagi pula saya kenal calon ahli parlimen PRU13 lalu, Dato’ Shamsul Anuar Nasarah dan Tuan Hj Razman Zakaria.

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah adalah anak saudara ayah saya. Ayahnya Nasarah bin Hj. Musa adalah abang ayah saya Bahrom Azhar Hj. Musa.

Tuan Hj. Razman pula dipanggil Pak Teh Man oleh orang kampung. Saya memanggilnya Tok Teh kerana opah saya beritahu, Hj. Zakaria ayah kepada Tuan Hj. Razman pangkat bapa saudara kepada opah. Jadi opah dan Tuan Hj. Razman pangkat sepupu.

Dato’ Shamsul Anuar dan Tuan Hj. Razman daripada kampung yang sama, Kampung Luat.

PRU14 kampung luat

Penduduk Kampung Luat kebanyakkan bersaudara. Ini bukan ikatan saudara sesama muslim tapi sememangnya ikatan saudara sedarah. ‘Pembuka’ kampung dahulunya mengahwin anak sesama mereka. Kemudian anak-anak ini tidak pindah keluar kampung. Mereka menetap di kampung juga. Kemudiannya ada antara mereka mengahwinkan anak sesama mereka pula. Sepupu berkahwin sepupu. Hanya anak-anak generasi baru sahaja keluar kampung, berkahwin dan duduk jauh-jauh.

Pada PRU ke14 ini, 3 parti bertanding untuk perlawanan 3 penjuru. Umno BN tetap mengekalkan Dato’ Dr. Shamsul Annuar Nasarah. Tuan Hj Razman Zakaria bertukar dan bertanding kerusi DUN Gunong Semanggol dan untuk Parlimen Lenggong digantikan dengan Muhammad Mujahid B. Mohammad fadzil.  Sementara PH menurunkan Amirul Fairuzzeen Jamaluddin

Mulut-mulut menuduh Tok Teh Hj. Razman penakut, lari meninggalkan Lenggong. Tok Teh mengambil pendirian,  bukan satu tindakan bijak bertanding sekali lagi di kawasan yang sudah 2 kali tewas.

Pun begitu Tok Teh tidak meninggalkan Lenggong begitu sahaja, ditinggalkan legasinya di Parlimen Lenggong melalui anaknya Muhamad Rif’aat Razman yang bertanding di DUN Kota Tampan.

9hb nanti ‘adik beradik’ di Kampung Luat akan memilih siapa wakil mereka di Parlimen dan Negeri dalam PRU14.

Selain calon yang akan berkempen untuk menang, para pengundi di Kampung Luat akan turut ‘berkempen’ untuk memenangkan calon pilihan masing-masing.

Sekuat dan serancak mana pun berkempen jangan sampai pecah silaturrahim. Yang hendak dijaga di Kampung Luat bukan sekadar silaturrahim sesama jiran tetapi silaturrahim sesama adik beradik.

Arwah guru saya meninggalkan pesan… selama-lamanya Fardhu Kifayah tidak boleh mengatasi Fardhu Ain.

Jangan bersungguh hati melaksanakan (berkempen) pilihanraya yang hukumnya Fardhu Kifayah, sampai kita tinggalkan yang lebih aula (utama) Fardhu Ain iaitu berkasih sayang dan bersilaturrahim antara kita sesama umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Saya mahu mendoakan yang baik-baik untuk kampung kelahiran saya, Kampung Luat Lenggong Perak.

Share

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge