Opah Sudah Mula Lupa

 

Rakan facebook saya, Noor Izyan Liyana memuat naik satu post dalam wall facebooknya,

“Kita ni pulun la dok layan dia. Skali tgk dia sebut nama org lain. Hai…la opah..”

Saya  tidak tahu apa perasaan Noor Izyan ketika menulis post di atas. Hati saya pula bergetar dengan status yang dia tulis itu.

Opah yang Noor Izyan maksudkan adalah ibu kepada ayahnya, yang juga ibu kepada arwah bonda saya. Bagaimana hati saya tidak bergetar. Bagaimana hati saya tidak terusik. Kami berkongsi opah yang sama!

Status pendek Noor Izyan membayangkan, kelupaan sudah mula hinggap pada diri opah.

Noor Izyan ada beritahu, sesekali opah akan bertanya, ini hari apa? Emak Noor Izyan pula ada beritahu yang opah kena diingatkan tentang waktu solat. Solat zohor, solat asar supaya opah tidak silap berniat waktu solat.

Kelupaan opah membawa maksud ‘kasar’ yang menyakitkan, opah sudah nyanyuk!

Hakikat kehidupan tidak ada siapa boleh nafikan. Masa hidup semakin sedikit. Setiap orang ada jumlah masa tertentu yang diperuntukkan Allah untuk usianya.

Dan di hujung usia macam-macam boleh jadi. Tenaga makin kurang atau hilang langsung. Ingatan makin pudar atau lupa sepenuhnya.

Anak opah ada 5. Bonda anak sulung, satu-satunya anak perempuan opah. Kahwin muda dengan ayah sehabis sekolah. Sekampung juga dan ada hubungan saudara. Duduk di kampung sekejap sahaja. Maksudnya selepas kahwin, sekejap sahaja bonda dapat berbakti kepada opah.

Mengikut ayah masuk tanah rancangan Felda. Sejauh itu antara Kampung Luat, Lenggong Perak dan Kota Gelanggi 2, Jerantut Pahang, bagaimana lah bonda dapat pulang selalu untuk berbakti pada opah, menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Opah ‘tawan’  saya sekejap dalam jagaannya bila bonda berpindah jauh dari matanya, sebagai pengganti rindu pada anak perempuan satu-satunya itu. Kemudiannya opah ‘tawan’ adik perempuan saya pula. Opah bela.

Kerana opah membela dan menjaga saya ketika kecil ini lah yang buatkan saya lebih kerap pulang bercuti ke rumah opah berbanding rumah orang tua sendiri. Sewaktu raya pada zaman bekerja ini, di rumah opah lah saya beraya. Lebih kerap bila opah sudah bersendiri selepas kematian tok.

Kalau opah ‘menawan’ saya sebagai pengganti rindu pada anak perempuannya. Saya pula pengganti ibu menziarah opah. Memang kenangan hidup saya lebih banyak bersama opah berbanding bonda sendiri.

Sungguh bonda dengan lokasi jauhnya, kekangan kewangan dan deretan anak-anak (adik beradik saya 12 kesemuanya) memang susah mahu selalu balik menziarah.

Bertahun-tahun balik ziarah dan beraya dengan opah sampai saatnya opah sudah tidak mampu hidup sendirian lagi di rumah peninggalan tok.

Rumah Pusaka Tok dan Opah Kampung Luat

Tenaga opah sudah berkurang. Sudah tidak mengetahui siapa yang datang walau anak cucu kalau tidak dengar suara kerana penglihatan sudah terbatas.

Dan sekarang opah sudah tidak kenal suara siapa!

Ya, Allah…..

Saya tidak dapat gambarkan perasaan, nanti bila berada di hadapan opah dan opah bertanya,

“Siapa ni?”

Rumah peninggalan tok sudah tidak berpenghuni. Sekarang opah bergilir duduk di rumah anak-anak lelakinya.

Opah sudah tidak ada peluang menetap bersama bonda saya. Kehidupan bonda atas dunia ini tamat dulu daripada opah. Ini pun takdir hidup yang mesti dihadapi.

Keadaan opah sekarang sudah menjadi ujian Allah untuk keempat-empat bapa saudara saya. Ujian juga untuk ibu-ibu saudara dan sepupu saya.

Memang begitulah sunnatullah kehidupan. Awalnya, anak-anak menjadi ujian kepada ibubapa untuk mendidik dan membesarkan. Akhirnya, ibu bapa pula menjadi ujian kepada anak-anak untuk berbakti, menjaga dan melayan.

Bagi anak-anak ini peluang meraih ganjaran besar dan redha daripada Allah, mengurus ibu atau ayah yang sudah tidak mampu mengurus diri mereka sendiri.

Dan berhati-hati lah kerana ini juga sebab kemurkaan Allah bila ibu bapa tersentuh hati dengan karenah anak yang tiada keikhlasan dalam hati. Merasa terpaksa dalam berbakti.

Kalau opah mampu bersendiri di rumah pusaka tok, boleh juga saya balik beraya dan tinggal lama bila bercuti. Melayan kehendak opah apa yang patut. Tolong-tolong sapu halaman tanah, kemaskan rumah dan mengganti opah melayan tetamu.

Sekarang sudah susah sedikit.

Rumah-rumah bapa saudara pun sudah ramai penghuni. Anak-anak perempuan yang sudah besar panjang dan sebahagiannya sudah menjadi isteri orang. Dan cucu yang makin bertambah dan semakin besar.

Sudah tidak sesuai untuk saya menyelit masuk mengambil ruang dan duduk lama-lama di rumah bapa saudara untuk melayan opah. Hanya yang boleh menjenguk bertanya khabar sahaja.

Sebelum ini sewaktu menghadiri kenduri kahwin Nur Iliyana Nadira, adinda kepada Noor Izyan, opah masih kenal suara walau sudah tidak nampak.

Membaca status sepupu saya Noor Izyan membuatkan saya takut.

Ya, Allah…

Takut yang nanti saya terpaksa bertanya opah,

“Opah kenal saya lagi tak?”

.

.

>>Hadiah EPISOR Kepada Ibu Bapa Yang Masih Ada Untuk Membantu Kecergasan Fizikal Mereka Terutama Sendi Lutut & Tulang Belakang<<

episor penawar sakit sendi lutut dan tulang belakang

Share

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge