AHMADYANI DOTCOM Rotating Header Image

Yang Baik Mati Cepat, Yang Jahat Mati Lambat

Benarkah kenyataan seperti tajuk di atas?

Bila mendengar adanya kematian. Bila menziarahi pengkebumian dan kita tahu mereka yang meninggal itu insan yang kita anggap orang baik-baik. Baik akhlak dan baik tugasnya…seperti pendakwah contohnya. Apa perasaan kita?

Selalu tertanya-tanya dalam hati, kenapalah orang yang baik-baik meninggal cepat, orang yang jahat lambat pula matinya.

Bila pertanyaan ini timbul dalam hati, cepat beristighfar pada ALLAH. Takut pertanyaan hati ini di’cop’ sebagai mempertikaikan takdir ALLAH pula. Kerana hak ALLAH untuk menghidupkan dan mematikan insan.

Namun hakikat yang pertanyaan ini akan timbul dalam hati banyak orang tidak dapat dihalang.

Sesungguhnya tidak ada sesiapa tahu kenapa yang baik mati cepat…yang jahat mati lambat (sekiranya fakta ini benar) kerana semua itu dalam pengetahuan ALLAH. Dan ia mungkin tidak benar, ia hanya perasaan kita sahaja.

Ada pepatah Cina yang boleh diguna untuk menggambarkan bahawa kenyataan seperti tajuk di atas adalah tidak benar. Manusia menghadapi kematian yang sama. Ada orang baik meninggal cepat, ada orang jahat mati cepat. Banyak orang baik meninggal lambat dan banyak juga orang jahat mati lambat.

Pepatah Cina ini berbunyi…Untuk Mengenal Kebaikan Seribu Tahun Belum Cukup Tetapi Untuk Mengenal Kejahatan Satu Hari Sudah Terlalu Lama.

Fitrah semulajadi manusia suka pada kebaikan. Kalau hidup satu ribu tahun pun, manusia belum puas menikmati kebaikan. Sebab itu orang baik dirasakan meninggal cepat kerana orang hidup belum puas menikmati kebaikan yang dibuatnya. Bila menikmati kebaikan, semua orang mahukannya lagi…dan lagi…dan lagi…

Fitrah semulajadi manusia juga tidak suka pada kejahatan. Manusia jemu dan benci pada kejahatan. Merasakan kejahatan untuk satu hari sudah dirasakan terlalu lama. Sebab itu orang jahat dirasakan lambat mati. Bukan kerana umur mereka panjang tapi kejahatan mereka itu dirasakan ‘panjang’ oleh orang yang masih hidup. Satu hari kejahatan pun sudah cukup meresahkan.

Kematian akan menjemput sesiapa sahaja. Orang baik mati, orang jahat juga akan mati. Pilihan kita adalah untuk mati sebagai orang baik atau mati sebagai orang jahat.

Bagaimana akhir hidup kita adalah ketentuan ALLAH bukan ketentuan kita. Namun Imam Ghazali ada berkata;

“Cara mati kita ditentukan oleh cara hidup kita.”

Kita diberi pilihan untuk hidup sebagai mana cara yang kita mahu. Begitu juga kita diberi pilihan bagaimana cara akhir hidup kita nanti

Share

Ahmadyani DotCom Sudah Mencapai usia 1 Tahun

Alhamdulillah, aku amat bersyukur pada Allah kerana ahmadyani dotcom sudah berusia 1 tahun.

Mula-mula dahulu bila aku mahu tukar daripada blogspot kepada blog berbayar, ada 2 perkara yang asyik bermain dalam kotak fikiran.

1# Bolehkah aku buat bayaran domain dan hosting bila sampai waktunya?

Perkara ini menjadi persoalan kerana aku tahu ada beberapa pengendali blog (sebahagiannya adalah nama besar) yang meminta sedikit sumbangan dari pembaca untuk membayar hosting. Hai, kenapa sampai macam tu sekali! Orang yang ‘hebat’ pun ada masalah bayar hosting. Aku pula macamana nanti?

Ada blog dengan domain nama orang terkenal yang bertulis begini…’this domain maybe for sale’. Adakah dia terlupa mahu perbaharui? Adakah dia tidak minat lagi untuk berblog? Atau poketnya tengah kempis? Bolehkah aku perbaharui domain dan hosting ahmadyani.com pada setiap tahun sedangkan poket aku selalu kempis?

2# Apa aku nak tulis?

Kalau mahu tulis perkara yang cincai-cincai atau yang remeh temeh, guna yang percuma sudah cukup, buat ‘perabih’ duit sahaja guna blog berbayar.

Sesetengah orang mempunyai cara tersendiri bila mahu berbuat sesuatu. Kalau mahu buat…buat sahaja. Jangan fikirkan masalah. Jangan fikirkan tahu atau tidak tahu.

Sesetengah orang yang lain mahu menghitung untung dan rugi dahulu sebelum buat sesuatu. Dan ramai dalam perhitungan akhirnya, rugi yang banyak maka perancangan hanya tinggal atas kertas sahaja.

Blog ini dibina kerana terkesan dengan satu komik yang aku baca. # Selain baca buku aku juga suka baca komik # Guo Chung kawan rapat Yi Tzeling, 2 watak utama dalam komik Pahlawan Naga Kembar berkata,

” Buat sahaja tanpa fikirkan apa-apa. Jangan fikirkan masalah, masalah hanya perlu dirisaukan bila masalah itu muncul. Kalau masalah belum muncul, buat apa susah-susah fikirkannya.”

Saya mahu tambah, jangan fikir tahu atau tidak tahu. Pengetahuan akan lebih mudah dikuasai bila kita sudah berbuat. Sebanyak mana juga pengetahuan teori yang kita tahu, ia tidak begitu mengujakan berbanding pengetahuan yang didapati hasil praktikal.

Keterujaan inilah yang mengembirakan aku bila pengetahuan semakin bertambah bila sudah memiliki ahmadyani.com. Pengetahuan aku tentang blog tidaklah sebanyak mana. Tapi ilmu tentang blog yang makin bertambah dari hari ke hari amat menyeronokkan.

Aku berdoa pada Allah, semoga blog ini terus kekal dan terus berkembang. Dan terus memberi manfaat pada mereka yang membaca nota-nota di sini.

Share

Mahu Jual Apa Di eBay?…Jual Roti Bakar!!!

Dia mahu makan tengahari, makan roti yang dibakar dengan keju. Bila roti itu siap dibakar, bahagian tengah rotinya yang tidak dibakar sempurna telah membentuk satu corak.

Bila dia perhatikan dengan teliti, corak itu mengingatkan dia pada satu gambar dalam simpanannya. Gambar Timothy Richard Tebow, seorang quarterback NFL American Fottball bagi kumpulan Denver Broncos

Dia tidak jadi makan. Apa yang dia buat dengan roti bakar kejunya itu? Dia buat listing dan jual di eBay!!!

eBay seller ‘carlspackler76′ dari Roanoke, Virginia USA meletakkan roti bakar kejunya dengan harga mula bidaan 99 cents pada 13-01-2012. Dia mendapat 46 bidaan. Bidaan terakhir pada 20-01-2012 tamat pada harga USD85!

Sudah pasti peminat tegar Tim Tebow yang menjadi pembida terakhir. Roti bakar keju itu disejuk bekukan dan dikirim pada pembida.

Ini cerita gila! Namun memang tidak mustahil. Bermacam benda telah dijual di eBay termasuk roti bakar keju yang difikir mustahil untuk dijual. Sebenarnya ‘carlspackler76′ menjual kreativiti dan ada orang membelinya.

Kisah ini menambah ghairah saya untuk menjadikan eBay antara satu cara menambah rezeki. Masih belajar dan mendalaminya. Lubuk Rahsia Dropship daripada Tuan Mohd Najib Assadok, seorang usahawan eBay sepenuh masa adalah antara sumber ilmu mempelajari eBay

KLIK DI SINI UNTUK BELAJAR  TENTANG EBAY CARA VIDEO. Ini produk berbayar bukan percuma. Berbaloi mendapatkannya kerana anda boleh mula menjual eBay tanpa modal produk.

Share

Ke Mana Harta Yang Banyak Dibelanjakan?

Saya ada mencatat pada nota sebelum ini berkenaan 4 sebab mesti kaya. Dari mana datangnya 4 sebab ini?

4 sebab mesti kaya ini adalah kesimpulan yang diambil daripada kata dan apa yang dilakukan oleh Abdullah bin al Mubarak al Khurasani (meninggal 181H). Dunia Islam lebih mengenalinya dengan nama Ibnu al Mubarak, seorang ahli fekah dan ahli hadis. Beliau dianggap wali Allah yang amat tekun beribadat. Beliau juga terkenal sebagai pahlawan perang yang digeruni musuh Allah.

Namun tidak banyak orang tahu bahawa Ibnu al Mubarak adalah seorang usahawan jutawan. Perniagaan perdagangan barang dari Khurasan ke Makkah dan dari Makkah ke Khurasan mendatangkan keuntungan yang amat besar. Beliau berniaga seperti akan hidup seribu tahun lagi. Beliau boleh dianggap sebagai Abdul Rahman bin Auf ke2.

Fudail bin Iyad ada bertanya pada Ibnu al Mubarak tentang sifatnya yang selalu menasihati dan menyuruh orang supaya berzuhud, jangan mengejar dunia dan melebihkan urusan akhirat. Akan tetapi Ibnu al Mubarak sendiri berniaga seperti tidak ingatkan akhirat.

Ibnu al Mubarak menjawab, “Aku melakukannya untuk menjaga air mukaku, memelihara maruahku dan membantuku dalam mentaati Tuhanku.” Lantas Fudail bin Iyad membenarkan kata-kata Ibnu al Mubarak ini.

Dari kata-kata Ibnu al Mubarak inilah dinukilkan 3 sebab kenapa seseorang itu mesti berharta dan sebab ke 4 diambil dari perbuatan Ibnu al Mubarak dalam membelanjakan hartanya.

Ibnu Mubarak tidak membelanjakan harta untuk kepuasan nafsu sendiri. Beliau memilih untuk membelanjakan hartanya dalam perlaburan akhirat. Secara tepatnya beliau melabur dalam perkembangan ilmu dan dakwah.

Pada zaman Ibnu al Mubarak hidup terdapat tokoh terkenal yang terlibat dalam pengembangan ilmu dan dakwah. Antara mereka ialah 5 tokoh ilmuan terkenal yang sangat berpengaruh,

1. Sufyan as Shawri.
2. Sufyan bin Uyainah.
3. Fudail bin Iyad.
4. Ibnu Sammak
5. Ibnu Ulayyah.

Namun tokoh-tokoh ini tidak dapat memberi perhatian 100% kepada tugas menyebar ilmu dan dakwah kerana mereka juga perlu mencari nafkah untuk menyara anak isteri. Sufyan as Shawri contohnya, di samping berdakwah dan menyampaikan ilmu beliau juga menangkap ikan (nelayan) untuk menyara keluarga.

Ibnu al Mubarak melihat keadaan ini sebagai satu kerugian bila semua tokoh ini terpaksa membahagikan masa antara dakwah dan penyampaian ilmu dengan bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Alangkah baiknya kalau semua masa digunakan untuk berdakwah dan mengajar ilmu, tentu ilmu akan berkembang dan orang yang memeluk Islam akan bertambah kerana dakwah.

Bagaimanapun sebagai manusia biasa, mereka perlukan wang untuk perbelanjaan harian. Maka Ibnu al Mubarak mengambil keputusan untuk menanggung perbelanjaan bulanan 5 tokoh ini dan keluarga mereka dan tentunya termasuk tokoh-tokoh lain. Termasuk jugalah pembangunan sekolah, alatan mengajar dan sebagainya.

Mereka kini boleh menumpukan 100% perhatian pada tugas dakwah dan menyebarkan ilmu tanpa perlu lagi bekerja mencari nafkah untuk perbelanjaan keluarga.

Hasil penggunaan harta oleh Ibnu al Mubarak ini membawa kesan hebat. Dunia Islam ketika itu menyaksikan kebangkitan Ilmu di setiap kota dan berbondongnya orang masuk ke dalam Islam.

Ibnu al Mubarak inilah di antara individu berharta yang dipuji oleh Baginda Nabi SAW. Nabi Muhammad SAW ada bersabda kepada Amru bin al Ash dengan mafhumnya, “Wahai Amru, betapa bagusnya harta yang baik di tangan lelaki yang soleh.” -riwayat al Bukhari.

Ibnu al Mubarak membelanjakan hartanya untuk pelaburan akhirat. Bila kita ada harta yang banyak, ke mana harta itu kita belanjakan?

Nota# Nama-nama tokoh yang dicatat dalam nota ini adalah betul dari segi sebutannya tapi berbeza cara tulisnya dalam bahasa Melayu di antara setiap penulis (Fudail/Fudhail/Fuzhail?). Saya tidak tahu cara tulis yang tepat.

Share

4 Sebab Mesti Kaya

Siapa yang mahu miskin, tidak mahu kaya? Siapa yang mahu kaya, tidak mahu miskin? Mereka yang mahu hidup sederhana mungkin ramai tapi tidak ada siapa yang mahu miskin.

Apa yang hendak di kata kepada mereka yang mahu hidup miskin dan tidak mahu kaya. Anda pernah jumpa orang yang mengambil keputusan mahu hidup dalam kemiskinan? Saya mahu kaya.  Dan saya belum jumpa lagi orang yang mahu hidup dalam kemiskinan. Ada 4 sebab kenapa kita sebagai orang Islam mesti kaya, menjadi orang yang berharta.

  1. Memenuhi keperluan hidup.
  2. Menjaga dan mempertahankan maruah diri.
  3. Untuk beramal dengan lebih banyak.
  4. Membuat perubahan dalam kehidupan umat Islam.

Keperluan asas manusia seperti makan minum, berpakaian, berkenderaan, berumah dan sebagainya bukannya boleh dimiliki secara percuma. Semuanya perlukan wang. Bila seseorang itu tidak mempunyai wang atau tidak berharta pastilah dia tidak dapat memenuhi keperluan asasnya dengan sempurna.

Mana yang lebih baik, memberi atau menerima, menghulur tangan bersedekah atau menadah tangan meminta sedekah? Dengan adanya harta, kita dapat menjaga maruah diri kita daripada meminta-minta pada orang. Dengan adanya harta, kita boleh masuk dalam kategori….’tangan yang menghulur di atas itu lebih baik daripada tangan yang menadah di bawah’.

Dengan adanya harta, kita akan dapat beramal dengan lebih banyak. Selain solat dan puasa, orang yang berharta boleh bersedekah, berzakat, menunaikan haji, berwakaf dan segala macam amal yang tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak berharta.

Perubahan kehidupan umat Islam dengan tamadun yang dikagumi sebelum ini tentunya hasil sumbangan tokoh-tokoh kaya di kalangan umat Islam. Pemerintahan Islam pada zaman kegemilangannya tidak terjebak dengan hutang untuk membangunkan negara kerana tokoh-tokoh Islam yang kaya dalam negara banyak memberi sumbangan.

Inilah sebabnya kenapa umat Islam mesti kaya, mesti berusaha memiliki harta kekayaan.

Selepas ini kita bercerita pula dari mana asal timbulnya 4 sebab mesti kaya ini.

Share

Apa Bukti Kita Cintakan Rasulullah?

12 Rabi’ul Awal pada setiap tahun hijriah, kita menyambut Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Apa yang anda buat sebagai tanda anda cintakan nabi? Ada banyak cara yang boleh dibuat oleh seseorang yang mengaku cintakan nabi.

3 cara berikut ialah amalan saya sebagai tanda cintakan Nabi Muhammad SAW. Ia tidak sempurna, tapi lebih baik dari tidak memperdulikan langsung.

Cara 1 # Banyakkan Selawat

Saya amalkan selawat di bawah ini…


Banyak selawat lain saya cuba amalkan namun selawat ini juga yang ‘dekat’ pada hati saya. Saya rasa tenang dan gembira bila mengamalkan selawat ini. Sebab itu saya kekal dengan selawat ini.

Bacalah selawat di mana atau pada bila-bila masa sahaja. Bukan hanya di masjid atau di surau sahaja.

Sebelum ini saya ada mencatat, masa anda berjalan dari tempat parking kereta ke pejabat atau kedai makan atau ke mana sahaja adalah contoh masa yang boleh dibaca selawat.

Selawat di atas bila dibaca sederhana dapat dibaca 2x dalam 1 minit. Dalam sehari berapa yang boleh diamalkan?

Cara 2 # Baca Sirah

Beli atau pinjam buku berkenaan Nabi Muhammad SAW. Ada 2 kategori buku tentang nabi yang patut dibaca;

1. Sejarah Hidup dari hari lahir hingga hari kematian. Ada buku sejarah ringkas dan ada yang lengkap.

2. Huraian keperibadian nabi dalam kategori tertentu kehidupan. Contohnya nabi sebagai seorang suami, nabi sebagai seorang pemimpin masyarakat dan sebagainya.

Cara 3 # Amalkan Suruhan Dan Tinggalkan Tegahan Nabi

Kita boleh tahu suruhan dan tegahan nabi melalui sabda Baginda atau hadis. Jadi selain membaca sirah, kena juga membaca kitab hadis.

Suruhan dan tegahan nabi ini melibatkan 2 perkara;

1. Apa yang disuruh dan ditegah dalam soal ibadah pada Allah.

2. Perkara yang disuruh dan ditegah dalam kehidupan seharian dan perhubungan sesama manusia.

Antara contoh yang ditegah dalam ibadah ialah larangan berpuasa terus menerus selain bulan ramadhan. Jika mahu berpuasa juga, amalkan selang seli. Puasa sehari, tidak puasa satu hari. Dan banyak lagi suruhan dan tegahan dalam beribadah ini.

Perkara yang berkait dengan kehidupan seharian dan perhubungan sesama manusia yang paling banyak suruhan dan tegahannya. Kerana sememangnya manusia berada lebih banyak masa di luar masjid berbanding di dalamnya.

Jadi berusahalah untuk mengamalkan apa yang disuruh nabi dan meninggalkan apa yang ditegah nabi.

Adakah anda ada perkara-perkara tertentu yang dibuat sebagai tanda anda cintakan nabi?

Share

Herba Hitam Yang Banyak Khasiat

Orang Melayu jarang menggunakan herba hitam ini. Ia lebih digunakan oleh masyarakat India terutama dalam masakan kari. Herba hitam ini sama penting dengan rempah penyedap masakan lain seperti jintan putih, ketumbar, bunga cengkih, kulit kayu manis dan sebagainya.

Herba hitam ini tentulah berwarna hitam, Saiznya kira-kira sebesar biji sawi dan rasanya pedar ( pahit yang pedas). Harganya murah namun khasiatnya amat tinggi.

Herba hitam ini ialah Jintan Hitam. Nama popularnya ialah Habbatus Sauda. Ada yang mengejanya dalam bahasa Melayu sebagai Habbatus Sawda, Habbah al Sawdah. Terus terang saya tidak tahu ejaan yang betul-betul benar.

Banyaknya khasiat Jintan Hitam ini hingggakan Baginda Nabi Muhammad SAW mahu umatnya mengamal makan Jintan Hitam ini. Imam Muslim meriwayatkan hadis Nab dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud, “Tetaplah dengan Habbatus Sauda (Jintan Hitam) kerana sesungguhnya ia mengandungi ubat bagi banyak (segala) penyakit kecuali tua dan mati.”

Berikut adalah kaedah memakan Jintan Hitam untuk menjaga kesihatan;

1# Makan 7 biji Jintan Hitam sebelum tidur dan 7 biji selepas bangun tidur. Kebaikan: menjaga kesihatan menyeluruh, memberi tenaga pada tubuh, mengurangkan kolesterol, membanyakkan susu ibu.

2# Goreng 1 sudu kecil Jintan Hitam dan kisar menjadi serbuk. Campur dalam air suam dan tambah 1 sudu besar madu. Kebaikan: masalah kencing tidak lawas, melancarkan keluar haid bagi wanita.

3# Rebus susu segar atas air mendidih. Campur 1 sudu teh Jintan Hitam. Campur 1 sudu besar madu. Kemudian minum suam sebelum melakukan hubungan suami isteri. Kebaikan: kesihatan tenaga batin.

4# Campur serbuk Jintan Hitam dengan air suam dan berkumur. Kebaikkan: mengurangkan sakit gigi.

5# Campur 1 sudu besar cuka dan 1 sudu kecil Jintan Hitam. Kebaikkan: membunuh cacing dalam perut.

6# Campur 1 sudu kecil Jintan Hitam, 1 sudu kecil perahan limau dan 1 sudu besar madu. Makan 2-3 kali sehari. Kebaikkan: menghilangkan demam selsema dan sakit tekak.

Ada kebaikkan lain kaedah lain mengamalkan Jintan Hitam selain #6 perkara di atas. Anda boleh carinya dalam Internet atau baca buku berkaitan perubatan Islam. Amat panjang kalau mahu dicatatkan semuanya.

Bagaimanapun, kini hampir semua orang mengamalkan atau mengambil Jintan Hitam atau Habbatus Sauda ini dalam bentul kapsul. Dan banyak produk di luar sana yang boleh anda dapatkan.

Saya mahu mengesorkan anda satu produk Habbatus Sauda. KLIK DI SINI UNTUK MENDAPATKANNYA.

#Produk ini mungkin zero stok  kerana laris. Anda boleh bookmarks page produk untuk mendapatkannya bila ada atau anda boleh lihat produk-produk lain yang ada.

Share

Ayah Telah Pergi Mengadap ALLAH

Bila ketentuan ALLAH sudah datang, maka kita perlu bersedia menghadapi dan mengharungi ketentuan itu dengan sabar dan redha. Siapa kita untuk menghalang ketentuan-NYA? Kita hanya menerima apa yang telah ditentukan-NYA.

ALLAH telah menentukan setiap yang bernyawa akan kembali pada-NYA. Masa dan tempatnya, juga apa caranya adalah dalam pengetahuan ALLAH jua. Tidak ada apa dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau mengubahnya.

Dan takdir telah ditentukan untuk ayah (Bahrom Azhar bin Hj Musa) kembali kepada-NYA pada sebelum subuh, Selasa 17 JAN 2012.

Selesa sebelumnya, ayah masuk wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan kerana jantungnya tidak kuat lagi. Isnin sebelum hari kematian, ayah pulang ke rumah walau tidak sesihat mana. Sepertinya ayah mahu ‘pergi’ di rumah bukan di hospital dan di sisi mak.

Ayah kini telah arwah. Ayah adalah yang terakhir antara adik beradiknya. Tapi bukan yang terawal dalam keluarga kami. Sebelum itu telah ‘pergi’ adikku Asrul. Kini tinggal mak dan 11 adik beradik termasuk aku. Kami 12 bersaudara dari seorang mak.

‘Urusan’ ayah di dunia telah selesai. Kami yang tinggal ada urusan masing-masing yang perlu diteruskan walaupun hati bersedih. Hidup perlu diteruskan dengan sabar dan redha. Urusan kami di dunia belum selesai. Dan kami wajib menjalankan urusan ini dengan sebaik-baik perbuatan agar setiap pahalanya memberi kesan pada ayah di alam sana.

Ya ALLAH, masukkan arwah ayah (Bahrom Azhar bin Rahmah) dan arwah adik Asrul ke dalam golongan hamba-MU yang soleh. Jadikan kubur mereka sebahagian dari taman-taman syurga. Ampunkan segala dosa mereka dan masukkan mereka ke dalam Jannatul Firdaus. Amin….

AL FATIHAH.

Share

Kita Sihat Bila Perut Dijaga

Bahagikan perut kita kepada 3 bahagian. Cara bahaginya adalah begini;

  1. 1/3 untuk makanan.
  2. 1/3 untuk air.
  3. 1/3 untuk udara.

Ini bukan saranan saya. Pembahagian perut kepada 3 bahagian atau tiga ruang ini adalah saranan Nabi Muhammad SAW untuk tujuan kesihatan manusia. Begitulah sayangnya nabi pada umatnya, soal kesihatan tubuh badan umatnya juga Baginda berikan perhatian.

Saranan Nabi Muhammad SAW ini membawa maksud kepada 3 perkara;

  1. Perut yang penuh dengan makanan tidak menyihatkan kita.
  2. Air yang memenuhi perut juga tidak menyihatkan kita.
  3. Perut kosong yang hanya ada udara lebih-lebih lagi tidak membuatkan kita sihat.

Kajian sains membuktikan bahawa perut manusia mempunyai muatan 1500 mililiter (ml). Kesimpulannya, kajian sains dan saranan nabi ini boleh diaplikasikan kepada;

  1. 500ml untuk nasi, sayuran dan buah-buahan.
  2. 500ml untuk minuman terutama air putih (air kosong).
  3. 500ml untuk udara pernapasan.

Mulai hari ini jagalah perut kita. Pastikan apa yang kita masukkan ke dalamnya. Ini kerana kesihatan kita ada kaitan dengan perut kita.

Share

Kelab Pejalan Kaki

Kelab di Malaysia sudah berlambak,  tapi aku nak tubuhkan satu lagi kelab. Kelab Pejalan Kaki. Kelab untuk mereka yang tidak suka naik motorsikal dan tidak suka naik kereta.

Kelab ini untuk orang yang suka berjalan kaki. Mereka yang rasa biasa sahaja berjalan kaki dari Kampung Baru ke Puduraya (lebih suka memanggil Puduraya berbanding Pudu Central kerana Puduraya ialah jenama Melayu). Dari Puduraya ke Dataran Merdeka. Dari Dataran kembali berjalan ke Kampung Baru.

Kelab ini untuk mereka yang suka berjalan dan tidak berapa suka naik motorsikal dan naik kereta. Naik bas pun tidak berapa suka juga. Naik motorsikal atau naik kereta atau naik bas hanya dalam keadaan tertentu. Untuk urusan mendesak dan perlu benar-benar cepat sahaja.

Aku mahu tubuhkan Kelab Pejalan Kaki ini kerana mengerti, banyaknya faedah bila berjalan kaki ini. Antara faedah dan kebaikan berjalan kaki kepada kesihatan kita adalah seperti berikut;

1# Mengurangkan risiko sakit jantung dengan merendahkan paras kolesterol. Maknanya jantung kita menjadi lebih kuat dan sihat.

2# Tekanan darah menjadi lebih terkawal dan ini dapat mencegah risiko darah tinggi dan strok.

3# Keupayaan badan untuk memproses gula akan meningkat dengan lebih baik dan ini akan membantu melancarkan aliran darah. Sekaligus ini akan mengurangkan risiko sakit diabetes.

4# Berat badan menjadi lebih terkawal dan membantu membentuk tubuh badan yang menarik.

5# Merangsang penghasilan hormon endorphin yang membuatkan kita lebih ceria dan sihat. Ini dapat mengurangkan stress.

6# Otot badan dan tulang menjadi lebih kuat dan ini mengurangkan risiko osteoporosis.

7# Berjalan juga dapat mengimbangkan kestabilan tubuh terutama pada golongan warga emas.

8# Banyak lagi kebaikan dan faedah berjalan kaki. Hanya orang yang suka berjalan kaki sahaja tahu.

Untuk tahu tip dan kaedah berjalan kaki dengan betul, layari portal Kementerian Kesihatan.

Aku rasa Kelab Pejalan Kaki ni belum wujud lagi. Kalau dah ditubuhkan, bolehlah buat macam-macam program…apa-apa program yang patut. Emm…program apa yang sesuai untuk orang yang suka jalan kaki ni ya?

Ada siapa-siapa nak join?

Share