Pahala Dalam Pahala

Allah memberi banyak keistimewan pada kita sebagai umat Nabi Muhammad berbanding umat nabi terdahulu. Salah satu keistimewaan itu ialah mudahnya untuk mengutip pahala dan banyak pula pahala untuk dikutip.

# sewajarnya kita  menzahirkan kesyukuran kita kerana dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad dengan banyak berselawat #

Dalam nota sebelum ini saya ada mencatat yang Pahala Dalam Pahala jarang ‘direbut’ oleh banyak orang, sepertinya dia tidak mahu banyak pahala.

Ini satu cerita untuk memudahkan pemahaman, apa yang saya maksudkan…adanya orang yang tidak mahu pahala. Cerita ini bukan untuk mengkritik sesiapa.

Kawan saya ini selalu datang awal untuk solat Jumaat. Katanya mahu dapat pahala ‘sebesar unta’. Rugi kalau dapat pahala ‘sebesar telur ayam’ sahaja. Itu amalan yang baik. Saya puji dia. Tetapi dia hairan dan sedikit marah bila saya kata yang dia kerugian banyak pahala walau dia dapat pahala sebesar unta kerana datang awal ke masjid.

Saya bukanya alim dalam bab agama (tidak seperti ramai rakan sekelas yang sambung belajar ke peringkat tinggi dalam bidang ilmu agama) tapi saya tahu kawan saya ini rugi kerana tidak berjalan kaki ke masjid. Dia naik motor, sedangkan masjid hanya sepelaung dari rumah. Dia tidak dapat pahala berjalan kaki ke masjid.

Bila dia datang awal, tentulah barisan saf solat paling hadapan banyak yang kosong. Namun dia pilih untuk duduk barisan belakang sekali. Dia memberi pahala besar duduk saf depan kepada orang lain sedangkan dia berpeluang untuk mendapatkannya. Bukankah itu satu kerugian?

Kawan saya ini juga suka bersandar pada dinding. Bukannya dinding belakang tapi dinding tepi. Maknanya dia tidak mengadap kiblat selama duduk dalam masjid. Dia mengadap kiblat waktu solat sahaja.

Ruginya dia kerana mengadap kiblat itu ada pahala terutamanya bila berada dalam masjid dan paling utama pada hari Jumaat. Sebab itu bila ada tazkirah sebelum Jumaat atau waktu khutbah Jumaat, sunnah para jemaah kekal duduk mengadap kiblat bukan mengadap guru mengajar atau mengadap khatib yang membaca khutbah.

Selain hari Jumaat, barulah sunnah duduk mengadap guru yang mengajar.

Saya juga puji kawan saya ini yang suka membaca al Quran. Tapi saya tidak puji medium bacaannya. Dia suka baca menggunakan telefon pintarnya sedangkan kitab al Quran ada di sebelahnya. Saya tegur dan minta dia baca menggunakan kitab al Quran. Dia boleh baca al Quran menggunakan telefon pintar dalam keadaan yang sukar untuk pegang al Quran seperti dalam kereta waktu tunggu trafik reda. Tidak banyak orang yang letak al Quran dalam kereta.

Dia tidak mahu. Itu hak dia untuk baca al Quran guna telefon pintarnya. Tapi rugilah kerana dia hanya dapat pahala baca al Quran tapi tidak dapat pahala pegang kitab al Quran. Lainlah kalau ada ulama yang berani berfatwa yang telefon pintar yang ada aplikasi al Quran dalamnya boleh dianggap sebagai kitab!

Kerana dia kawan saya maka saya bertanya tanpa berselindung, “kau ada niat iktikaf tak bila masuk masjid?” Kadang-kadang dia berniat tapi lebih banyak masuk begitu sahaja dan terus duduk. Betapa dia datang awal ke masjid untuk solat Jumaat dan antara yang akhir keluar masjid tetapi lamanya dia duduk dalam masjid tanpa mendapat pahala iktikaf kerana tidak berniat iktikaf.

Bila berniat iktikaf ketika masuk masjid walau tidak buat apa-apa pun tetap dapat pahala, bukankah satu kerugian bila kita mensia-siakannya?

Betapa Allah sayang kepada kita sebagai umat kekasihNya iaitu Nabi Muhammad SAW. Dia begitu pemurah untuk memberi pahala. Perkara sekecil-kecil pun ada pahala. Akan tetapi banyak orang yang tidak pandang perkara-perkara kecil itu. Itulah yang saya maksudkan…Tidak Mahu Pahala.

Buat masa ini saya tiada keupayaan untuk buat perkara-perkara BESAR yang boleh meraih pahala yang BESAR juga.

Cukuplah saya mengumpul pahala dengan cara sebegini. Semoga Allah membuka ruang untuk saya melakukan perkara BESAR pula.

Share

22 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge