Panda Sebagai Pengimbang Kuasa

Fu Wa dan Feng Yi ialah 2 ekor beruang panda yang sensasi saat ini. Untuk 10 tahun akan datang, 2 panda ini akan menjadi ‘rakyat’ Malaysia. Baik keberadaannya di Malaysia ini disukai atau dibenci, ia telah ada di sini.

Asal mulanya saya bersikap sinis dengan kos besar yang saya anggap membazir untuk menempatkan Fu Wa dan Feng Yi di Zoo Negara, Malaysia.

Seperti banyak orang, saya ‘kesal’ kerajaan Malaysia seperti tidak endahkan dengan rakyat sendiri yang banyak tidur di tepi jalan tetapi bersungguh pula mahu menempatkan 2 ekor binatang hitam putih itu dalam bilik berhawa dingin dengan kos jutaan ringgit. Dan berjuta pula untuk jagaan tahunan.

Tidak ada faedah lagi untuk saya terus bersikap sinis dan marah-marah dengan kehadiran Fu Wa dan Feng Yi. Perasaan sinis dan marah itu hanya merosakkan dalaman saya sahaja.

Apa baiknya kehadiran Fu Wa dan Feng Yi?

Saya mahu bersikap positif. Saya mahu mencari kebaikkan dengan kehadiran 2 ekor panda sensasi ini ke Malaysia.

Samseng dunia hari ini ialah Amerika Syarikat (AS). AS mahu semua negara di dunia tunduk dan akur dengan segala ketetapan yang dibuatnya. Walaupun Malaysia membuat hubungan dengan AS, kita tidak boleh membiarkan Malaysia dibuli oleh AS.

China berusaha untuk menggugat sikap samseng AS ini. Walaupun nantinya mungkin China akan bersikap samseng juga, sekurang-kurang ada sifat lembut Asia dalam ‘diri’ China. Oleh kerana Malaysia tidak berupaya untuk menjadi samseng dunia, rasanya patut untuk Malaysia menjalin hubungan erat dengan negara yang ada daya untuk menggugat AS ini!

Saya faham Malaysia perlu buat sehabis baik untuk terus mengekalkan hubungan dengan China. Ini normal bernegara. Kita tidak boleh membina negara bersendirian. Seperti juga normal berjiran, kita tidak boleh hidup seperti kera sumbang di sebuah taman perumahan!

Antara banyak cara hubungan dengan China, menjaga Fu Wa dan Feng Yi adalah salah satu caranya. Malaysia boleh dianggap bertuah. Negara lain terpaksa melobi untuk mendapatkan panda dari China.

Zoo Toronto, Kanada mendapat panda pada Februari 1012 setelah melobi selama 39 tahun.

Zoo Atlanta, AS melobi untuk 12 tahun sebelum kerajaan China terbuka hati memberi pinjam panda kepada ‘musuh ketat’ mereka itu.

Malaysia tidak melobi. Kerajaan Malaysia ditawar untuk menjaga panda oleh kerajaan China. Apakah ia patut ditolak?

Jika ditolak apa aplikasinya kepada hubungan Malaysia dan China yang sudah terjalin lebih 40 tahun? Jika ditolak, apa kesannya kepada ekonomi negara di mana China adalah negara dagangan Malaysia yang terbesar dengan nilai RM320 billion setahun? Nilai dagangan Malaysia dengan AS pun Cuma RM112 billion setahun.

China hampir membatalkan penghantaran Fu Wa dan Feng Yi disebabkan tragedi MH370. Ditambah dengan kes penculikan pelancong China di Sabah. Terbaru kes pelancong China dibelasah penjahat! Kita patut bangga kerajaan China tetap mahu meminjam 2 panda ini walaupun dengan pelbagai insiden yang berlaku.

Kehadiran Fu Wa dan Feng Yi satu penghormatan kepada Malaysia!

Memang mahal untuk menjadikan Fu Wa dan Feng Yi ‘rakyat’ sementara Malaysia. Panda ialah binatang yang hampir pupus. Nilai mahal bagi mendapat dan menjaganya untuk memastikan panda ini tidak terus pupus dari muka bumi.

Akan tetapi saya faham, nilai yang terhasil daripadanya adalah lebih tinggi lagi.

# China adalah pasaran terbesar dunia yang ekonomi Malaysia perlukan. Diharap pada masa hadapan nilai dagangan Malaysia dan China melebihi RM320 billion setahun.

# Adat dunia sekarang ini, untuk menjadi manusia yang ternama kita perlu bergaul dengan orang yang sudah ada nama. Ini hakikat yang tidak boleh disangkal! Dalam konteks bernegara ialah negara yang ada kuasa dunia. Bolehkah Malaysia menjadi negara maju tanpa berhubung dengan negara maju lain?

# Malaysia tidak boleh ‘bergantung’ kepada hanya satu negara seperti AS. Berbaik-baik dengan China akan membuatkan AS berhati-hati dengan Malaysia. AS tahu, ia tidak boleh berkeras sangat dengan Malaysia. Hendak menjauhkan diri dari AS begitu sahaja, tidak boleh juga.

PandaComelPanda ialah lambang diplomasi berbaik-baik China dengan negara lain. Menghadiahkan panda kepada negara lain sudah dilakukan negara China sejak dulu apabila Maharani Wu Zetian (625-705) dari Dinasti Tang menghadiahkan haiwan hitam putih itu kepada Maharaja Jepun.

China mahu berbaik-baik. Patutkah Malaysia menolaknya?

Inilah yang saya faham tentang kehadiran Fu Wa dan Feng Yi ke Malaysia. Tidak guna untuk saya bersikap sinis lagi. Saya berdoa Malaysia mendapat manfaat dengan kehadiran 2 panda yang akan menjadi warga Malaysia untuk 10 tahun akan datang ini.

Share

12 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge