Parlimen Bubar Dan Parti Mana Akan Diundi?

Parlimen sudah bubar. Sedikit masa lagi pembuangan undi akan diadakan. Dan parti mana akan aku undi?

Walau gambar yang aku guna dalam profile facebook ini berbaju merah, itu bukan tanda aku menyokong parti yang sukakan merah.  Merah baju aku hanyalah warna rasmi tempat kerja.

Aku tidak suka menunjukkan dengan jelas parti mana yang aku sokong.

Dalam banyak situasi aku boleh hadiri mana-mana majlis parti. Dalam banyak teman, aku melayan semua walau dengan jelas menyatakan parti mana yang mereka sokong.  Aku boleh berbual serius dan bergelak ketawa dengan mereka.

Mereka mempertahan parti mereka dan kutuk parti lawan, aku layan tanpa terguris hati. Mereka taasub dengan parti yang disokongnya dan memperlekeh parti lainnya, aku boleh senyum dan ketawa melayan. Aku hormat dan hargai mereka sebagai kawan.

Dan aku menghormati dan menghargai adik beradik dan sanak saudara yang punya prinsip kepartian masing-masing. Ada antara mereka yang dengan jelas berdiri teguh di dalam parti, malah seorang sepupu aku adalah Ahli Parlimen Umno. Sebahagian lain seperti tidak endah dengan politik. Tapi aku percaya mereka akan mengundi.

Aku sebolehnya tidak mahu ada adik beradik dan sanak saudara berjumpa dan berbual sekadar berbasa-basi kerana bersaudara. Sedang dalam hati tiada suka kerana tidak separti.

Jadi aku suka begini. Biar dituduh tiada pendirian, seperti lalang yang bergerak ikut arah angin kerana tidak menyatakan dengan jelas ingin berpayung di bawah parti yang mana.

Yang pasti, aku akan mengundi di P119 Titiwangsa.

Sudah jelas parti mana aku akan undi!

 

Share

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge