Pemimpin Mesti Memiliki Sifat Terpuji

Pemimpin mesti banyak memiliki sifat-sifat terpuji, sebab pemimpin menjadi contoh, tempat rujuk dan tempat meminta pandangan oleh rakyat atau pengikutnya. Sifat-sifat yang patut mereka miliki ialah;

1. Banyak idea. Idea membangunkan negara, negeri atau kawasan atau parti pimpinannya. idea untuk menyelesaikan masalah. Idea untuk membaiki dan meningkatkan taraf pemikiran rakyat atau pengikutnya. Jika tiada idea, ertinya dia tidak ghairah untuk membangunkan negara atau parti pimpinannya.

2, Faham segala masalah yang berlaku; masalah diri sendiri, masalah ahli parti, masalah masyarakat umum dan masalah yang melanda dunia dan tahu dan ada idea untuk menyelesaikannya.

3. Ada sifat kasih sayang, lemah lembut, mesra, tawadhuk. Jangan pula kerana kasih sayang, pemimpin itu tidak berani bertindak bila berlaku kesalahan di kalangan pengikutnya. Kasih sayang satu sudut, membaiki parti satu sudut yang lain, menghukum yang salah satu sudut yang lain pula. Pemimpin mesti pandai pisahkan tiap sudut ini.

4. Tegas tapi bukan kasar dan keras. Ia tidak sama. Kasar dan keras milik orang ego, pemarah, tidak berdisiplin dan tidak mengawal nafsu. Tegas ialah kuat mendukung prinsip, kuat melaksanakan hukum. Kasar dan keras ialah orang emosional. Tidak ada emosional dalam Islam. Yang ada hanya rasional.

5. Kuat sabar kerana pemimpin selalu dicabar dan tercabar. kalau tidak sabar kerja-kerja memimpin tidak dapat dibuat. Orang yg tidak sabar ialah seorang pemarah, emosional, gopoh gapah yang akan bawa banyak penyelewengan, salah dan silap yang akibatkan huru hara negara dan lintang pukang rakyat dan pengikut.

6. Pemurah dengan ilmu, nasihat, buah fikiran, tenaga dan apa yang dimilikinya untuk orang lain.

7. Berlapang dada dgn karenah manusia yang dipimpinnya tapi bukan karenah yang berkait dengan pencabulan syariat dan dasar parti atau negara.

8. Mengutamakan kepentingan parti atau negara dan rakyat daripada diri sendiri.

9. Laksana payung melindungi manusia dari hujan dan panas. Melindungi manusia pimpinannya dari kejahilan, kesusahan, kesakitan, kelaparan dan sebagainya.

10. Mesti menyayangi dan disayangi, mengasihi dan dikasihi, menyenangi dan disenangi. Dalam Islam pemimpin seperti imam dalam solat. Jika imam itu rasa makmum sudah benci padanya, haram hukumya dia jadi imam. Kalau kita rasa, majoriti pengikut sudah tidak suka dan benci, eloklah kita undur dengan bak. Mungkin dengan itu akan datang kasih sayang mereka pada kita.

Demikian antara sifat seorang pemimpin. Kalau ada pemimpin bersifat begitu, insyaAllah;
a. Perjalanan negara atau parti itu baik dan teratur.
b. Perpaduan akan tercetus dengan sendirinya.
c. Kemajuan dapat dibangunkan.

Kalau sifat ini tidak dimiliki;
a. Negara atau parti akan huru hara.
b. Pengikut dan rakyat tidak terurus.
c. Pemimpin itu tidak layak memimpin. Janganlah jadi pemimpin walaupun dicalonkan.

Wujudkan sosok tubuh pemimpin dalam negara malaysia yang punya sifat-sifat begini?

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge