Pengilham Dan Penyebar Selawat Nur Al Anwar

ALLAH berselawat ke atas nabi. Malaikat juga berselawat ke atas nabi. Dan ALLAH mahu orang-orang yang beriman berselawat ke atas nabi dengan sebaik-sebaik selawat.

Selawat ALLAH bererti rahmat dan redhaNYA. Selawat malaikat pula adalah doa sementara selawat umat kepada nabi menunjukkan penghormatan dan sebagai tanda cinta umat kepada baginda.

Sesiapa yang berselawat ke atas nabi, ALLAH akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Ini jaminan ALLAH melalui lidah nabiNYA, Nabi Muhammad (selawat ke atasnya) seperti yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim.

Jadi kebaikan berselawat bukan pergi kepada nabi.

Kerana tanpa kita berselawat kepada nabi pun, Nabi Muhammad (selawat ke atasnya) punya kedudukan tinggi di sisi ALLAH. Kedudukan tinggi nabi di sisi ALLAH tidak tergugat walau kita tidak berselawat pada baginda.

Jadi kebaikan berselawat pergi kepada diri yang berselawat itu. Bila kita amalkan selawat kebaikan selawat itu dapat kepada kita sendiri.

Rebut kelebihan dan kebaikan selawat

Kelebihan dan kebaikan amalan selawat itu terlalu banyak. Saya mahu nukilkan empat yang utama sahaja.

1# Amalan yang menambah pahala. Amalan yang mudah. Teruk mana untuk mengucapkan, Allahuma Salli Ala Muhammad Wa Ala Alihi Wasahbihi Ajmain. Semudah itu pahalanya cukup besar.

2# Diberikan hati yang lembut untuk menerima kebaikkan. ALLAH memudahkan kita untuk menilai antara baik dan jahat dalam kehidupan ini. Ya, betapa banyak orang sekarang ini yang melihat keburukan itu sebagai benda yang baik dan melihat kebaikkan itu sebagai amalan yang buruk.

3# Seseorang yang hatinya lembut bukan sahaja dapat menilai dan menerima kebaikan malah ALLAH mendorongnya untuk melakukan kebaikan itu. Nikmat terbesar orang yang beriman adalah bila ALLAH memudahkan dirinya menilai kebaikan dan ALLAH membimbing mereka untuk melakukan kebaikan itu.

4# Yang terbesar sekali antara kelebihan dan kebaikan amalan selawat bila dijanjikan syafaat Nabi Muhammad (selawat ke atasnya) di akhirat nanti.

Amalan berselawat ini tidak patut dikhususkan hanya pada bulan kelahiran Nabi Muhammad (selawat ke atasnya) sahaja. Atau cukup sekadar pada waktu duduk tahiyat solat. Ia patut diamalkan setiap masa dan waktu.

Memilih selawat untuk diamalkan

Terdapat banyak himpunan selawat yang termasyhur yang boleh diamalkan. Antara banyak selawat, selawat mana yang mahu diamalkan? Dan bagaimana mahu memilihnya?

Cara saya mudah sahaja. Ada 2 cara;

1# Pilih selawat yang pendek. Mudah dihafal dan diamalkan sebagai wirid seharian. Yang panjang itu kalau pun dapat dihafal, ia susah untuk dijadikan wirid seharian.

2# Antara banyak selawat yang pendek itu, pilih selawat yang bila kita amalkan, ia memberi rasa tenang dan seronok dalam hati. Susahlah untuk saya terangkan bagaimana rasa tenang dan seronok itu. Kita sendiri yang merasakannya.

Selawat yang saya suka amalkan sebagai wirid adalah selawat Nur Al Anwar. Ia juga dinamakan selawat al Badawi. Dinisbahkan nama al badawi kepada nama pengilham selawat ini.

11116544_1051643884866763_6273394834940064622_o

Selawat ini diilhamkan kepada Sayid Ahmad al Badawi. Keturunan Nabi Muhammad (selawat ke atasnya) melalui Saidina Hussain, anak Fatimah binti Rasulullah.

Lahir di bandar Fas, Maghribi pada tahun 596 hijrah. Hafal al Quran sejak kecil. Pakar ilmu Fekah dan Qira’at. Sejak kecil juga beliau cenderung kepada ilmu tasawuf.

Beliau digelar al Badawi kerana tabiatnya sejak kecil yang suka menutup muka seperti kaum Arab Badawi padang pasir.

Selain alim dalam ilmu agama dan tasawuf, Sayid Ahmad al Badawi, tangkas menunggang kuda dan mahir dalam seni bermanin pedang.

Sejak kecil beliau dibawa keluarga menetap di Mekah. Di Mekah beliau mendalami ilmu Fekah dan Qira’at dan memahirkan diri dalam menunggang kuda dan bermain pedang.

Pada tahun 634 hijrah bersamaan 1234 masihi, Sayid Ahmad al Badawi berhijrah ke Mesir dan menetap di Bandar Tanta. Beliau menjadikan Bandar Tanta sebagai pusat pendidikan dan dakwah. Beliau memiliki ramai anak murid dan pengikut.

masjid sayid ahmad al badawi

Masjid Ahmad al Badawi, Tanta, Mesir

Selain mendidik dan berdakwah, Sayid Ahmad al Badawi juga melibatkan diri dalam peperangan salib yang berlaku ketika itu bersama anak murid dan pengikutnya. Beliau menggunakan ketangkasan menunggang kuda dan kemahiran bermain pedang untuk berjihad melawan tentera Kristian yang melancarkan perang salib.

Sayid Ahmad al Badawi meninggal pada usia 79 tahun, bertepatan 12 Rabiul Awal tahun 675 bersamaan 1276 masihi di Bandar Tanta.

Semoga ALLAH merahmati dan meredhai beliau.

Share

12 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge