Perniagaan Tidak Maju Sebab Ilmu Hitam

Saya ada satu cerita.

Saya tidak mahu anda dengar cerita ini.  Saya mahu anda baca cerita ini.  Ceritanya begini…

Seorang peniaga kedai makan mengadu pada seorang ustaz [ustaz ini pandai dalam ilmu pengubatan alternatif] yang kedainya kekurangan pelanggan.

Dia syak kedainya ‘kena buatan orang’.  Disebabkan itu kedainya ‘tidak kelihatan’ pada pandangan pelanggan.  Pelanggan yang lalu di depan kedainya tidak masuk singgah kerana mereka tidak nampak kedainya.

Peniaga ini minta tolong si ustaz untuk ‘memulihkan’ kedainya daripada ‘buatan orang’.   Si ustaz bersetuju dan satu hari dia datang ke kedai si peniaga.

“Saya pun tak nampak kedai tuan,” kata si ustaz.

“Kan betul kata saya?” Balas si peniaga.

Si ustaz memberitahu, “saya tak nampak kedai tuan sebab kedai tuan tiada papan tanda, sedangkan kedai orang orang lain walaupun gerai macam kedai tuan semuanya ada papan tanda. Papan tanda ialah untuk orang nampak dan kenal kedai tuan.”

Si peniaga tidak mahu mengakui hakikat itu, ” Kedai saya tidak perlukan papan tanda. Semua orang di sini, kenal saya.”

Jawab si ustaz, “kita memperkenalkan kedai bukan untuk orang yang telah kenal tapi untuk mereka yang belum kenal dan untuk terus mengenali kita.”

Pernah atau tidak, anda mengalami situasi ini?

Situasi 1# Anda minta kad perniagaan dari seseorang yang katanya dia seorang usahawan tapi meraba segala poket yang ada di pakaiannya mencari kad perniagaan.  Dan kemudiannya dia beri alasan kad habis, belum cetak, tertinggal di kereta dan alasan lain.

Situasi 2# Anda pergi ke ladang buah-buahan yang terbesar dan anda ingin ambil gambar kenangan sebagai tanda anda pernah pergi ke situ.  Mahu ambil gambar bawah satu pokok sepertinya pokok di belakang rumah anda sahaja. Mahu bergambar dekat papan tanda, papan tanda pula tiada!

Alasan yang diberi oleh pemilik ladang kerana tidak letak papan tanda ialah takut pencuri tahu di kawasan ini ada ladang dan mereka akan datang mencuri.

Peladang ini lebih takut pencuri yang seorang dua atau mungkin tiada pencuri langsung daripada pelanggan dan pelawat yang berbondong-bondong datang bila ada papan tanda.

Ironinya cerita dan 2 situasi di atas selalunya berlaku pada peniaga Melayu.  Mereka tidak memberi keutamaan pada membuat promosi asas seperti papan tanda dan kad perniagaan.  Bagaimana dengan promosi yang lebih canggih?

Sedangkan dalam perniagaan, promosi menjadi perkara utama.  Promosi yang membuatkan orang membeli.  Apa guna kalau ada produk tapi tiada orang membeli?

Jangan takut untuk keluar modal buat papan tanda yang besar dan cantik.  Jangan fikir rugi untuk mencetak kad perniagaan sebanyak yang sepatutnya.  Modal untuk promosi ini boleh membantu memperkenal produk dan meningkatkan jualan.  Tidak ada siapa yang boleh menafikan hakikat ini.

Jangan salahkan orang lain yang kononya telah ‘mengenakan’ anda bila perniagaan anda tidak maju.  Promosi anda kurang, bukan kerana terkena ilmu hitam!

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge