Pesanan Balik Bercuti Ke Kampung

 

Bila cuti orang akan balik kampung. Lebih lagi bila cuti raya. Bujang balik seorang. Sudah berkahwin balik sekeluarga.

Ada beberapa perkara untuk diambil perhatian bila balik kampung untuk bercuti di rumah ibu bapa. Baik kepada mereka yang sudah berkahwin atau masih bujang.

Kawin buat cara sudah kahwin. Yang bujang tetap ada tanggungjawab. Tidak boleh lepas tangan. Masing-masing ada peranan yang perlu diambil perhatian.

Ini beberapa perkara yang wajib diberi perhatian serius:

1#Servis kereta. Kita tidak mahu, rasa gembira balik kampung bertukar duka. Berduka kerana kereta mati tengah jalan masih tidak apa. Macam mana kalau yang matinya adalah pemandu dan penumpang? Akibat brek kereta tidak makan, tayar botak lupa berganti dan sebagainya.

Mahu servis kereta jangan pada hari-hari terakhir. Seminggu dua sebelum bertolak sudah diservis. Yang naik kenderaan awam terutama bujang paling relaks. Tidak payah susah-susah fikirkan solak servis kereta.

2#Perkara paling seronok balik kampung, bila dapat merasai “air tangan ibu”. Walaupun terlalu rindu mahu rasa masakan ibu, jangan sampai ibu diperhambakan.

Ibu sentiasa di dapur sepanjang anak menantu dan cucu di kampung. Menyediakan makanan untuk mereka. Adik beradik, ipar duai hanya menunggu masakan siap sambil berborak semasa mereka, sambil melayan anak-anak.

3#Suami kena pastikan isteri turun ke dapur membantu ibu. Malas atau rajin seseorang wanita itu ke dapur sebenarnya berkait dengan tanggungjawab suami. Isteri merengek mahu berehat dalam bilik dan si suami melayan. Isteri malas kerana suami tidak bertegas.

4#Walau bercuti di kampung, suami kena buat kerja juga. Si suami tidak boleh lepak-lepak. Mahu lepak pergilah bercuti ke pusat peranginan ke, tepi pantai ke atau ke tempat lain.

Suami kena kerja menjaga anak, sebab isteri sudah tidak boleh jaga. Mereka perlu tolong ibu di dapur.

Bila sesekali balik kampung, anak-anak akan teruja habis. Perangai mereka, keghairahan mereka bermain akan mencapai tahap semaksima mungkin. Peranan lelaki menjaga si anak akan lebih. Jangan buat sambil lewa.

5#Sesekali keluarga besar berkumpul, persediaan makan tentulah besar. Menghidang bagai untuk kenduri.

Lepas makan masing-masing patut cuci pinggan makan sendiri. Cuci gelas minuman sendiri. Kalau tidak mampu cuci periuk belanga, dapat cuci pinggan dan gelas makan sendiri pun sudah cukup baik. Jangan hanya tahu timbun pinggan dalam sinki.

Ini boleh kurangkan beban membasuh mereka yang sudah penat berhempas pulas sediakan makanan.

6#Aurat kena jaga sesama ipar duai. Jangan harapkan ibu bapa yang nak jaga aurat anak menantu. Kena beringat sendiri. Jaga aurat sendiri. Sesama adik beradik kena bertolak ansur demi menjaga aurat ini.

Ibu bapa yang ada anak 10 dan semua sudah berkeluarga, parahlah orang tua kalau setiap anak kena sediakan 1 bilik. Sudah 10 bilik! Hendak buat macamana?

Anak lelaki dan menantu lelaki duduk satu bilik. Anak perempuan dan menantu perempuan duduk satu bilik. Kalau ada bilik lebih, yang perempuan bujang duduk satu bilik.

Atau sewa homestay. Anak dan menantu lelaki duduk di sini. Untuk tempat tidur dan mandi sahaja. Anak dan menantu perempuan duduk di rumah. Biar orang mengata, apalah balik kampung pun duduk homestay! Yang penting aurat terjaga.

7#Sesekali balik kampung, usah berkira sangat soal keselesaan. Berkumpul beramai-ramai, biasalah tidak dapat makan makanan kegemaran. Bersesak tidur. Berebut bilik air dan sebagainya.

Ketika ini apa salahnya suami isteri berpisah tempat tidur #6. Anggap sahaja ketika balik kampung seperti ketika kerja di luar kawasan untuk beberapa hari.

8#Ibu bapa kena fahamkan anak-anak akan beberapa ‘kesukaran’ yang terpaksa mereka hadapi ketika balik kampung serentak beramai-ramai.

Kesenangan yang mereka biasa di rumah tidak akan dapat bila berada di kampung. Anak-anak akan faham jika ibu bapa pandai memberi penerangan dan bertegas dengan karenah anak. Anak-anak akan terima jika mereka tahu yang ibu bapa mereka juga mengalami kesukaran.

– –  –

Mungkin ada beberapa perkara atau situasi lain yang terpaksa di lalui oleh orang tua yang menerima kepulangan anak-anak serentak ke kampung terutama pada hari perayaan.

Begitu juga yang dihadapi oleh anak-anak yang balik ke rumah orang tua mereka.

Hadapi dengan tenang dan sabar. Bukan lama pun. Dua tiga hari sahaja. Empat atau lima hari paling lama.

Situasi ini kena hadapi. Tidak boleh jadi alasan untuk tidak balik kampung. Waktu hari lain kita boleh berjumpa orang tua. Tetapi waktu perayaan ini sahajalah bagi sesetengah orang, masa yang ada untuk bertemu dengan adik beradik!

Apa perkara atau situasi lain yang kalian hadapi. Boleh kongsikan di sini.

Share

10 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge