Pustaka Dalam Balai Pustaka #1

Saya ingin merekodkan setiap buku (pustaka) yang ada di dalam perpustakaan (balai pustaka) peribadi saya di dalam blog ini. Bukan buku yang saya baca tetapi hanya buku yang saya beli.

Tidak hanya isi kandungan buku itu tetapi mungkin semuanya saya akan rekodkan. Di mana saya beli atau harganya. Sudah tentu nama pengarangnya dan penerbit. Dan apa sahaja.

Ada 2 sebab  kenapa saya ingin merekodkan buku yang saya beli sebagai post di blog ini, iaitu sebagai motivasi diri untuk mengulang baca setiap buku yang ada dan pendorong untuk menambah koleksi buku dalam simpanan.

Namun bila post ini dapat mendorong dan memotivasikan pembaca blog ini supaya membeli dan membaca buku, saya amat-amat bersyukur. Itulah yang saya mahukan. Harap ini satu pahala untuk saya.

BUKU #1 dalam senarai;

KHAIRUDDIN BARBAROSSA – ADMIRAL ISLAM YANG DIGERUNI ANGKATAN LAUT EROPAH

baca buku 1

Pengarang – Shafie Abd.Rahman. Seorang bekas guru yang lebih berminat dalam bidang penulisan. Bertugas sebagai editor di banyak syarikat penerbitan seperti Pustaka Delta Pelajaran,  Penerbitan Siri Maju, Pustaka Sistem Pelajaran, Pustaka Pertiwi, Era Visi dan Edusystem. Lebih banyak terlibat dalam penerbitan buku teks pembelajaran untuk sekolah.

Penerbit – Yamani Angle Sdn Bhd (www.yamaniangle.com.my) dalam siri Novel Sejarah; Jejak Mujahid. Cetakan pertama 2013. Harga RM25sm/RM27ss

Tempat beli – Pustaka Pertama, Komplek Pertama, Jln.T.A.R, Kuala Lumpur. Harga beli – RM22 diskaun RM3. Tarikh beli – Jumaat 16/01/15.

KISAH ISI BUKU

Hizir adalah nama sebenar beliau. Khairuddin adalah gelaran yang diberi oleh Sultan Turki yang bermaksud ‘yang memiliki keperibadian atau agama yang baik. Orang Eropah memangginya Hayreddin dan mereka menggelarkan beliau Barbarossa yang bermaksud ‘si janggut merah’.

Khairuddin mewarisi warna rambut dan janggut merah daripada Magdalena, ibu beliau yang berbangsa Eropah. Sementara ayah beliau Yaakub bin Yusuf adalah  seorang Panglima dalam unit Janissari, tentera elit Turki yang ditubuhkan oleh Sultan Muhammad al-Fateh bagi menawan Konstantinopel.

Di bawah kepimpinan Sultan Muhammad al-Fateh beliau berjuang membebaskan Konstantinopel. Yaakub  bersara daripada tentera setelah Sultan Muhammad al-Fateh mangkat. Kemudian  menetap di Banova, sebuah kampung yang dihadiahkan oleh Sultan Muhammad al-Fateh kepadanya di Pulau Lesbos. Di Banova inilah lahirnya Khairuddin, abang dan adiknya.

Yaakub tidak duduk diam sepanjang persaraannya. Beliau menjalankan perniagaan pengangkutan menggunakan kapal dibantu anak-anaknya termasuk Khairuddin. Mereka sekeluarga menjadi pedagang yang kaya dan pelaut yang handal. Bila Yaakub meninggal, anak-anak beliau meneruskan perniagaan ini.

Tahun-tahun awal empayar Turki Uthmaniah dan ketika Sepanyol (Andalusia) masih diperintah oleh Kerajaan Islam, Khairuddin bersama adik beradiknya dapat menjalankan perniagaan tanpa sebarang masalah.

Kemudian malapetaka menimpa Kerajaan Islam di Sepanyol. Raja Ferdinand II berkahwin dengan Ratu Isabella dan keduanya bersama membentuk gabungan tentera yang kuat. Bukan sahaja tentera darat malah di laut.

Di darat, tentera darat menghalau umat Islam keluar dari Sepanyol. Di laut, tentera laut menganggu kapal dagang umat Islam termasuk kapal dagang keluarga khairuddin.

Bermulalah kisah hidup baru Khairuddin dan adik beradiknya. Mereka terlibat dalam perang. Mereka menjadi mimpi ngeri kepada angkatan laut Eropah seperti Itali, Sepanyol, Inggeris dan angkatan laut Negara lain. Mereka mengalahkan angkatan laut tersebut dalam berpuluh-puluh perperangan. Memusnahkan dan menawan ratusan kapal dan anak kapal.

Mereka menjadi lebih terkenal bila berjaya menyelamatkan dan mengangkut keluar puluhan ribu Umat Islam dari Sepanyol yang jatuh ke tangan Raja Kristian.

Mereka lakukan ini atas dasar prihatin sebagai Umat Islam kerana mereka bukan tentera Turki secara rasmi walau dibantu oleh tentera Turki sendiri.

Akhirnya, setelah abang-abang beliau gugur syahid, Khairuddin  secara rasminya berkhidmat sebagai tentera Turki dan dilantik Sultan Turki Uthmaniah sebagai Laksamana atau Admiral Angkatan Laut Turki.

Kemenangan yang dicapai Khairuddin sebagai Admiral lebih banyak berbanding sebelum ini termasuk mengalahkan gabungan terbesar Armada Laut Tentera Salib yang dibentuk oleh Pope Kristian (pertempuran Preveza). Kemenangan ini membolehkan Angkatan Laut Tentera Turki berkuasa di Laut Mediterranian untuk banyak tahun.

Khairuddin Barbarossa sama seperti Panglima Khalid al-Walid. Memburu syahid di medan perang tetapi ALLAH  menentukan takdir, mereka dipanggil mengadapNYA di atas katil.

khairuddin barbarossa

Tentera Laut Eropah memanggil Khairuddin sebagai Lanun Laut Caribbean Berjanggut Merah. Bertujuan untuk memburukkan nama Khairuddin dan Angkatan Laut Tentera Turki Uthmaniah. Dan supaya Umat Islam tidak mengetahui kisah sebenar keperwiraan dan keberanian beliau.

Mereka menggelar yang buruk-buruk kepada Khairuddin Barbarossa sedangkan Khairuddin adalah pahlawan Islam yang banyak berjaya terutamanya dalam menyelamatkan nyawa puluhan ribu umat Islam yang terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang dari Sepanyol pada abad tersebut.

Ada watak Barbarossa dalam filem Pirates of The Caribbean. Apakah filem ini hanya filem suka-suka atau bertujuan memburukkan nama Khairuddin Barbarossa?

Share

9 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge